Pisang adalah antara tanaman tumbuhan terpenting di planet ini. Ia bukan sahaja menyihatkan malah cukup lazat dimakan!
Ia berasal daripada keluarga tumbuhan disebut sebagai Musa, yang berasal dari Asia Tenggara dan tumbuh di banyak kawasan yang lebih panas di dunia.
Pisang adalah sumber serat, kalium, vitamin B6, vitamin C yang sihat, pelbagai antioksidan dan fitonutrien.
Tidak terhad dengan satu variasi, ia boleh didapati dalam pelbagai jenis dan saiz.
Warnanya pula biasanya berkisar daripada hijau hingga kuning, tetapi ada juga yang berwarna merah.
Bagi para pembaca di luar sana, artikel ini akan menyediakan informasi, khasiat dan manfaat pisang yang perlu kalian ketahui. Teruskan membaca!
Baca lebih lanjut tentang Pemakanan Sihat di sini.
Fakta pemakanan: Pisang
Untuk pengetahuan, fakta pemakanan untuk 1 pisang bersaiz sederhana (100 gram) adalah:
- Kalori: 89
- Air: 75%
- Protein: 1.1 gram
- Karbohidrat: 22.8 gram
- Gula: 12.2 gram
- Serat: 2.6 gram
- Lemak: 0.3 gram
Sekarang, mari kita kupas dengan lebih lanjut mengenai sumber-sumber karbohidrat, serat, vitamin dan lain-lain di dalam buah pisang.
#1 Karbohidrat
Pisang adalah sumber karbohidrat yang kaya, yang mengandungi kanji pada pisang yang belum masak dan gula pada pisang yang sudah matang.
Komposisi karbohidrat di dalam pisang pula akan berubah secara drastik semasa proses pematangan.
Seperti yang telah dimaklumkan, komponen utama bagi pisang yang belum masak adalah kanji.
Pisang hijau mengandungi kanji sehingga 80% apabila diukur dalam berat kering.
Dalam proses pematangan, kanji bakal ditukar menjadi gula dan akhirnya menjadi kurang daripada 1% apabila pisang matang sepenuhnya.
Antara jenis gula yang terdapat di dalam pisang yang sudah masak adalah sukrosa, fruktosa, dan glukosa.
Pada pisang masak, jumlah kandungan gula juga boleh mencapai lebih daripada 16% berat segar.
Tambah lagi, pisang mempunyai indeks glisemik (GI) yang agak rendah iaitu 42–58, bergantung pada kematangannya.
GI merupakan ukuran seberapa cepat karbohidrat dalam makanan memasuki saluran darah dan meningkatkan gula darah.
#2 Serat
Sebilangan besar kanji di dalam pisang yang belum masak adalah resistant starch, yang melewati usus tanpa dicerna.
Di usus besar, kanji ini diperam oleh bakteria untuk membentuk butirat, asid lemak rantai pendek yang ternyata mempunyai kesan yang baik terhadap kesihatan usus.
Pisang juga merupakan sumber serat jenis lain yang baik, seperti pektin. Sebilangan pektin di dalam pisang juga larut dalam air.
Apabila pisang sudah masak, kandungan pektin larut air turut meningkat, yang menjadi salah satu sebab utama mengapa pisang menjadi lembut apabila bertambah matang.
Kedua-dua pektin dan resistant starch juga mengawal tahap kenaikan gula darah selepas makan.
#3 Vitamin dan mineral
Antara manfaat pisang yang lain, ia merupakan sumber beberapa vitamin dan mineral yang baik, terutamanya kalium, vitamin B6, dan vitamin C.
- Potasium: Pisang adalah sumber potasium yang baik. Makanan yang tinggi potasium dapat menurunkan tekanan darah pada mereka dengan tekanan tinggi dan juga baik untuk kesihatan jantung
- Vitamin B6: Pisang juga kaya vitamin B6. Satu pisang bersaiz sederhana dapat menyediakan hingga 33% daripada nilai harian (DV) vitamin ini
- Vitamin C: Seperti kebanyakan buah, pisang adalah sumber vitamin C yang baik
#4 Sebatian tanaman lain
Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi pelbagai jenis sebatian tanaman bioaktif, dan pisang juga tidak terkecuali.
- Dopamin: Walaupun ia adalah neurotransmitter penting di otak anda, dopamin daripada pisang tidak melintasi penghalang darah-otak untuk mempengaruhi mood. Sebaliknya, ia bertindak sebagai antioksidan
- Catechin: Beberapa flavonoid antioksidan dijumpai di dalam pisang, terutama catechins. Ia dikaitkan dengan pelbagai faedah kesihatan, termasuk penurunan risiko penyakit jantung
Manfaat pisang terhadap kesihatan
Selain lazat dimakan, khasiat pisang terhadap kesihatan juga tidak dapat disangkal lagi, jom baca!
-
Kesihatan jantung
Penyakit jantung adalah penyebab kematian pramatang yang paling biasa berlaku di dunia.
Pisang bersifat tinggi potasium, mineral yang meningkatkan kesihatan jantung dan tekanan darah normal.
Satu biji pisang yang bersaiz sederhana mengandungi sekitar 0.4 gram mineral ini.
Menurut analisis daripada banyak kajian, pengambilan potasium harian sebanyak 1.3-1.4 gram dikaitkan dengan 26% lebih rendah risiko penyakit jantung.
Selain itu, pisang mengandungi flavonoid antioksidan yang juga dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit jantung yang ketara.
-
Kesihatan pencernaan
Pisang hijau yang belum matang mengandungi sejumlah besar kanji dan pektin, yang merupakan jenis serat makanan.
Resistant starch dan pektin bertindak sebagai nutrien prebiotik, menyokong pertumbuhan bakteria usus yang bermanfaat.
Dalam usus anda, serat ini diperam oleh bakteria baik yang membentuk butirat, asid lemak rantai pendek yang meningkatkan kesihatan usus.
Pisang memang bagus, tetapi ada juga kelemahannya
Benar, khasiat pisang pada kesihatan kita memang ada, tetapi terdapat pendapat bercampur mengenai sama ada pisang baik untuk penderita diabetes jenis 2 atau tidak.
Ini kerana pisang tinggi kandungan kanji dan gula. Oleh itu, sesetengah orang mungkin menganggap ia berisiko menyebabkan kenaikan gula darah yang tinggi.
Tetapi kerana nilai GI yang rendah, pengambilan pisang secara sederhana seharusnya tidak meningkatkan kadar gula darah, sama dengan makanan karbohidrat tinggi yang lain.
Pun begitu, penghidap diabetes harus sentiasa berhati-hati dan mengelak daripada makan pisang yang sudah matang dalam kuantiti banyak.
Walau bagaimanapun, anda disarankan untuk selalu memantau kadar gula dalam darah terutamanya setelah mengambil banyak gula dan karbohidrat.
Ini kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat bukan?
[embed-health-tool-bmr]