backup og meta

Mandul: Komplikasi Beguk

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 18/07/2018

    Mandul: Komplikasi Beguk

    Beguk mungkin agak jarang ditemui pada hari ini sejak vaksin diperkenalkan di Malaysia pada awal abad ke 21. Dahulu, jika salah satu ahli keluarga terkena, pasti yang lain juga akan ikut sama. Lalu, ramai-ramai lah akan menyapu nila di pipi, dengan harapan bengkak hilang segera meskipun tiada bukti saintifik yang menyokong kaedah ini.

    Walaupun beguk mungkin dilihat sebagai sekadar demam ringan dan bengkak di pipi, ia sebenarnya mempunyai beberapa komplikasi serius. Ini termasuk pankreatitis (radang pankreas), keguguran (bagi wanita mengandung), meningitis (radang selaput otak) dan ensefalitis (radang otak). Selain itu, beguk juga mungkin menyebabkan orchitis (radang testis) yang boleh membawa kepada mandul.

    Kaitan antara beguk dan orchitis

    Radang testis jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah. Namun bagi lelaki yang telah mencapai akil baligh (12-15 tahun), ini adalah komplikasi yang paling kerap. Menurut kajian di dalam Journal of the Royal Society of Medicine, orchitis menjejaskan 20%-30% daripada kes berumur selepas akil baligh, dan 10%-30% melibatkan kedua-dua testis.

    Daripada jumlah yang terjejas, 30%-50% melaporkan pengecutan pada saiz testis.

    Apakah ada risiko mandul?

    Walaupun jarang, masih terdapat risiko untuk mandul. Apa yang lebih kerap berlaku adalah menjejaskan kesuburan meskipun tidak sampai tahap mandul sepenuhnya. Sperma mungkin terjejas sehingga menyebabkan oligospermia (kurang bilangan sperma), azoospermia (tiada sperma di dalam air mani) dan asthenospermia (pergerakan sperma tidak normal).

    Kebiasaannya, orchitis yang melibatkan satu testis hanya memberikan kesan sementara terhadap bilangan dan keadaan sperma, iaitu kira-kira 13% daripada pesakit.

    Manakala orchitis bagi kedua-dua testis pula mencatatkan 30%-87% kes yang menjejaskan kesuburan.

    Bagaimana virus ini mengganggu kesuburan adalah tidak jelas. Ada yang mengatakan bahawa ia menyerang sel Leydig sehingga menyebabkan hormon testosteron rendah. Ada juga yang mendakwa terdapat penghasilan antibodi ke atas sperma, membuatkan sperma gagal berfungsi.

    Jangan ambil risiko

    Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, tentunya anda mahukan yang terbaik untuk anak-anak anda. Walaupun peratusan untuk berlaku gangguan kesuburan tidaklah terlalu tinggi, risiko untuk berlaku masih ada.

    Jika komplikasi telah berlaku, ia memerlukan lebih banyak wang, masa dan tenaga untuk membetulkan keadaan tersebut. Vaksin adalah kaedah terbaik untuk mengelakkan ia daripada terjadi. Hanya 2 kali sahaja vaksin MMR (campak, beguk, rubella) yang perlu diambil, iaitu pada 9 dan 12 bulan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 18/07/2018

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan