backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Tak Semua Masalah Buasir Itu Sama, Ini Perbezaan 4 Jenis Buasir Yang Perlu Diketahui

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/02/2024

    Tak Semua Masalah Buasir Itu Sama, Ini Perbezaan 4 Jenis Buasir Yang Perlu Diketahui

    Bercakap mengenai sakit buasir, mesti anda terfikir ia 1 keadaan yang sama sahaja, betul tak? Namun sebenarnya terdapat 4 jenis buasir yang boleh dialami. 

    Jom kita fahami dengan lebih lanjut mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.

    Masalah sakit buasir

    Anda mungkin tidak suka untuk bercakap mengenainya, tetapi rasa kesakitan buasir yang dialami sukar diabaikan.

    Ia keadaan yang menyusahkan, menyebabkan rasa malu dan sudah tentu menyakitkan.

    Buasir atau hemoroid boleh terjadi apabila sekumpulan urat pada rektum atau dubur membengkak.

    Ini bermakna apabila pembuluh darah vena yang terletak di bahagian bawah rektum (bahagian terakhir usus besar) dan anus (dubur) berkembang dan membesar, berlakulah buasir. 

    Pembuluh darah vena ini secara normalnya tidak membesar dan berfungsi sebagai saluran yang mengalirkan darah daripada tisu di bahagian terbabit naik ke jantung.

    Pembengkakan yang terjadi menyebabkan darah berkumpul dan urat berkembang ke luar membran sekitar tisu rektum dan dubur.

    Situasi tersebut boleh menimbulkan ketidakselesaan atau kesakitan. 

    Buasir adalah keadaan yang mungkin tidak kelihatan secara fizikal. Namun apabila mengembang, ia tampak seperti benjolan atau ketulan berwarna merah.

    Jadi adakah rasa sakit buasir itu semuanya sama atau terdapat jenis buasir tertentu yang boleh terjadi?

    Memahami 4 jenis buasir

    jenis buasir
    Tanda-tanda buasir.

    Pada hakikatnya tidak semua rasa sakit buasir itu sama, bahkan gejala yang dihadapi juga selalunya berbeza.

    Secara umumnya, terdapat 4 jenis sakit buasir yang boleh terjadi kepada mana-mana individu, iaitu:

    • Dalaman
    • Luaran
    • Prolaps
    • Trombosis 

    Buasir dalaman

    Masalah buasir ini berlaku di dalam rektum.

    Secara amnya, buasir ini tidak mempunyai gejala disebabkan tempat ia terjadi. 

    Pun begitu, sekiranya ia menyebabkan wujud rasa tidak selesa pada individu yang mengalaminya, keadaan itu dipercayai kerana ukuran hemoroid yang besar.

    Hemoroid dalam yang lebih besar boleh mencetuskan simptom kesakitan, kegatalan dan sensasi terbakar.

    Jenis buasir luaran

    punca buasir
    Penyebab masalah buasir.

    Kebanyakan daripada kita, apabila bercakap mengenai buasir akan terbayangkan jenis ini. Di mana terdapatnya benjolan yang ketara atau boleh dirasai pada bahagian dubur. 

    Perbezaan lokasi adalah satu-satunya faktor yang membezakan antara hemoroid dalaman dan luaran. 

    Tidak seperti buasir dalaman yang adakalanya tidak disedari oleh kebanyakan penghidapnya, hemoroid luaran pula sering menyebabkan gejala ketidakselesaan sehinggalah ia hilang selepas mendapatkan rawatan.

    Mereka yang mengalami buasir luar ini sering melaporkan rasa gatal dan sakit serta sensasi terbakar semasa melakukan aktiviti, ketika duduk atau semasa membuang air besar.

    Buasir prolaps

    Apabila buasir dalaman membengkak dan menonjol, ia dikategorikan sebagai prolaps (prolapsed) – berlarutan.

    Doktor boleh menentukan tahap buasir yang dialami:

    Tahap 1: Buasir dalaman ini menonjol tetapi ia tidak menonjol ke dalam saluran dubur. Pendarahan juga mungkin berlaku.

    Tahap 2: Buasir dalaman prolaps keluar daripada saluran dubur semasa pergerakan usus, tetapi secara spontan menarik kembali ke dalam.

    Ini bermakna keadaan ini terjadi apabila anda memberikan tekanan pada kawasan rektum atau dubur. Misalannya ketika melakukan regangan.

    Tahap 3: Buasir dalaman prolaps semasa pergerakan usus atau bentuk lain tenaga, dan harus dikembalikan secara manual ke dalam dubur.

    Biasanya untuk ‘menolaknya’ kembali ke dubur akan menyebabkan kesakitan. 

    Keadaan ini mungkin memerlukan rawatan bagi mengelakkan ia menjadi terlalu sakit atau mendapat jangkitan.

    Tahap 4: Buasir dalaman ini telah berlarutan menonjol keluar daripada saluran dubur dan tidak boleh ditolak masuk, atau ia tidak kekal di dalam rektum.

    Jenis buasir prolaps ini akan kelihatan seperti bengkak merah pada bahagian luar dubur. Anda akan dapat melihatnya jika menggunakan cermin.

    Hemoroid prolaps biasanya akan mengakibatkan simptom penonjolan, kesakitan, ketidakselesaan, kegatalan mahupun sensasi terbakar.

    Dalam beberapa kes, prosedur perubatan hemoroid seperti pembedahan mungkin diperlukan untuk menghilangkan atau membetulkan buasir prolaps sehingga anda tidak mengalami kesakitan atau komplikasi. 

    cara hilangkan buasir
    7 petua kurangkan sakit buasir.

    Buasir trombosis

    Merupakan antara komplikasi kesan buasir yang diabaikan tanpa rawatan dan menjadi hemoroid trombosis. 

    Trombosis adalah buasir dalaman atau luaran yang telah membentuk bekuan darah dalam urat dubur.

    Antara gejala yang boleh dikenal pasti jika mengalami jenis buasir ini adalah rasa sangat sakit dan tidak menentu di dalam dubur. 

    Ia boleh terjadi secara tiba-tiba walaupun tanpa sebarang pergerakan usus. 

    Anda juga mungkin akan dapat melihat permukaan kebiruan sekitar buasir.

    Kesimpulannya…

    Mengalami rasa sakit buasir adalah keadaan yang tidak menyelesakan atau menyakitkan

    Namun, biasanya anda tidak akan mengalami gejala yang ketara, malah komplikasi juga sangat jarang untuk terjadi.

    Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna anda boleh mengabaikan masalah berkaitan penghadaman ini sekiranya ia terjadi.

    Sebaiknya lakukan rawatan perubatan hemoroid dan ambil ubat buasir bagi mengelakkan daripada terjadinya buasir prolaps atau trombosis.

    Masalah buasir yang dirawat dengan cepat mempunyai peluang penyembuhan lebih baik tanpa mengakibatkan komplikasi lebih serius.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan