Wajah berkedut bukan sahaja menjadi mimpi ngeri bagi seorang wanita, malah bagi golongan lelaki juga.
Proses penuaan menampakkan kulit menjadi lebih cepat berkedut atau menua yang mungkin tidak melambangkan usia sebenar.
Namun, ramai tidak sedar, salah satu punca mengapa anda mengalami wajah berkedut adalah disebabkan oleh pemakanan harian itu sendiri.
Ya, apa yang anda makan sebenarnya mempengaruhi proses penuaan kulit anda.
Kami terangkan secara ringkas apa yang perlu diketahui berkenaan pengambilan makanan harian anda di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Senarai makanan yang membuatkan wajah berkedut dengan cepat!
Apakah jenis makanan yang membuatkan proses penuaan kulit menjadi lebih cepat?
Di sini kami senaraikan 7 jenis makanan yang mungkin anda perlu kurangkan pengambilannya supaya wajah tidak cepat berkedut.
#1. Kentang goreng atau french fries
AGE adalah satu bahan yang mempercepatkan proses penuaan kulit manusia. AGE terbentuk apabila kandungan protein atau lemak bergabung dengan gula.
Selain itu, kentang goreng yang digoreng pada suhu minyak yang tinggi boleh melepaskan radikal bebas yang menyebabkan kerosakan sel pada kulit.
Pendedahan kepada radikal bebas hanya akan mempercepatkan proses penuaan seseorang individu.
#2. Roti putih
Roti putih diperbuat daripada kandungan karbohidrat yang telah diproses.
Apabila sumber karbohidrat ini bergabung dengan kandungan protein, ia akan menyebabkan pembentukan AGE.
AGE diketahui memainkan peranannya dalam mempercepatkan proses penuaan tubuh.
Roti putih juga salah satu jenis makanan yang tinggi indeks glisemiknya (GI). Ia boleh menyebabkan keradangan pada tubuh, seterusnya mempercepat proses penuaan.
#3. Gula putih
Gula juga merupakan salah satu bahan yang menyebabkan pembentukan AGE.
Sewaktu paras gula meningkat, ia merangsang pembentukan AGE dalam tubuh manusia.
Proses pembentukan AGE ini akan menjadi lebih cepat jika tubuh terdedah kepada cahaya matahari.
Oleh itu, jika anda benar-benar inginkan makanan manis, pilihlah sumber makanan yang lebih sihat seperti buah-buahan.
#4. Makanan yang diproses
Selain tinggi kandungan garam dan lemak, makanan diproses juga boleh mempercepatkan proses penuaan kulit dan wajah berkedut.
Antara contoh makanan yang diproses adalah seperti sosej, nuget, bebola ikan, bebola ayam dan jejari ketam yang biasa dijual di pasar malam.
Kandungan garam, lemak tepu dan sulfit daripada makanan seperti ini hanya akan menyebabkan dehidrasi dan melemahkan kolagen dalam kulit dengan cara menyebabkan keradangan.
#5. Elakkan minuman penyebab wajah berkedut seperti kopi
Berbanding faktor-faktor lain yang menyebabkan kesan terus pada kulit, kopi lebih memberi kesan terhadap kualiti tidur anda.
Kandungan kafein dalam kopi boleh menyebabkan anda tidak cukup tidur jika diambil dengan kuantiti yang banyak.
Tidur yang tidak mencukupi atau tidak berkualiti telah dikaitkan dengan peningkatan tanda-tanda penuaan seperti kewujudan garis gelap bawah mata, kedutan kulit dan juga garisan halus pada wajah.
#6. Marjerin
Ada kajian yang pernah menyatakan, individu yang tidak mengambil marjerin atau mentega mempunyai kerosakan dan kedutan pada kulit dengan kadar yang lebih sedikit berbanding mereka yang mengambilnya.
Tambahan pula, marjerin dikesan mempunyai kandungan minyak terhidrogenasi yang tinggi, iaitu sejenis asid lemak trans yang hanya membuatkan kulit lebih mudah terdedah kepada radiasi ultra ungu.
Radiasi ultra ungu boleh memusnahkan keanjalan kulit anda selain merosakkan kolagen pada kulit.
#7. Elakan penggunaan minyak dengan suhu tinggi
Sesetengah jenis minyak tidak tepu poli kaya dengan kandungan asid lemak omega-6, yang boleh menyebabkan pembebasan radikal bebas apabila dipanaskan pada suhu tinggi.
Apatah lagi jika minyak tersebut dipanaskan pada suhu yang tinggi setiap hari.
Untuk lebih sihat, gunakan minyak zaitun sebagai pilihan anda dan elakkan daripada dipanaskan pada suhu yang tinggi.
Wajah berkedut disebabkan punca utama ini!
Selain daripada AGE dan faktor pemakanan, wajah juga akan lebih cepat melalui proses penuaan kulit disebabkan oleh pendedahan kepada cahaya matahari.
Oleh itu, kurangkan aktiviti di luar rumah jika tidak perlu dan banyakkan meminum air untuk mengekalkan hidrasi kulit anda agar tidak kering.
Kulit yang kering juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada wajah berkedut.
[embed-health-tool-bmr]