Sistoskopi Fleksibel untuk Wanita

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Definisi

Apa itu Sistoskopi Fleksibel untuk Wanita?

Sistoskopi fleksibel merupakan prosedur untuk memeriksa sebarang masalah di dalam pundi kencing anda menggunakan teleskop fleksibel (sistoskopi). Sistoskopi fleksibel biasanya adalah langkah yang berkesan dan selamat untuk mencari jika ada masalah dengan pundi kencing anda.

Sistoskopi mungkin disarankan sekiranya anda mengalami sakit, darah dalam air kencing anda dan jangkitan berulang kali, atau mempunyai iritasi pundi kencing (keinginan untuk kencing secara tiba-tiba dan tidak dapat dikawal)

Anda harus mengetahui beberapa alternatif lain untuk rawatan ini:

  • Pengimbas boleh memberi maklumat mengenai punca masalah ini
  • Boleh menggunakan sistoskopi tegar yang membenarkan doktor bedah anda merawat masalah tertentu. Walau bagaimanapun, sistoskopi tegar melibatkan anestesia umum dan spinal.

Mengapa Sistoskopi Fleksibel untuk Wanita dilakukan?

Anda akan diminta untuk melakukan sistoskopi fleksibel jika doktor anda mahu mendiagnosis keadaan pundi kencing dan sistem urinari anda. Bagi lebih spesifik, prosedur ini digunakan untuk:

  • Memeriksa abnormaliti pundi kencing;
  • Mengambil sampel tisu pundi kencing untuk ujian (biopsi) lanjut dalam kes yang disyaki kanser;
  • Merawat keadaan pundi kencing tertentu, seperti membuang batu pundi kencing.

Fahami Risiko-risikonya

Apakah risiko bagi sistoskopi fleksibel untuk wanita?

Komplikasi yang serius jarang dialami selepas melakukan sistoskopi, namun sesetengah individu mengalami pendarahan berterusan dan masalah untuk kencing.

Anda seharusnya tidak merasa sebarang kesakitan yang serius kerana sistoskopi fleksibel biasa dijalankan dengan menggunakan gel atau semburan anestesia setempat untuk membuat uretra kebas. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah orang prosedur ini kurang selesa dan anda mungkin akan merasai kesan sampingan sederhana selepas melakukan prosedur, seperti sakit otot dan mual.

Terdapat juga risiko kecil untuk berlaku jangkitan saluran kencing (UTI) yang melibatkan uretra, pundi kencing atau buah pinggang anda. Anda harus berjumpa GP anda sekiranya anda mengalami simptom-simptom jangkitan seperti demam lebih daripada 38 darjah selsius dan ke atas.

Sama seperti prosedur invasif yang lain, komplikasi boleh berlaku. Komplikasi yang berkaitan dengan sistoskopi termasuk, namun tidak terhad kepada, berikut:

  • Pendarahan;
  • Jangkitan;
  • Saluran uretra menjadi kecil.

Mungkin terdapat juga risiko yang lain, bergantung kepada keadaan perubatan spesifik anda. Pastikan anda berbincang mengenai sebarang kebimbangan yang ada bersama doktor anda sebelum melakukan prosedur.

Jangkitan saluran kencing boleh menganggu sistoskopi.

Penting untuk anda memahami risiko dan komplikasi sebelum melakukan prosedur ini. Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan, sila rujuk doktor dan doktor bedah anda untuk maklumat lanjut.

Proses

Bagaimana Persedian untuk Sistoskopi Fleksibel untuk Wanita?

Anda mungkin akan diminta untuk berpuasa sebelum melakukan prosedur. Jenis puasa bergantung kepada jenis anestesia yang akan digunakan. Doktor anda akan memberi arahan spesifik kepada anda mengenai cara puasa bagi prosedur ini. Anda mungkin akan diberi arahan tambahan mengenai diet khas untuk satu hingga dua hari sebelum prosedur.

Sekiranya anda hamil atau anda rasa anda hamil, anda perlu memberitahu pembekal penjagaan kesihatan anda. Jika anda mengesyaki anda mempunyai jangkitan pada saluran kencing, beritahu doktor anda, kerana ini mungkin akan menjadi kontraindikasi kepada sistoskopi. Doktor anda mungkin memerlukan sampel air kencing untuk diuji bagi mengesan jangkitan sebelum memulakan prosedur ini.

Apa yang terjadi semasa Sistoskopi Fleksibel untuk Wanita dilakukan?

Sistoskopi fleksibel biasanya mengambil masa lima minit.

Doktor anda akan memasukkan sistoskopi ke dalam pundi kencing anda melalui uretra. Doktor akan menggunakan sistoskopi untuk melihat sebarang masalah pada dinding pundi kencing anda. Doktor anda akan memberitahu anda sekiranya dia perlu melakukan biopsi.

Jika anda ada sebarang soalan atau kebimbangan, sila berjumpa doktor atau doktor bedah anda untuk maklumat lanjut.

Pemulihan

Apakah yang terjadi selepas Sistoskopi Fleksibel untuk Wanita?

Anda dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama, selepas anda telah kencing.

Anda boleh kembali bekerja selepas melakukan sistoskopi melainkan anda diberitahu sebaliknya.

Bersenam secara berkala boleh meningkatkan kesihatan jangka panjang anda. Sebelum anda mula bersenam, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Doktor anda akan memaklumkan apa yang dijumpai semasa sistoskopi dijalankan dan berbincang dengan anda mengenai rawatan dan temu janji susulan yang anda perlu.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.