Makan sebiji buah ini pada setiap hari mampu untuk menjauhkan diri kita daripada doktor, ini adalah pepatah lama yang sering dikaitkan dengan khasiat epal.
Mungkin pepatah ini bukan sekadar mitos namun fakta kerana epal adalah antara jenis buah yang bagus untuk tubuh badan serta sering dikaitkan dengan penurunan berat badan individu.
Persoalannya, benarkah pengambilan buah ini mampu menurunkan atau menaikkan berat badan? Jom bersama teruskan membaca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut!
Ini khasiat epal terhadap kesihatan tubuh badan!
Untuk pengetahuan anda, buah ini amat kaya dengan pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, mineral dan lain-lain yang sangat bagus untuk tubuh badan.
Antara khasiat makan epal yang utama adalah buat penderita diabetes di mana ia mampu untuk membantu mengawal kadar glukosa ekoran kandungan indeks glisemiknya yang rendah.
Bukan itu sahaja, epal juga dipercayai bagus untuk mengelakkan penyakit kanser seperti kanser mulut, tekak, payudara, ovari dan kolon jika diambil sehari sekali.
Selain itu juga, buah ini bagus untuk kesihatan 2 organ utama di dalam tubuh badan iaitu:
- Jantung – Kajian menunjukkan epal yang tinggi dengan antioksidan mampu menurunkan risiko kematian akibat penyakit berkaitan jantung
- Otak – Kajian membuktikan epal mampu mengekalkan tahap sistem neurotransmitter yang sangat penting untuk fungsi optimum otak
Dalam erti kata lebih mudah, terdapat pelbagai manfaat epal terhadap kesihatan tubuh badan. Persoalannya, bagaimana pula ia mempengaruhi berat badan?
Adakah ia akan buat berat badan turun @ naik?
Menurut sebuah kajian yang dijalankan terhadap 124,086 orang dewasa selama 4 tahun lamanya, pengambilan buah epal mampu untuk menurunkan berat badan.
Untuk lebih spesifik, kajian ini menyatakan mereka yang kerap makan buah epal mampu untuk menurunkan purata berat badan kira-kira 1.24 paun atau 0.56 kg.
Dalam pada itu, kajian ini turut mendedahkan ia bukan sahaja mampu menurunkan berat badan orang dewasa malahan mengelakkan risiko obesiti kanak-kanak.
Jadi, mungkin dapat disimpulkan di sini bahawa khasiat epal mampu untuk menurunkan berat badan jika buah ini diambil dengan kualiti dan kuantiti yang wajar.
Bagaimana ia mampu menurunkan berat badan?
Jika benar khasiat epal mampu untuk menurunkan berat badan, bagaimana pula ia berfungsi?
#1. Buah ini amat rendah dengan kalori
Buah epal itu sebenarnya sangat kaya dengan air, kira-kira 86% kapasitinya adalah air serta amat rendah dengan kalori yang bagus untuk kawal berat badan.
Ia dipercayai hanya mempunyai kira-kira 95 kalori namun sangat mengenyangkan jika diambil memandangkan majoriti kapasitinya penuh dengan air sahaja.
Oleh itu, buah ini adalah pilihan yang bagus untuk membuat anda kenyang di samping mampu membuat berat badan turun tanpa perlu berlapar terlalu lama.
#2. Ia sangat tinggi dengan serat
Manfaat epal untuk kawal berat badan seterusnya pula adalah di mana sebiji buah ini yang hanya bersaiz sederhana akan mengandungi kira-kira 4 gram serat.
Ini sudah memenuhi sekurang-kurangnya 16% saranan pengambilan serat buat wanita serta 11% buat lelaki lantas menjadikannya sumber serat yang baik.
Pengambilannya akan memperlahankan proses pencernaan makanan yang membuat anda kenyang lebih lama sekali gus bagus buat kesihatan metabolik tubuh badan.
Khasiat epal #3. Ia mengenyangkan
Paling utama, anda semua perlu tahu bahawa buah yang rendah dengan kalori namun tinggi dengan serat ini adalah sangat mengenyangkan jika diambil.
Dalam satu kajian terbaharu, didapati bahawa pengambilan buah ini lebih memuaskan selera makan jika dibanding dengan pengambilan jus atau sos epal.
Kesannya, sudah pasti ia akan membuat kalian makan lebih sedikit sekali gus menjayakan usaha untuk menurunkan berat badan ke tahap yang lebih ideal.
Selain epal, apakah buah lain yang mengandungi khasiat sama?
Konklusinya, kebaikan makan epal itu adalah sangat bagus dalam usaha anda untuk menurunkan berat badan terutamanya buat mereka yang ada masalah obesiti.
Selain epal, sebenarnya ada banyak lagi jenis buah lain dengan khasiat yang hampir sama seperti tembikai, pir, jambu, pisang, avokado dan sebagainya.
Apa yang penting adalah anda yang ingin mengawal berat badan perlu mengambil buah-buahan yang rendah kalori, tinggi serat dan juga mengenyangkan.
Sekiranya mempunyai persoalan mengenai khasiat makan epal atau buah lain, sila dapatkan informasi dan nasihat daripada pakar pemakanan berdekatan dengan anda.
[embed-health-tool-bmi]