Apabila Cristiano Ronaldo mengalihkan botol minuman berkarbonat semasa sidang akhbar baru-baru ini, ia disambut dengan pelbagai sorakan positif. Ini kerana ramai mengetahui keburukan air berkarbonat walaupun pengilangnya adalah penaja utama sukan bola sepak dunia. Bagi anda yang belum tahu, ini bahaya minuman berkarbonat.
Apa itu minuman berkarbonat?
Apabila kita meminum minuman berkarbonat, kita akan merasakan sensasi tajam pada lidah kita.
Ini kerana, minuman berkarbonat ialah sejenis minuman yang telah dimasukkan atau disuntik dengan gas karbon dioksida.
Ini yang menjadikan air berkarbonat menjadi bergas dan berbuih apabila diminum. Apabila air dan karbon dioksida bercampur, ia akan menghasilkan asid karbonik.
Asid ini mencetuskan sensasi terbakar dan berduri ketika diminum.
Namun, meminum air berkarbonat seperti ini tidak menjadikan tubuh badan kita lebih berasid.
Ini kerana buah pinggang dan juga paru-paru akan mengeluarkan gas karbon dioksida yang berlebihan daripada tubuh badan.
Keburukan air berkarbonat yang ramai tidak tahu
Walaupun secara dasarnya gas karbon dioksida dalam air berkarbonat tidaklah berbahaya, namun minuman ini masih lagi membahayakan tubuh kita.
Berikut adalah beberapa risiko kesihatan yang boleh berlaku jika kita kerap meminum minuman berkarbonat.
Bahaya minuman berkarbonat 1: Sebabkan gigi reput
Minuman berkarbonat ialah sejenis minuman yang tinggi kandungan gula.
Apabila gula ini melekat pada gigi, ia berfungsi sebagai bahan makanan bagi bakteria.
Ini menjadikan beberapa bahan kimia terhasil dan menjadikan enamel pada gigi anda pecah atau tertanggal.
Jika anda kerap mengambil minuman berkarbonat, proses pereputan ini akan menjadi lebih cepat.
Ada kajian yang menunjukkan, gabungan gula dan juga gas karbon dioksida boleh menyebabkan pereputan gigi yang sangat teruk.
Jangan pelik jika gigi anda cepat menjadi berlubang dan hitam akibat meminum minuman berkarbonat.
Keburukan air berkarbonat 2: Sebabkan pedih ulu hati
Minuman berkarbonat mengandungi karbon dioksida terlarut, yang akan menjadi gas apabila masuk ke dalam perut anda.
Pengambilan minuman berkarbonat seperti ini boleh menyebabkan anda kerap sendawa.
Ini kerana, perut anda meregang disebabkan pengumpulan gas karbon dioksida di dalam perut.
Apabila terlalu banyak gas di dalam perut, makanan dan asid perut mungkin akan terkeluar semasa anda bersendawa.
Bahaya minuman berkarbonat 3: Mengurangkan kekuatan tulang
Dalam sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2006 menyatakan, wanita yang mengambil minuman bergas lebih berisiko untuk mempunyai tulang pinggul yang lemah.
Tidak kira jika ia mengambil minuman berkarbonat biasa atau diet, tulang pinggul mereka didapati lebih lemah berbanding mereka yang tidak mengambil minuman sebegini.
Tahap kelemahan tulang itu berkaitan dengan jumlah minuman bergas yang diambil setiap hari.
Keburukan air berkarbonat 4: Tingkatkan risiko alami obesiti
Pengambilan minuman berkarbonat yang mengandungi gula akan menambah jumlah kalori pada makanan anda.
Ini sememangnya boleh meningkatkan risiko kegemukan dan obesiti seseorang individu.
Dalam artikel yang diterbitkan pada tahun 2007, kajian tersebut melaporkan bahawa risiko obesiti yang berkaitan dengan pengambilan minuman berkarbonat ternyata lebih besar dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
Risiko ini juga lebih besar bagi individu dewasa berbanding kanak-kanak dan juga golongan remaja.
Anda perlu tahu, berat badan berlebihan dan obesiti adalah faktor risiko yang signifikan bagi perkembangan diabetes jenis 2, penyakit jantung dan osteoartritis.
Keburukan air berkarbonat 5: Nutrisi yang buruk
Minuman berkarbonat juga boleh menjejaskan pengambilan nutrisi anda secara keseluruhan.
Apabila anda mengambil minuman ini, ia boleh mengurangkan pengambilan kanji, serat pemakanan, protein dan juga vitamin B2 yang penting untuk tubuh.
Mereka yang meminum minuman berkarbonat juga lebih cenderung untuk tidak memakan buah-buahan berbanding mereka yang tidak mengambil minuman bergas.
Cara untuk elakkan pengambilan minuman berkarbonat
Jika anda teringin untuk meminum minuman seperti ini, gunakan salah satu daripada tip di bawah ini:
- Minum minuman sparkling tanpa gula yang dijual di pasaran. Meskipun ia bergas, ia tidak mengandungi gula seperti minuman berkarbonat yang lain
- Gantikan minuman berkarbonat dengan jus buah-buahan
- Anda juga boleh mengambil buah-buahan sebagai ganti minuman berkarbonat
- Cuba minum teh kombucha yang ternyata lebih sihat dan baik untuk usus anda
- Ambil minuman lemonade tanpa gula tambahan
Kemenangan untuk polisi kesihatan terhadap keburukan air berkarbonat
Cristiano Ronaldo diketahui sebagai seorang pemain bola sepak yang amat menjaga kesihatan tubuhnya.
Tindakannya mengalihkan minuman berkarbonat semasa sidang akhbar menunjukkan prinsipnya yang tegas dalam mempromosikan gaya hidup yang sihat.
Ini merupakan satu kemenangan besar buat polisi kesihatan disebabkan pengaruh Cristiano Ronaldo itu sendiri dalam dunia sukan dengan jutaan peminat di seluruh dunia.
[embed-health-tool-bmr]