Apa itu Beguk?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bagi mereka yang lahir pada tahun 2002 dan ke atas, penyakit beguk mungkin sesuatu yang jarang dan baru bagi mereka. Terima kasih kepada vaksin MMR (campak, beguk, rubella) yang mula diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 2002, bilangan kes beguk menurun dengan signifikan.

Beguk atau mumps adalah sejenis penyakit berjangkit disebabkan oleh sejenis virus bernama mumps virus. Karakter utama penyakit ini adalah bengkak pada pipi, sama ada di satu atau kedua-dua bahagian pipi. Bahagian yang bengkak itu adalah kelenjar parotid, iaitu sejenis kelenjar yang berfungsi menghasilkan air liur.

Virus ini boleh tersebar melalui air liur, hingus atau sentuhan langsung dengan pesakit.

Apakah simptom beguk?

Tempoh antara terdedah kepada virus dan simptom adalah lebih kurang 2 minggu. Biasanya, ia akan bermula dengan simptom seperti demam termasuk:

  • Demam.
  • Letih badan.
  • Sakit kepala.
  • Hilang selera makan.

Selepas beberapa hari, suhu badan akan meningkat tinggi (39°C) diikuti dengan bengkak pada kelenjar parotid. Kemungkinan, kelenjar yang bengkak itu menjadi sakit. Tahap simptom setiap orang mungkin berbeza. Ada yang boleh meneruskan aktiviti seperti biasa, ada juga yang tidak boleh lasak dan keletihan.

Jika tanpa komplikasi, keadaan akan kembali normal selepas 10 hingga 12 hari.

Apakah rawatannya?

Antibiotik tidak berkesan melawan virus. Ubat khusus untuk melawan mumps virus juga tiada di pasaran. Apa yang boleh dilakukan adalah rawatan sokongan untuk mengurangkan simptom.

  • Rehat di rumah.
  • Ambil ubat seperti Panadol untuk mengurangkan demam.
  • Tuam ais pada kelenjar yang bengkak.
  • Banyakkan minum air.
  • Makan makanan yang lembut untuk memudahkan menelan.
  • Elakkan makanan pedas bagi mengurangkan kelenjar parotid bekerja.

Dalam tempoh penyakit, doktor akan meminta anda untuk duduk di rumah supaya tidak menyebarkannya kepada orang lain. Dalam amalan orang dahulu, biasanya nila akan disapu pada kawasan bengkak. Walau bagaimanapun, keberkesanannya tidak dapat disahkan.

Mengapa beguk perlu divaksin?

Tiada ubat yang boleh melawan virus ini dan ia adalah penyakit berjangkit. Dengan adanya vaksin, ia dapat dicegah. Tambahan pula, terdapat beberapa komplikasi bahaya termasuk mandul, keguguran, meningitis, ensefalitis dan pankreatitis.

Anak-anak anda tidak perlu lagi melalui beguk kerana sudah ada vaksin.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut