Buasir: Apa yang Saya Boleh Lakukan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Buasir adalah satu keadaan yang sangat mengganggu. Meskipun ia tidaklah begitu serius dan bahaya, ia boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang. Jika anda pernah mengalaminya, pasti anda faham betapa seksanya menghadapi hari-hari bersama buasir.

Jangan bimbang! Terdapat banyak cara untuk anda mengurangkan dan merawat keadaan ini. Mari lihat apa yang anda boleh lakukan.

1. Tingkatkan pengambilan serat

Antara punca buasir adalah sembelit. Bercakap tentang sembelit, serat sentiasa menjadi solusi utamanya. Tidak perlu disebut lagi mengapa serat sangat penting dalam mencegah sembelit. Ia melembutkan najis dan memudahkan pergerakan di dalam usus tanpa perlu meneran secara berlebihan sehingga mendedahkan diri kepada buasir.

Makanan tinggi serat termasuk brokoli, kacang panjang, gandum, makanan bijirin penuh, kekacang dan buah-buahan segar. Di samping itu, banyakkan juga minum air kosong dan kurangkan makanan pedas.

Jika anda bukan pengambil serat berkala, mulakan dengan jumlah yang sedikit terlebih dahulu sebelum menambah secara beransur untuk mengelakkan perut kembung dan berangin.

2. Jangan tunggu lama-lama untuk ke tandas

Apabila datang rasa ingin membuang air besar, jangan tahan terlalu lama. Terus pergi ke tandas untuk menyelesaikan urusan anda. Menahan terlalu lama akan menambah tekanan di dalam rektum dan anus, seterusnya meningkatkan risiko buasir.

Anda juga boleh cuba tetapkan waktu tertentu ke tandas setiap hari untuk mendapatkan tabiat usus yang teratur. Contohnya, pergi ke tandas setiap kali selepas makan berat.

3. Rawatan topikal

Krim topikal untuk buasir yang mengandungi ubat tahan sakit boleh didapatkan di farmasi berdekatan. Ia membantu mengurangkan rasa tidak selesa dan memudahkan membuang air buat sementara waktu. Anda juga boleh cuba tuam menggunakan ais atau air sejuk untuk mengurangkan bengkak.

Elakkan duduk di atas permukaan keras. Sebaliknya di atas kusyen lembut untuk mengurangkan bengkak yang ada dan mengelakkan keadaan bertambah buruk.

4. Pembedahan

Ini mungkin merupakan pilihan terakhir jika langkah-langkah di atas masih gagal. Terdapat beberapa prosedur pembedahan:

  • Band ligation – buasir terbabit akan diikat dengan sejenis pita pengikat khas. Ini akan membuatkan vena yang bengkak mengecut. Prosedur ini dilakukan selama beberapa sesi.
  • Hemorrhoidectomy – jika teknik pertama gagal, vena tersebut boleh dibuang terus menggunakan kaedah ini. Pembedahan di bawah anestesia umum ini mempunyai peratusan berjaya yang tinggi dan komplikasi yang rendah.
  • Stapler – ini adalah alternatif kepada kaedah hemorrhoidectomy. Sejenis stapler khas digunakan untuk memastikan vena yang bengkak itu kekal di tempatnya dan tidak beralih atau menonjol ke luar dubur.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.