backup og meta

Jangan Terkejut, 5 Perkara Ini Boleh Buatkan Anda Jadi Obes Tanpa Sedar!

Jangan Terkejut, 5 Perkara Ini Boleh Buatkan Anda Jadi Obes Tanpa Sedar!

Kita biasa mendengar punca-punca obesiti seperti pengambilan gula dan makanan yang tinggi lemak. Namun, terdapat beberapa punca obesiti lain yang anda mungkin tidak sangka. Ini lima punca yang anda tidak terfikir pun boleh buatkan diri mengalami berat badan berlebihan.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

5 punca obesiti selain gula dan makanan berlemak

punca obesiti

Sebenarnya, terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada obesiti sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Penyebab obesiti seperti makanan berlemak dan makanan yang tinggi gula merupakan antara jenis punca yang biasa berlaku.

Walaupun begitu, ada juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan anda menjadi obes tanpa anda sedari.

Kami senaraikan lima punca yang boleh menyebabkan obesiti yang anda mungkin tidak sangka. 

Punca obesiti #1. Makan secara beremosi (emotional eating)

Tahukah anda, jika anda mengalami kemurungan atau berada dalam satu keadaan yang beremosi, anda mungkin cenderung untuk makan dengan lebih banyak untuk membuatkan diri anda berasa lebih baik.

Banyak kajian telah menunjukkan kaitan antara emosi dan juga tabiat makan secara berlebihan.

Hal ini lebih membimbangkan dalam kalangan mereka yang bergelut untuk mengawal emosi mereka.

Makan secara beremosi ini bukan sahaja berlaku ketika emosi negatif, tetapi juga sewaktu mengalami emosi yang positif.

Ini termasuklah ketika sedang gembira mahupun sedih. Makan secara beremosi merupakan antara penyebab obesiti yang ramai tidak sedar. 

#2. Faktor genetik dan juga prakehamilan

punca obesiti

Pilihan gaya hidup dan juga diet ibu hamil mungkin boleh mempengaruhi komposisi tubuh dan juga tingkah laku bayi yang akan dilahirkan kelak.

Kajian ada menunjukkan bahawa, wanita yang mengalami pertambahan berat badan semasa hamil cenderung untuk memiliki anak yang berlebihan berat badan sewaktu umurnya tiga tahun.

Begitu juga dengan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa dan juga datuk atau nenek yang obes.

Kanak-kanak ini cenderung untuk mengalami obesiti berbanding kanak-kanak dengan ibu bapa yang tidak obes.

Walaupun genetik dan faktor kehidupan awal bukanlah menjadi penyebab secara langsung kepada obesiti, namun ia masih boleh menyebabkan kecenderungan kepada seseorang individu tersebut untuk mengalami pertambahan berat badan. 

#3. Ubat-ubatan atau keadaan penyakit

Seperti yang kita tahu, kebanyakan penyakit dirawat dengan penggunaan ubat-ubatan farmaseutikal.

Antara kesan sampingan ubat-ubatan ini ialah pertambahan berat badan.

Biasanya, ubat-ubatan diabetes, antidepresan dan juga antipsikotik boleh memberikan kesan peningkatan berat badan.

Ubat-ubatan memberikan kesan sampingan dengan cara meningkatkan selera makan, mengurangkan metabolisme badan, malah boleh mengubah kebolehan tubuh dalam membakar lemak.

Ramai yang tidak percaya, bahawa ubat-ubatan juga boleh menjadi antara punca punca obesiti, bukan?

#4. Kesan bakteria usus juga punca obesiti

Dalam perut atau usus manusia, terdapat jutaan bakteria yang disebut sebagai bakteria usus.

Kajian menunjukkan bahawa kewujudan bakteria ini memainkan peranan yang penting terhadap kesihatan keseluruhan tubuh badan kita.

Walau bagaimanapun, individu yang mengalami obesiti cenderung untuk memiliki bakteria usus yang berbeza berbanding individu dengan berat badan normal.

Bakteria usus pada individu yang mempunyai obesiti mungkin lebih efisien dalam memproses tenaga daripada makanan, yang kemudiannya meningkatkan nilai kalori pemakanan.

Namun, masih banyak kajian diperlukan bagi memahami hubungan antara berat badan dan bakteria usus dengan lebih jelas. 

#5. Kerintangan leptin

Leptin merupakan sejenis hormon yang membantu mengawal selia selera makan dan juga metabolisme badan.

Hormon leptin ini dihasilkan oleh sel lemak dan akan menghantar isyarat ke otak untuk memberitahu bahawa perut kita sudah kenyang.

Leptin akan mengawal jumlah kalori yang anda makan, selain jumlah lemak yang disimpan dalam tubuh anda.

Walau bagaimanapun, akan wujud satu keadaan yang disebut sebagai kerintangan leptin.

Apabila kerintangan leptin berlaku, otak anda tidak dapat mengesan atau mengenal pasti isyarat daripada leptin.

Apabila ia tidak mendapat isyarat daripada leptin, otak menganggap bahawa perut kita sedang lapar dan membuatkan kita makan dengan lebih banyak.

punca obesiti

Kerintangan leptin juga menjadi antara faktor obesiti tanpa kita sedari. 

Kesimpulan

Apabila kita bercakap mengenai penyebab obesiti, terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan ia terjadi.

Malah, kebanyakannya terdiri daripada perkara-perkara di luar kawalan anda. Ini termasuklah genetik, tabiat makan sewaktu zaman kanak-kanak dan juga peranan hormon.

Walaupun anda mungkin tidak boleh menghalang penyebab obesiti ini daripada berlaku, namun anda masih boleh menurunkan berat badan anda mengikut kemahuan anda. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Emotional eating and Obesity. https://www.healthactioncampaign.org.uk/obesity/emotional-eating-and-obesity/. Accessed on June 28, 2022. 

Mitri, J., & Hamdy, O. (2009). Diabetes medications and body weight. Expert opinion on drug safety, 8(5), 573–584. https://doi.org/10.1517/14740330903081725. Accessed on June 28, 2022.

Cani, P. D., & Delzenne, N. M. (2009). The role of the gut microbiota in energy metabolism and metabolic disease. Current pharmaceutical design, 15(13), 1546–1558. https://doi.org/10.2174/138161209788168164. Accessed on June 28, 2022.

Causes of obesity. https://www.nhs.uk/conditions/obesity/causes/. Accessed on June 28, 2022.

Obesity Causes. https://www.hsph.harvard.edu/obesity-prevention-source/obesity-causes/. Accessed on June 28, 2022.

Versi Terbaru

11/01/2023

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Obesiti Dan Pencegahannya, Ini Artikel Yang Anda Perlu Baca Di Musim Perayaan!

4 Cara Mencegah Obesiti Paling Mudah, Cepat & Berkesan! Point No. 3 Penting!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan