Bagi mereka yang baru membiasakan diri dengan aktiviti di dapur, penyediaan ayam untuk tujuan memasak pasti agak mencabar. Apatah lagi jika ibu mentua meminta ayam potong 8, 10 atau 12 yang mungkin tidak diketahui teknik potongannya. Apa kata anda lihat beberapa kaedah dan cara potong ayam yang kami kongsikan di sini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Apa maksud ayam potong 8, 10 atau 12?
Jika anda ke pasar basah atau mana-mana pasar raya, individu yang menyiang ayam pasti akan bertanya kepada anda sama ada ayam yang hendak dibeli itu mahu dipotong berapa.
Biasanya peniaga akan menyebut mahu dipotong lapan, 10 atau 12. Ia sebenarnya merujuk kepada berapa bahagian ayam yang hendak dipotong.
Jika anda menyebut ayam dipotong lapan, maka peniaga akan memotong ayam kepada lapan potongan atau bahagian dan begitulah seterusnya.
Jadi, potongan manakah yang anda perlu pilih? Mudah sahaja, ia bergantung kepada jenis masakan yang anda mahu sediakan dengan ayam tersebut.
Jika anda mahu menyediakan hidangan untuk ahli keluarga yang agak ramai, potongan ayam yang kecil lebih sesuai. Sama ada dipotong 10, 12 atau 14.
Jika ahli keluarga tidak begitu ramai atau rata-ratanya orang dewasa, mungkin ayam boleh dipotong lapan atau 10 potongan sahaja supaya bahagian ayam tersebut lebih besar.
Namun, jika anda berasa lebih puas menyiang ayam sendiri di rumah, katakan sahaja kepada peniaga bahawa ayam tersebut tidak perlu dipotong.
[embed-health-tool-bmi]
Ini cara potong ayam yang boleh anda cuba
Berikut kami kongsikan beberapa kaedah potong ayam yang boleh anda lakukan di rumah:
#1. Cara potong ayam: Ayam dipotong 8
Untuk kaedah ini, caranya agak mudah. Sila ikuti langkah-langkah di bawah ini:
- Letakkan ayam di atas papan pemotong dengan dada ayam pada bahagian bawah.
- Kemudian, mula memotong ayam secara memanjang daripada bahagian leher perlahan-lahan sehinggalah ke bahagian ekor. Pastikan anda meletakkan pisau di sebelah tulang belakang ayam tersebut, bukannya di tengah-tengah tulang.
- Setelah itu, keluarkan segala organ dalaman ayam dan potong dengan cara yang sama pada bahagian dada ayam pula.
- Kini anda telah mendapat dua bahagian potongan ayam yang sama.
- Setelah itu, potong ayam kepada dua bahagian lagi bagi setiap potongan. Anda sudah mendapat empat potongan pada waktu ini iaitu dua bahagian dada dan dua bahagian paha ayam.
- Untuk setiap bahagian tersebut, potong lagi sekali kepada dua potongan. Bagi bahagian paha, potong pada sendi antara paha ayam dengan bahagian atas paha. Untuk bahagian dada pula, anda boleh memotong terus tanpa melihat kepada sendinya kerana bahagian tersebut tidak mempunyai sendi dan lebih lembut.
- Kini anda telah mendapat lapan potongan ayam yang cantik.
#2. Cara potong ayam ikut sendi
Selain daripada kaedah di atas, anda juga boleh memotong ayam melalui kaedah potongan sendi.
Kaedah ini lebih mudah kerana potongan dilakukan terus pada sendi ayam terlebih dahulu tanpa perlu memotong bahagian tulang belakangnya.
Cara potong ayam ini adalah seperti berikut:
- Buangkan terlebih dahulu segala lebihan kulit dan lemak yang terdapat pada ayam yang hendak dipotong.
- Mula potong ayam dengan memotong bahagian paha terlebih dahulu. Pastikan anda memotong paha tersebut pada bahagian sendi antara paha dengan badan ayam. Potong kedua-dua paha ayam.
- Setelah itu, potong dan pisahkan bahagian dada dengan tulang rangka ayam. Anda boleh melihat kawasan yang tidak mempunyai tulang dan potong di situ.
- Pada waktu ini, anda akan mempunyai dua bahagian paha, satu bahagian tulang rangka dan satu bahagian dada ayam.
- Untuk bahagian dada tersebut, anda boleh memotong bahagian kepak terlebih dahulu. Pastikan anda memotongnya pada kawasan sendi antara kepak dan badan ayam.
- Setelah kepak dipotong, anda akan mempunyai satu bahagian dada yang bersih. Anda boleh memotong bahagian dada ini mengikut keperluan masakan anda. Bagi mereka yang kurang gemar bahagian dada ayam, ia boleh dipotong kecil-kecil sebagai bahan rencah nasi goreng atau mi goreng.
- Anda boleh memotong bahagian kepak dan juga paha kepada dua atau tiga potongan kecil lagi.
- Bahagian tulang rangka pula boleh dipotong kecil-kecil dan disimpan sebagai stok sup atau rencah kuah yang lain.
- Cara potong ayam ini lebih mudah kerana ia boleh dilakukan dengan pisau atau gunting sahaja.
Kesimpulan
Menyediakan ayam yang siap dipotong tidaklah sesukar mana. Ia boleh dilakukan sendiri di rumah mengikut teknik yang kami ajarkan ini.
Namun walaupun mudah, ia tidak boleh dilakukan semberono kerana daging ayam pasti akan hancur dan tidak cantik. Selamat mencuba!