backup og meta

Mati Pucuk, Ini Komplikasi Diabetes Melitus Yang Setiap Lelaki Ingin Elakkan!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/11/2021

    Mati Pucuk, Ini Komplikasi Diabetes Melitus Yang Setiap Lelaki Ingin Elakkan!

    Umum mengetahui bahawa memang ada banyak komplikasi diabetes melitus buat kaum lelaki seperti masalah kardiovaskular, kegagalan dan kerosakan organ serta obesiti.

    Pun begitu, agak kurang pencerahan di mana keadaan kesihatan ini juga mungkin boleh meragut kelakian dengan cara membawa kepada kondisi mati pucuk.

    Persoalannya, benarkah mati pucuk itu adalah salah satu komplikasi penyakit diabetes? Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu dengan lebih mendalam lagi!

    Komplikasi diabetes melitus – mati pucuk?

    Buat anda yang mungkin belum tahu, mati pucuk atau disfungsi ereksi zakar adalah kondisi di mana alat sulit lelaki tidak mampu untuk mengalami ketegangan.

    Akibatnya, lelaki mungkin tidak mampu untuk mendapatkan serta mengekalkan ereksi zakar yang cukup bagi membolehkan mereka melakukan hubungan seks.

    Terdapat banyak faktor risiko yang mungkin boleh jadi dalang kondisi ini seperti kecederaan atau kerosakan pada sistem saraf serta salur darah dan sebagainya.

    Pun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa ia juga mungkin adalah disebabkan oleh faktor risiko akibat kondisi kesihatan lain seperti komplikasi diabetes melitus.

    komplikasi diabetes melitus

    Jika anda masih kurang percaya, mari kita lihat apa pula pendapat pakar dan kajian tentangnya.

    Kajian tentang perkaitan di antara kedua-duanya

    Menurut Boston University School of Public Health melalui kajian mereka tentang mati pucuk dan kencing manis, kedua-duanya ini mungkin ada kaitan yang kuat.

    Dilaporkan bahawa separuh daripada lelaki yang didiagnosis diabetes berisiko tinggi untuk alami disfungsi ereksi zakar dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

    Risiko ini juga dipercayai akan jadi lebih tinggi jika mereka turut ada masalah kardiovaskular terutamanya pada organ jantung yang hanya akan buat ia tambah teruk.

    Pun begitu, kajian lebih baru pada tahun 2014, menunjukkan bahawa lelaki dengan kencing manis masih boleh elak mati pucuk jika mengamalkan gaya hidup sihat.

    Dalam erti kata lebih mudah, memang benar bahawa kencing manis dan mati pucuk itu berkaitan.

    Sebab komplikasi diabetes melitus dan mati pucuk berkaitan

    komplikasi diabetes melitus

    Untuk pengetahuan anda semua, komplikasi diabetes mungkin boleh jadi punca mati pucuk kerana ia akan menjejaskan salur darah dan sistem saraf pada zakar.

    Apabila lelaki terangsang secara seksual, sejenis bahan kimia bernama nitrik oksida akan dilepaskan ke dalam salur darah dan sistem saraf di sekitar alat sulit.

    Bahan kimia ini kemudiannya akan memberi isyarat dari otak kepada arteri dan otot pada zakar untuk berehat lantas membolehkan darah mengalir ke dalam zakar.

    Berbeza pula bagi lelaki dengan diabetes, paras gula dalam darah yang terlalu tinggi mungkin akan menjejaskan nitrik oksida sehingga ia kurang dapat dihasilkan.

    Kesannya, lelaki mungkin akan mengalami mati pucuk angkara komplikasi diabetes ini.

    Apa yang pesakit diabetes boleh buat untuk rawat?

    Sekiranya anda adalah salah seorang lelaki yang ada kedua-dua kondisi kencing manis dan mati pucuk, jangan risau kerana ia masih boleh dikawal dan dirawat.

    #1. Kawal paras gula dalam darah anda

    Diet yang mesra diabetes akan membantu anda mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sekali gus mengurangkan risiko pada salur darah dan sistem saraf.

    Diet yang tepat juga mampu untuk meningkatkan tahap tenaga dan mood anda, di mana kedua-duanya boleh membantu mengurangkan risiko disfungsi ereksi zakar.

    komplikasi diabetes melitus

    #2. Kurangkan menghisap rokok

    Tabiat buruk ini hanya akan menyempitkan salur darah, merosakkan sistem saraf, menurunkan kadar nitrik oksida dalam darah selain menjejaskan tubuh badan.

    #3. Hentikan mengambil alkohol

    Minum lebih daripada dua minuman keras dalam masa satu hari boleh menjejaskan salur darah dan sistem saraf sekali gus menyumbang kepada masalah mati pucuk.

    Elak komplikasi diabetes melitus #4. Cukup tidur

    Keletihan sering kali dipersalahkan untuk disfungsi seksual, jadi pastikan anda mendapat tidur yang cukup setiap malam bagi mengurangkan risiko mati pucuk.

    #5. Komplikasi diabetes melitus boleh dielakkan jika kawal stres

    Tekanan boleh mengganggu rangsangan seksual dan keupayaan lelaki untuk mendapatkan serta mengekalkan ereksi zakar. Jadi, ini wajar dielak dan dicegah segera.

    #6. Banyakkan aktiviti fizikal

    Melakukan senaman secara rutin bukan sahaja dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah tetapi juga meningkatkan peredaran darah, menurunkan tahap tekanan dan meningkatkan tahap tenaga anda.

    Konklusinya, mati pucuk memang benar adalah salah satu komplikasi penyakit diabetes yang perlu anda kawal dan rawat sebelum ia menjadi lebih teruk atau melarat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan