backup og meta

Tak Boleh Makan Ubat Antibiotik Kalau Ada Alergi Sulfa? Kenali Alahan Jenis Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/07/2021

    Tak Boleh Makan Ubat Antibiotik Kalau Ada Alergi Sulfa? Kenali Alahan Jenis Ini!

    Pernahkah anda dengar mengenai reaksi alergi terhadap antibiotik yang mengandungi sulfa? Sulfa atau sulfonamida (sulphonamides) merupakan sejenis antibiotik yang diperkenalkan kepada awam pada tahun 1930-an.

    Sehingga hari ini, antibiotik yang mengandungi sulfonamida masih digunakan kerana harganya yang tidak mahal, efektif dan selamat untuk digunakan.

    Namun, kesan sampingan yang teruk dan melibatkan sensitiviti yang melampau hanya berlaku kepada 3% daripada mereka yang mempunyai alahan terhadap antibiotik ini.

    Ini bermaksud, mereka yang benar-benar mempunyai reaksi alergi terhadap sulfa adalah sangat sedikit.

    Untuk pengetahuan anda, 8% daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital mempunyai reaksi alahan terhadap ubat sulfamethoxazole dengan trimethoprim.

    Akan tetapi, dalam kalangan pesakit yang mempunyai HIV, reaksi alergi terhadap ubat-ubatan ini merangkumi hampir 60%.

    Walaupun pesakit dikatakan mengalami sensitiviti yang melampau, reaksi pesakit terhadap ubat-ubatan yang mengandungi sulfonamida ini adalah sederhana.

    Namun, dalam kalangan pesakit yang mempunyai Stevens-Johnson syndrome (sejenis penyakit serius yang mempengaruhi kulit dan lapisan mukus manusia), reaksi alergi ini boleh membawa maut jika tidak dikenal pasti dengan lebih awal.

    Simptom alergi terhadap sulfa

    alergi sulfa

    Sesetengah individu yang mempunyai alergi terhadap sulfa boleh mengalami simptom yang mengancam nyawa dan perlu dirawat dengan kadar segera oleh pihak hospital.

    Salah satunya ialah anafilaksis atau anaphylaxis, satu tindak balas alergi yang membawa maut. Simptomnya termasuklah:

  •       Bengkak pada kawasan tekak atau lidah dan sukar untuk menelan.
  •       Sukar untuk bernafas.
  •       Tekanan darah rendah.
  •       Pening kepala atau pitam.
  •       Degupan jantung yang laju.
  •       Mual dan muntah-muntah.
  •       Naik ruam, bengkak ataupun kulit berwarna biru akibat peredaran darah yang perlahan.
  •       Rasa panik, gelisah dan keliru.
  • Pesakit yang mempunyai reaksi alergi terhadap sulfa perlulah memandang serius mengenai keadaan mereka. 

    Makan ubat yang sama berkali-kali tidak akan membuatkan anda jadi kebal ataupun ‘imun’ terhadap alergi tersebut. Alergi terhadap sulfa yang sederhana boleh menjadi teruk jika dibiarkan begitu sahaja.

    Malah, simptomnya yang ringan juga boleh berubah menjadi sesuatu yang mengancam nyawa jika anda kekal mengambil ubat-ubatan yang mengandungi sulfonamida.

    Adakah saya perlu elak makan ubat jika saya mempunyai alergi terhadap sulfa?

    alergi sulfa

    Sebarang antibiotik yang mengandungi sulfonamida boleh menyebabkan reaksi alergi jika anda mempunyai alergi terhadap sulfa.

    Sebagai contoh, gabungan ubat sulfamethoxazole-trimethoprim dan erythromycin-sulfisoxazole boleh memacu reaksi alergi dalam kalangan pesakit.

    Selain itu, ubat-ubatan lain seperti sulfasalazine yang digunakan untuk merawat pesakit dengan penyakit Crohn juga dapat mencetuskan reaksi alergi yang sama. 

    Begitu jugalah dengan dapsone, sejenis ubat yang digunakan untuk merawat leprosy, dermatitis dan beberapa jenis pneumonia.

    Walaupun anda mempunyai alergi terhadap antibiotik yang mengandungi sulfonamida, anda mungkin masih boleh mengambil ubat-ubatan lain yang mengandungi bahan yang sama tanpa mengalami sebarang reaksi alergi.

    Selain itu, anda juga tidak perlu untuk mengelakkan ubat-ubatan yang mengandungi sulfihidril, sulfat atau sulfit. 

    Walaupun ubat tersebut mempunyai nama yang mengandungi perkataan ‘sulfur’, itu bukan bermaksud mereka berasal daripada kumpulan yang sama.

    Bagaimana pula dengan sulfur dalam makanan?

    alergi sulfa

    Alergi terhadap sulfonamida merupakan sesuatu yang berbeza sama sekali dengan alergi terhadap makanan yang mengandungi sulfur.

    Individu yang mempunyai reaksi alergi terhadap sulfit dalam makanan tidak bermaksud mereka akan mempunyai alergi yang sama terhadap ubat-ubatan yang mengandungi sulfonamida.

    Selain itu, anda mungkin perlu tahu bahawa sulfonamida merupakan sesuatu yang berbeza dengan sulfat, sulfit atau sulfihidril.

    Kesemua bahan di atas merupakan kompaun yang berlainan. Tetapi, setiap bahan ini mempunyai potensi untuk menyebabkan reaksi alergi yang tersendiri.

    Ada juga ubat yang mengandungi bahan kimia yang tergolong dalam kumpulan sulfihidril atau sulfat di dalam struktur kimia mereka. Untuk pengetahuan anda, ubat-ubatan ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan alergi yang disebabkan oleh sulfonamida.

    Malah, pesakit mungkin boleh makan ubat-ubatan tersebut dengan selamat.

    Selain itu, sulfat pula merupakan sejenis bahan kimia yang digunakan secara meluas di dalam sabun mandi dan bahan kosmetik. Namun, alergi terhadap bahan ini amat jarang sekali berlaku.

    Sulfit pula adalah sejenis bahan kimia yang digunakan sebagai bahan pengawet dalam makanan dan ubat-ubatan.

    Bahan ini terdapat di dalam makanan seperti kek, roti, beberapa jenis wain dan bir. Untuk pengetahuan anda, alergi terhadap sulfit boleh menyebabkan seseorang itu terkena serangan anafilaksis, ruam, asma, sawan dan juga kematian.

    Sehingga hari ini, tidak ada lagi sebarang ujian darah atau alergi yang wujud untuk menguji sama ada anda mempunyai alergi terhadap sulfit ataupun tidak.

    Walau bagaimanapun, alergi terhadap sulfit merupakan sesuatu yang berbeza dan tidak ada sebarang kaitan dengan alergi terhadap ubat-ubatan yang mengandungi sulfonamida.

    Kesimpulan

    Alergi terhadap sulfa atau sulfonamida merupakan sesuatu yang sukar untuk dikesan oleh doktor. 

    Oleh sebab itu, jika anda mempunyai alergi ini, pastikan anda kongsi informasi ini bersama doktor supaya mereka lebih faham mengenai kondisi alahan yang anda alami.

    Doktor juga boleh menggantikan ubat tersebut dengan ubat lain yang tidak akan menyebabkan anda mengalami sebarang reaksi alahan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/07/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan