Bencana Banjir Boleh Tingkatkan Kes Denggi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Jika anda fikir nyamuk Aedes tidak akan bertelur semasa musim bah kerana aliran air yang deras, perkara tersebut adalah benar. Namun, kita perlu ingat bahawasanya, banjir cuma permulaan kepada fasa perluasan habitat untuk nyamuk ini bertelur. Nak tahu dengan lebih lanjut? Ikuti artikel ini!

Dua kumpulan nyamuk Aedes

Walaupun kebanyakan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa membuatkan nyamuk Aedes kelihatan gemar dengan bekas buatan manusia seperti takungan air pada pasu bunga, tong sampah, tayar-tayar yang terbiar dan sebagainya, namun terdapat dua kumpulan nyamuk Aedes yang mempunyai habitat pilihan tersendiri untuk bertelur. Mereka digelar container mosquito (nyamuk bekas) dan floodwater mosquito (nyamuk air banjir).

Nyamuk bekas kebiasaannya bertelur pada bekas-bekas buatan manusia yang mempunyai takungan air. Aedes aegypti dan Aedes albopictus adalah merupakan dua spesies nyamuk Aedes yang gemarkan kawasan takungan pada bekas-bekas untuk bertelur, sama ada bekas semula jadi atau bekas buatan manusia.

Nyamuk-nyamuk air banjir pula kebiasaannya bertelur di pelbagai jenis habitat yang mempunyai takungan air. Ia boleh dibahagikan kepada 4 kumpulan bergantung kepada 4 jenis sumber air pada habitat semula jadi seperti:

  • Dataran banjir terbuka (kawasan yang mempunyai takungan air selepas hujan)
  • Kawasan pengairan (sawah padi)
  • Hutan cerang (Woodland)
  • Pinggir laut (coastal)

Nyamuk Aedes mempunyai tahap kebingkasan yang tinggi. Ia cuma memerlukan sumber takungan air sebesar duit 20 sen untuk bertelur dan setiap nyamuk Aedes, boleh terbang kira-kira 500 meter daripada kawasan pembiakan untuk menyebarkan wabak denggi. Air adalah merupakan sumber yang penting dalam memastikan kesinambungan spesies Aedes tersebut, namun jika tiada sumber air, telur masih boleh hidup dalam jangka masa 6 bulan.

Musim banjir dan penyebaran wabak denggi

Hujan berterusan bukanlah satu keadaan yang ideal untuk nyamuk Aedes bertelur kerana telur tersebut boleh mengalir laju ke kawasan yang tidak boleh dijangka. Namun, perkara ini bermakna musim banjir boleh menjadi metode perluasan kawasan bagi nyamuk tersebut. Ini kerana telur nyamuk mempunyai kapasiti untuk hidup yang tinggi dan dapat bertahan untuk jangka masa yang lama tanpa sumber air. 

Bencana banjir juga akan meningkatkan jumlah kawasan-kawasan yang boleh menjadi tempat untuk nyamuk Aedes membiak seperti lopak-lopak air, kawasan longkang yang bertakung dan sebagainya. Semua pihak perlu memeriksa setiap kawasan dengan lebih teliti selepas bencana banjir kerana takungan air kecil yang boleh didapati di dalam tin-tin kosong juga mempunyai potensi untuk menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes

Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab dalam memastikan kawasan perumahan selepas banjir tidak menjadi habitat untuk nyamuk Aedes bertelur.

Konklusi

Bencana banjir boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk terhadap lokaliti setempat dan salah satu daripadanya adalah peningkatan jumlah pembiakan nyamuk Aedes. Perlu diingatkan bahawa kawasan banjir perlu diuruskan dengan lebih baik bagi mengelakkan peningkatan kes demam denggi. Aktiviti fogging boleh dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga dalam usaha untuk membunuh nyamuk-nyamuk yang ‘berkeliaran’ pada waktu senja mencari peluang untuk menyebarkan wabak denggi.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 3, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 19, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut