backup og meta

Ini Kepentingan Finger Food Untuk Bayi (Ekstra: 3 Resipi Enak Buat Si Manja)

Ini Kepentingan Finger Food Untuk Bayi (Ekstra: 3 Resipi Enak Buat Si Manja)

Masih ragu-ragu untuk berikan si manja finger food atau makanan jejari? Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui mengenai kepentingan dan juga resepi finger food untuk bayi.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

Kepentingan makanan jejari

‘Bila waktu sesuai untuk mula memberikan finger food?’ – ini antara persoalan biasa ditanya ibu bapa apabila mereka telah memulakan makanan pepejal kepada si manja.

Sebaiknya, makanan jejari ini diberikan seawal pemberian makanan pepejal. Ini supaya si kecil mendapat pelbagai manfaat perkembangan motor oral yang diperlukan untuk belajar cara makan dan perkembangan pertuturan.

Penerokaan makanan adalah pembelajaran mengenai makan – proses yang mengambil masa sekitar 2-3 tahun. Bahkan, seawal usia 4 bulan, walaupun belum mula mengambil makanan pejal, bayi suka meneroka mulut dengan pelbagai objek.

Ini cara mereka belajar. Maka memberikan makanan jejari bersama puri adalah peluang yang baik untuk mereka belajar tentang makanan – rupa, sentuhan, bau dan rasa.

resepi finger food untuk bayi

Manfaat pemberian finger food

Sebelum dikongsikan resepi finger food untuk bayi, berikut antara kebaikan memperkenalkan makanan ini buat si manja:

Perkembangan oral
  • Membantu dalam perkembangan kekuatan rahang
  • Perkembangan pergerakan lidah
  • Dapat mengunyah makanan dengan cekap – senaman untuk otak juga
Makanan jejari bantu rangsang deria 
  • Latihan gabungan semua deria seperti penglihatan, sentuhan, pergerakan, bau, pendengaran dan imbangan
  • Bayi bukan sahaja mempelajari cara merasa makanan tetapi juga memproses otak dan mengisyarat deria semasa makan
Kemahiran motor halus

Resepi finger food untuk bayi: Masa sesuai memulakannya

Makanan jejari boleh diperkenalkan seawal usia 7 bulan. Pada usia ini penglateralan (lateralization) lidah dan pergerakan rahang atas-bawah mula berkembang dan bayi akan dapat mengendalikan ketulan kecil makanan dalam puri dengan lebih cekap.

Apabila pemakanan bayi berkembang, anda boleh mula cuba memperkenalkan pelbagai jenis finger food yang boleh mereka genggam dan kunyah.

Pilihlah rangkaian buah-buahan dan sayuran berwarna terang daripada semua bentuk dan saiz.

Pada usia 9 bulan, si manja akan membangunkan kawalan tangan lebih tepat – ini adalah masa yang sesuai untuk menggalakkan mereka makan sendiri.

Walau bagaimanapun, amat penting untuk diingatkan apabila ibu bapa mula memberikan finger food ini, si manja harus sentiasa diawasi dan tidak boleh dibiarkan bersendirian untuk makan. 

Si manja juga harus duduk setempat dan tidak boleh berlari atau berjalan kerana ia boleh meningkatkan risiko tercekik.

Baca juga:

Resepi finger food untuk bayi

Jika anda sedang mencari idea untuk makanan jejari bayi, fikirkan sesuatu yang lembut, kecil dan mudah dikunyah.

Selain daripada sayuran yang dikukus seperti brokoli, kubis bunga atau lobak merah sebagai finger food, berikut adalah beberapa resepi yang boleh anda cuba:

Resepi finger food untuk bayi #1. Cheese straw

Bahan-bahan diperlukan:

  • Keju cheddar – diparut
  • Tepung gandum
  • Mentega
  • Telur – dipukul
  • Susu 

Cara penyediaan:

  1. Gunakan sedikit mentega untuk melicinkan loyang dan panaskan ketuhar pada 180 darjah Celcius.
  2. Ayak tepung dalam mangkuk dan masukkan mentega. Gosokkan adunan sehingga ia menghasilkan seakan serbuk roti.
  3. Kemudian tambah keju, setengah telur dan gaulkan. Satukan doh dengan tangan.
  4. Canai doh di atas permukaan yang ditabur tepung sehingga setebal ½ cm. Potong dan bentukkan seakan straw dan letakkan di atas loyang.
  5. Sapukan doh dengan baki telur.
  6. Masukkan ke dalam ketuhar selama 10 minit sehingga perang keemasan.

resepi finger food untuk bayi

2. Banana toast, antara resepi finger food untuk bayi

Bahan-bahan diperlukan:

  • 1 keping roti – dipotong ikut saiz jejari
  • 1 pisang masak
  • 60 ml susu yang biasa diminum bayi – susu badan, formula atau susu lembu
  • Serbuk kayu manis

Cara penyediaan:

  1. Masukkan pisang, susu dan serbuk kayu manis di dalam mangkuk dan lenyekkan sehingga sebati.
  2. Panaskan kuali dengan api sederhana. Celupkan roti ke dalam adunan pisang dan gorengkan selama 1-2 minit pada setiap sisi atau sehingga kekuningan.
  3. Hidangkan sebagai makanan jejari.

Resepi finger food untuk bayi #3. Telur dadar

Bahan-bahan diperlukan:

  • 2 biji kuning telur sahaja
  • Sayur bayam – dihiris
  • Keju kotej

Cara penyediaan:

  1. Satukan semua bahan di dalam mangkuk, kacau sebati kemudian ketepikan.
  2. Panaskan kuali dengan mentega.
  3. Tuang adunan dan lakukan seperti memasak telur dadar biasa.
  4. Potong mengikut saiz yang sesuai sebelum diberikan kepada si manja.

resepi finger food untuk bayi

Tuntasnya 

Apabila bayi mula mengambil makanan jejari, susu ibu dan susu formula tetap menjadi sumber makanan utama, diikuti dengan puri.

Anda harus terus menyuap si manja dan dalam masa yang sama memberikan mereka peluang untuk menyuap diri sendiri.

Jika si kecil tidak bertindak balas secara positif, usah memaksa dan cuba lagi kemudian.

Apa yang penting, ibu bapa perlu sentiasa mencuba untuk menawarkan pilihan makanan kepada si manja. Kunci paling utama di sini adalah untuk mempunyai kesabaran yang tinggi.

[embed-health-tool-vaccination-tool]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Why Are Finger Foods Important For Toddlers? https://www.littledish.co.uk/advice-and-recipes/why-finger-foods, Accessed on Jan 24, 2022
  2. Finger Foods for Babies. https://kidshealth.org/en/parents/finger-foods.html, Accessed on Jan 24, 2022
  3. 10 ideas for finger foods for babies and toddlers. https://www.doctoryum.org/en/stories/ten-ideas-for-finger-foods-for-babies-and-toddlers, Accessed on Jan 24, 2022
  4. Starting Solid Foods. https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/baby/feeding-nutrition/Pages/Starting-Solid-Foods.aspx, Accessed on Jan 24, 2022
  5. Finger foods: in pictures. https://raisingchildren.net.au/toddlers/nutrition-fitness/food-recipes/finger-foods, Accessed on Jan 24, 2022
  6. Baby Foods To Finger Foods. https://www.framingham.edu/Assets/uploads/academics/colleges/science-technology-engineering-and-mathematics/food-and-nutrition/_documents/pedi-baby-food-finger-food.pdf, Accessed on Jan 24, 2022
  7. 13 Finger Food Recipes for Your Baby or Toddler to Move Past Purees. https://www.brit.co/baby-finger-foods/, Accessed on Jan 24, 2022

Versi Terbaru

22/11/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Makanan Yang Elok Dimakan Mentah Dan Yang Elok Dimasak

Nak Sediakan Sarapan Pagi Yang Sihat, Mudah & Cepat? Cuba Ini Hanya Guna 5 Bahan Sahaja!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan