Kanser Prostat: Pilihan Rawatan yang Ada

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Rawatan kanser prostat adalah bergantung kepada beberapa faktor. Ini termasuk:

  • Kadar kelajuan pembesaran kanser.
  • Sejauh mana ia telah merebak.
  • Kesihatan badan secara am.
  • Potensi manfaat dan kesan sampingan daripada rawatan terbabit.

Bagi lelaki yang mengalami kanser prostat berisiko rendah, rawatan mungkin tidak perlu diberikan dengan kadar segera. Malah, ada juga mereka yang tidak memerlukan sebarang rawatan tetapi sekadar pemeriksaan berkala sahaja.

Pemeriksaan berkala tersebut termasuk ujian darah, pemeriksaan rektum dan mungkin biopsi sampel tisu prostat. Jika ujian dan pemeriksaan ini menunjukkan kanser sedang berkembang, salah satu daripada mana-mana pilihan rawatan yang ada mungkin akan digunakan.

Apakah pilihan rawatan kanser prostat?

Pembedahan

Pembedahan bagi kanser prostat melibatkan pembuangan organ prostat, tisu di sekelilingnya serta beberapa kelenjar limfa. Ia disebut sebagai radical prostatectomy dan boleh dilakukan melalui beberapa cara:

  • Menggunakan robot untuk membantu pembedahan. Alat tertentu akan disambung kepada robot. Pembedahan dijalankan melalui potongan kecil pada kulit. Doktor akan mengawal pergerakan robot tersebut menggunakan alat tertentu.
  • Pembedahan biasa. Doktor akan membuat potongan pada kulit bahagian bawah abdomen untuk membuang prostat.

Terapi radiasi

Kaedah ini menggunakan tenaga berkuasa tinggi untuk membunuh sel-sel kanser. Ia boleh dilakukan melalui dua kaedah:

  • Radiasi daripada luar badan (external beam radiation). Pesakit diminta untuk baring di atas meja sementara sejenis mesin akan bergerak mengelilingi badannya sambil melepaskan radiasi ke atas kanser prostat terbabit.
  • Radiasi yang diletakkan di dalam badan (brachytherapy). Kaedah ini dilakukan dengan meletakkan beberapa biji radioaktif bersaiz beras in dalam tisu prostat. Ia akan melepaskan radiasi dengan dos rendah dalam tempoh yang lama.

Terapi hormon

Sel kanser prostat berkembang dengan rangsangan daripada hormon testosteron. Terapi hormon membantu menyekat hormon ini bagi menghalang pertumbuhan sel kanser. Ia boleh dilakukan dengan cara mengurangkan kadar testosteron, menghalang kesan testosteron ke atas sel kanser atau membuang testis yang menjadi sumber kepada hormon tersebut.

Terapi hormon digunakan dalam kes yang telah lanjut untuk mengurangkan saiz prostat. Ia juga mungkin diberikan pada peringkat awal kanser sebelum terapi radiasi untuk meningkatkan keberhasilannya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut