Memahami Gula di dalam Darah

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Memahami gula yang berada di dalam darah kita adalah penting untuk kita. Gula di dalam darah yang selalu disebutkan adalah merujuk kepada glukosa, iaitu unit paling kecil bagi gula. Karbohidrat adalah sumber kepada gula. Ia terbahagi kepada beberapa jenis bergantung kepada struktur dan berat molekol: monosakarida, disakarida, oligosakarida, polisakarida.

Contoh monosakarida adalah glukosa, fruktosa dan galaktosa. Disakarida pula termasuk maltosa, laktosa dan sukrosa (gula yang biasa digunakan untuk membancuh air). Manakala oligisakarida dan polisakarida adalah unit terbesar karbohidrat yang biasanya terdapat di dalam makanan seperti nasi dan roti.

Memahami Gula di Dalam Saluran Darah

Apa kepentingan gula?

Glukosa adalah unit utama yang digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Tanpanya, sel-sel di dalam badan tidak mempunyai tenaga dan tidak mampu menjalankan fungsinya. Sebagai contoh, kekurangan glukosa menyebabkan sel otak gagal berfungsi membuatkan seseorang mungkin hilang kewarasan dan pengsan.

Di dalam badan manusia, glukosa adalah fokus utama apabila bercakap tentang gula. Jika ingin diukur kandungan gula, glukosa digunakan sebagai kayu ukurnya.

Makanan yang dimakan akan diuraikan menjadi glukosa kerana ia adalah unit yang boleh digunakan oleh sel-sel badan untuk menghasilkan tenaga. Jika kadar glukosa berkurang, lemak akan ditukarkan menjadi glukosa bagi menggantikan kadar yang kurang tersebut.

Pankreas adalah organ yang bertanggungjawab mengawal kadar gula melalui hormon insulin dan glukagon. Insulin menurunkan, manakala glukagon menaikkan kadar glukosa. Diabetes berlaku apabila terdapat masalah pada insulin, sama ada:

  • Kurang penghasilan.
  • Tidak mampu berfungsi dengan baik.

Apabila insulin gagal berfungsi, kadar glukosa akan meningkat.

Apakah ukuran normal glukosa di dalam darah?

Ukuran normal glukosa adalah sangat penting. Jika kurang (hipoglisemik), sel tidak akan mendapatkan tenaga untuk bekerja. Jika terlebih (hiperglisemik/diabetes) pula, pelbagai komplikasi boleh berlaku.

Ukuran dibuat sama ada secara rambang, selepas berpuasa selama 8 jam atau 2 jam selepas makan. Setiap daripadanya mempunyai julat bacaan yang berbeza.

Darah diambil daripada hujung jari dengan hanya menggunakan jarum kecil. Beberapa titik darah sudah mencukupi untuk mendapatkan bacaan gula.

Apakah simptom hiperglisemik?

Awasi simptom-simptom berikut:

  • Haus.
  • Lapar.
  • Mulut kering.
  • Kerap ke tandas untuk kencing.
  • Hilang berat badan tanpa merancang.
  • Mudah penat.
  • Penglihatan kabur.
  • Luka lambat sembuh.
  • Mati pucuk.
  • Rasa kebas di kaki atau tangan.

Diabetes adalah penyakit kronik yang serius. Gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang mampu mencegahnya daripada berlaku.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Julai 30, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 19, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut