backup og meta

Ibu Nak Susu Badan Banyak Dan Berkualiti? Ambil 6 Makanan Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/06/2022

    Ibu Nak Susu Badan Banyak Dan Berkualiti? Ambil 6 Makanan Ini!

    Masih mencari diet ibu menyusu yang boleh diamalkan untuk tingkatkan penghasilan susu badan? Bagi yang masih tidak tahu makanan apa yang boleh meningkatkan laktasi, kami kongsikan di sini beberapa jenis makanan ibu menyusu yang terbaik untuk anda. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini

    Apakah kaitan antara makanan yang dimakan dengan kualiti susu ibu?

    Diet ibu menyusu yang sihat adalah sangat penting bagi memastikan bayi yang dilahirkan boleh menyusu dengan susu yang berkualiti tinggi.

    Susu ibu yang berkualiti tinggi membekalkan bayi dengan nutrisi lengkap bagi menyokong kesihatan dan tumbesarannya.

    Untuk pengetahuan anda, susu ibu sangat penting dalam tempoh enam bulan pertama selepas bayi dilahirkan.

    Oleh sebab itu, jika anda mengamalkan diet harian yang tidak sihat, ia boleh menjejaskan kualiti susu ibu yang akan dihasilkan kelak.

    diet ibu menyusu

    Berdasarkan kajian, susu ibu terdiri daripada 87% kandungan air, 3.8% kandungan lemak, 1% protein dan 7% karbohidrat.

    Kalori susu ibu pula akan berubah-ubah mengikut tempoh laktasi.

    Pada peringkat awal, susu ibu biasanya lebih cair dan ia bertujuan untuk menghilangkan rasa dahaga bayi.

    Lama-kelamaan, susu ibu akan menjadi lebih pekat disebabkan kandungan lemak yang lebih tinggi dan lebih bernutrisi.

    Kualiti susu ini juga bergantung kepada apa yang anda makan setiap hari.

    Jenis makanan atau diet ibu menyusu yang boleh hasilkan susu berkualiti

    diet ibu menyusu

    Terdapat beberapa jenis makanan yang sesuai diamalkan ibu menyusu kerana ia boleh membantu menghasilkan lebih banyak susu selain mengeluarkan susu yang berkualiti.

    Antara jenis makanan ibu menyusu yang boleh diamalkan ialah:

    #1. Biji halba

    Biji halba bukanlah satu herba yang asing dalam masyarakat Asia.

    Berdasarkan kajian pada tahun 2011, pengambilan tiga cawan teh biji halba dalam sehari boleh meningkatkan pengeluaran susu ibu.

    Namun, tiada banyak kajian lain yang menyokong dapatan kajian ini secara meluas.

    #2. Oatmil

    Oatmil diketahui sebagai antara jenis makanan yang boleh meningkatkan pengeluaran susu ibu.

    Malah, ia juga boleh menyebabkan susu yang dihasilkan lebih berkualiti.

    Oatmil memberikan beberapa nutrien penting kepada ibu menyusu dan juga bayi.

    Antaranya ialah seperti zink, serat, zat besi dan juga magnesium.

    Disebabkan kandungan zat besi yang tinggi dalam oatmil, tidak hairanlah ia menjadi pilihan popular dalam kalangan ibu yang sedang menyusukan bayi. 

    #3. Jintan manis

    Dalam sesetengah produk teh atau suplemen untuk meningkatkan penghasilan susu ibu, jintan manis juga merupakan antara bahan yang biasa dimasukkan ke dalamnya.

    Malah, beberapa kajian menyatakan bahawa, pengambilan jintan manis ketika menyusukan bayi boleh meningkatkan jumlah dan kandungan lemak dalam susu ibu.

    Susu ibu yang tinggi dengan kandungan lemak boleh membantu menambahkan berat dan tumbesaran bayi. 

    #4. Sayuran berdaun hijau

    Kebanyakan buah-buahan dan sayuran sememangnya boleh membantu penghasilan lebih banyak susu ibu.

    Ini termasuklah sayuran yang berdaun hijau.

    Antara jenis sayuran yang sangat baik sebagai makanan ibu menyusu ialah seperti bayam, parsli, kubis, salad dan juga pak choy

    #5. Bijan

    Penduduk di Mexico menjadikan amalan memakan bijan sebagai cara untuk meningkatkan penghasilan susu ibu.

    Ini kerana, bijan amat tinggi dengan kandungan kalsium yang menggalakkan lebih banyak pengeluaran susu ibu.

    Pengambilan makanan yang tinggi dengan kalsium seperti bijan ketika menyusukan bayi adalah sangat penting.

    Ini kerana, selain untuk tujuan laktasi, ia juga baik untuk kesihatan tulang bayi.

    #6. Makanan tinggi protein

    Makanan yang tinggi kandungan protein amat penting bagi penghasilan susu ibu.

    Malah, kandungan protein ini akan diserap oleh bayi melalui susu badan yang akan menggalakkan tumbesaran bayi.

    Oleh sebab itu, wanita yang menyusukan bayi perlu mengambil lebih 25 gram protein dalam hidangan harian mereka.

    Antara jenis sumber protein terbaik sebagai diet ibu menyusu ialah seperti telur, tauhu, kekacang, biji-bijian dan juga daging tanpa lemak. 

    Jenis makanan atau diet ibu menyusu yang perlu dielakkan

    diet ibu menyusu

    Amat penting juga untuk anda mengetahui beberapa jenis makanan ibu menyusu yang perlu dielakkan ketika penyusuan.

    Ini kerana, makanan ibu menyusu ini bukan sahaja mengurangkan penghasilan susu ibu, malah menurunkan kualiti susu yang dihasilkan.

    Antara makanan ibu menyusu yang perlu dielakkan ialah: 

    #1. Alkohol

    Alkohol bukan sahaja tidak sihat untuk hati anda, malah ia juga boleh mengurangkan penghasilan susu ibu.

    Tiada paras kandungan alkohol dalam susu ibu yang selamat untuk bayi anda.

    Jika anda ada mengambil minuman beralkohol, elak menyusukan bayi anda dalam tempoh dua hingga tiga jam selepas pengambilannya.

    Diet ibu menyusu ini merupakan antara jenis makanan yang mesti dielakkan ketika menyusukan bayi. 

    #2. Ikan bersaiz besar

    Ikan merupakan sumber protein yang baik, namun tidak semua jenis ikan sesuai untuk dimakan oleh ibu yang sedang menyusukan bayi.

    Ikan-ikan bersaiz besar perlu dielakkan memandangkan jenis ini cenderung untuk memiliki kandungan merkuri yang tinggi.

    Bayi yang terdedah kepada merkuri dalam jumlah yang berlebihan menerusi susu ibu, berisiko tinggi untuk mengalami masalah saraf. 

    #3. Kafein

    Elakkan minum lebih daripada dua atau tiga cawan minuman berkafein setiap hari.

    Apabila terdapat kandungan kafein dalam susu anda, ia boleh mengganggu bayi untuk tidur lena. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan