backup og meta

Kurangkan Garam, Kurangkan Tekanan Darah

Disemak secara perubatan oleh Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin · Kardiologi · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/09/2023

    Kurangkan Garam, Kurangkan Tekanan Darah

    Tekanan darah tinggi adalah sebab utama kematian di Malaysia, malah juga di dunia. Keadaan kesihatan ini boleh menyebabkan penyakit jantung iskemik dan strok. 4 daripada 10 rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi. Namun, kebanyakannya tidak tahu bahawa mereka mempunyai tekanan darah tinggi.

    Dengan angka yang tinggi dan diagnosis yang kurang, tekanan darah tinggi menjadi beban yang besar terhadap negara, sama ada dari sudut kewangan mahupun sumber manusia.

    Garam berlebihan meningkatkan tekanan darah

    Rakyat Malaysia mengambil garam lebih daripada apa yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 5 g sehari. Sebaliknya, rakyat Malaysia mengambil sebanyak 7.15 g sehari.

    Garam menyebabkan buah pinggang mengurangkan jumlah cecair yang dibuang oleh badan. Kesannya, lebih banyak cecair akan terkumpul di dalam badan. Ini akan meningkatkan tekanan darah, seterusnya memberikan tekanan kepada buah pinggang, salur darah, jantung dan otak.

    ‘Garam’ bukan sekadar yang digunakan di dalam masakan

    Antara salah faham yang biasa adalah menyangka bahawa garam yang dimaksudkan adalah apa yang dimasukkan ke dalam masakan. Jadi, ramai yang mengurangkannya di dalam masakan dengan harapan dapat memotong pengambilan garam di dalam diet.

    Ini adalah tidak benar. Ia sebenarnya tidak terhad kepada itu sahaja. Garam yang dimaksudkan adalah sodium dan ia terdapat di dalam banyak makanan lain.

    Kajian My Salt 2015 yang dijalankan oleh Kemeterian Kesihatan Malaysia telah menyenaraikan makanan yang mengandungi banyak garam ‘tersembunyi’. Makanan yang dimaksudkan termasuk:

    • Kicap soya.
    • Nasi goreng dan nasi lemak.
    • Telur dadar.
    • Roti canai.
    • Sup daging.
    • Sos tiram.
    • Mee segera.
    • Mee hoon, mee dan keuh teow goreng.
    • Sos cili dan tomato.
    • Budu.
    • Ayam goreng berempah.

    Selain daripada yang disebutkan di atas, makanan yang diproses juga tidak terkecuali. Ini termasuk sosej, nugget ayam, daging burger dan makanan di dalam tin serta jajan.

    Mulakan langkah hari ini

    Kita semua mampu mengurangkan garam di dalam diet harian. Meskipun Malaysia kaya dengan pelbagai jenis makanan yang tentunya menjadi cabaran besar, perancangan yang betul boleh membantu.

    Cuba amalkan langkah-langkah berikut:

    • Kurangkan makan luar, masak di rumah. Kita tidak tahu apa yang diletakkan di dalam masakan yang dijual di luar. Jadi, lebih selamat untuk dikurangkan. Selain baik untuk kesihatan, poket juga selamat.
    • Kenal pasti jenis makanan yang tinggi garam. Lihat senarai yang disebutkan di atas. Mulakan dengan kurangkan sosej, nugget dan burger di dalam peti ais anda. Semua itu malah tidak mengenyangkan perut anda.
    • Rancang diet anda mengikut piramid makanan. Lebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan, kurangkan makanan berminyak dan berlemak.

    Selain daripada diet, jangan lupa juga untuk bersenam dan menjalani kehidupan yang aktif. Gaya hidup sedentari tanpa senaman juga menyumbang kepada tekanan darah tinggi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin

    Kardiologi · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan