backup og meta

Kafein Bantu Tingkat Prestasi Ahli Sukan, Tapi Ada Pro & Kontra Jika Atlet Minum Kopi!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 04/07/2022

    Kafein Bantu Tingkat Prestasi Ahli Sukan, Tapi Ada Pro & Kontra Jika Atlet Minum Kopi!

    Banyak suplemen kafein ada dijual di pasaran. Ia direka khusus untuk kegunaan individu seperti atlet bagi meningkatkan produktiviti ketika bersenam.

    Buat pembaca yang masih tidak tahu, minuman kafein (atau suplemen) bukan sahaja boleh membuatkan anda menahan rasa mengantuk.

    Ia juga boleh meningkatkan prestasi sukan, tumpuan dan kadar pembakaran lemak bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

    Bayangkan, reputasi kafein begitu diketahui ramai sehingga ia digunakan dalam latihan tentera khas Amerika Syarikat.

    Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut berkenaan dengan kafein dan bagaimana ia boleh meningkatkan prestasi atlet, teruskan membaca.

    Fahami peranan kafein terhadap sel-sel badan

    prestasi atlet

    Berbeza dengan kompaun lain, kafein boleh mempengaruhi fungsi sel seluruh badan.

    Kadar penyerapannya ke dalam salur darah agak laju dan parasnya memuncak pada minit ke-90 hingga 100 selepas pengambilannya.

    Bermula saat itu, kafein akan mempengaruhi fungsi sel dari pelbagai sistem sebelum ia mula dikumuhkan 3 hingga 4 jam selepas ia diambil.

    Antara fungsi fisiologi yang akan mengalami rangsangan kesan daripada pengambilan minuman kafein adalah seperti berikut:

    1. Kafein boleh mengaktifkan fungsi otak bagi meningkatkan daya tumpuan dan tenaga di samping menghilangkan rasa lesu.
    2. Pembakaran lemak boleh dipertingkatkan dengan pengambilan kafein berikutan ia menggalakkan proses penggunaan lemak sebagai sumber tenaga (lipolysis).
    3. Kafein boleh merangsang penghasilan hormon gembira, endorfin.
    4. Pengambilan kafein meningkatkan penghasilan hormon adrenalin. Ia juga boleh mempengaruhi tahap prestasi senaman memandangkan hormon tersebut terlibat di dalam tindak balas lawan atau lari.
    5. Kafein berupaya untuk memberi kesan kepada korteks motor pada otak. Ini boleh menyebabkan proses pengaktifan otot berlaku secara serta-merta.
    6. Jika anda sedang obses dengan pembakaran lemak, pengambilan kafein boleh meningkatkan penghasilan haba. Perkara ini membantu anda untuk membakar lebih banyak kalori.

    Terdapat beberapa organisasi sukan yang melarang atlet daripada menggunakan kafein berdos tinggi.

    Ia berikutan mereka yang mengambil suplemen tersebut mengalami peningkatan prestasi yang sangat signifikan sehingga ia tidak adil bagi mereka yang tidak mengambilnya.

    Pada tahun 1985, kajian yang dijalankan di Universiti Guelph menunjukkan peningkatan prestasi atlet boleh dicapai pada kepekatan kafein 4.45mg per kilogram berat badan.

    Bayangkan, dengan hanya mengambil minuman kafein, mereka boleh berlari 2 hingga 3.2 km lebih jauh berbanding dengan kumpulan yang mengambil plasebo.

    Dapatan tersebut disokong oleh pelbagai jenis kajian yang berkaitan dengan kafein.

    Pada tahun 2008, kajian oleh Universiti Birmingham di United Kingdom (UK) telah menunjukkan prestasi atlet meningkat 9% jika mereka mengambil kafein berbanding dengan subjek yang mengambil air kosong.

    Jika hendak dibandingkan dengan pengambilan karbohidrat sekalipun, kafein masih menjuarai carta.

    Mereka yang mengambil kafein mengalami peningkatan prestasi setinggi 4.6% berbanding dengan mereka yang mengambil karbohidrat.

    Tidak cukup dengan itu?

    Pada tahun 2007, kajian oleh Universiti Kanazawa menunjukkan peminum kopi berupaya untuk berlari 4.2 saat lebih pantas di dalam perlumbaan 1,500 meter.

    Perbandingan dibuat dengan kumpulan yang mengambil air kopi tanpa kafein.

    Kesan positif kafein tidak konsisten untuk atlet angkat berat

    prestasi atlet

    Dapatan kajian yang jelas boleh dilihat pada mereka yang mengambil kafein sebelum melakukan senaman kardio seperti larian, berbasikal dan sebagainya.

    Namun, apabila ia berkait dengan senaman yang membina kekuatan badan, terdapat sedikit pencanggahan. 

    Bukti saintifik yang berkaitan dengannya juga masih lagi tidak konklusif.

    Setakat ini, kajian menunjukkan kafein hanya memberikan kesan positif terhadap jenis senaman yang melibatkan penggunaan otot major seperti dada, belakang, kaki dan bahu.

    Kumpulan otot minor seperti bisep dan trisep tidak berupaya menggunakan sepenuh kebaikan yang dimiliki oleh kafein.

    Secara amnya, kafein boleh memberikan tenaga kepada otot untuk melakukan senaman pada kadar ulangan yang lebih tinggi berbanding dengan individu yang tidak mengambil kompaun tersebut.

    Jelas di sini menunjukkan bahawa kafein boleh memberikan kebaikan kepada individu yang mengamalkan senaman yang memerlukan pergerakan bertenaga tinggi (melibatkan kumpulan otot major).

    Ditambah pula dengan keupayaannya dalam membakar lemak, penggunaan kompaun ini menjadi idaman setiap individu yang menginginkan berat badan ideal.

    Konklusi

    Larangan menggunakan suplemen kafein hanya dibuat ketika upacara sukan besar-besaran bertaraf antarabangsa.

    Hakikatnya, ramai atlet yang menggunakan suplemen ini bagi mendapatkan kebaikan yang optimum.

    Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terutamanya jika anda cenderung untuk mendapat kesan sampingan setelah menggunakan produk berkafein.

    Sekiranya berlaku seperti yang demikian, jangan lupa untuk rujuk doktor perubatan bagi mendapatkan nasihat perubatan dan pemeriksaan kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan