5 Mitos Tentang Hiperaktif Atau ADHD Yang Ramai Ibu Bapa SALAH SANGKA

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Amirul kelihatan normal seperti kanak-kanak lain di sekolahnya. Walau bagaimanapun, Amirul agak sukar memberikan tumpuan kepada pengajaran guru di kelas dan sering kelihatan seperti di dunianya sendiri. Kelakuannya semakin menjadi-jadi jika tiada sebarang pemantauan dilakukan terutamanya pada waktu rehat. Dia akan memanjat di sana-sini, melompat-lompat dan sering mengganggu rakan-rakannya yang lain. Guru-guru di sekolahnya seolah-olah tidak mampu lagi untuk mengawal kelakuan dan tindakannya itu kerana sebarang teguran seolah-olah ‘masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri.’

Sebagai ibu bapa atau penjaga, pernahkah anda mengalami situasi seperti ini? Mungkin anda pernah melihat anak saudara atau sepupu anda berkelakuan seperti berikut? Anda mesti menganggap bahawa mereka adalah seorang kanak-kanak yang nakal dan tidak mendengar kata. Mungkin juga anda ada memeriksa sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai dua pusar rambut di kepalanya. Nanti dulu, jangan mudah menjatuhkan hukum sebelum anda menilai dan mengenal pasti berkenaan keadaan sebenar kanak-kanak tersebut. Kesemua tindakan tersebut mungkin merupakan antara tanda-tanda ADHD. Apa itu ADHD?

ADHD?

ADHD merupakan singkatan bagi attention deficit hyperactivity disorder. Ia merupakan satu keadaan perubatan yang sering terjadi dalam kalangan kanak-kanak, di mana mereka mempunyai perbezaan dalam perkembangan dan aktiviti otak berbanding kanak-kanak lain. Mereka sering mempunyai masalah dalam memberikan tumpuan, duduk diam, dan kawalan diri. Sebab itulah mengapa anda kadangkala boleh melihat, sesetengah kanak-kanak ini menjadi sangat hiperaktif berbanding kanak-kanak lain. ADHD turut berkembang walaupun seseorang individu itu telah meningkat dewasa.

Mitos berkaitan ADHD

Terdapat beberapa tanggapan buruk atau mitos yang sering berlegar berkenaan kanak-kanak yang mengalami ADHD. Mitos-mitos ini berkemungkinan wujud akibat ketidakpedulian, atau perasaan mudah untuk membuat kesimpulan awal tanpa memahami apakah keadaan sebenar ADHD tersebut. Berikut merupakan antara mitos yang sering diperkatakan berkenaan kanak-kanak ADHD.

Mitos 1: Kaedah keibubapaan yang lemah penyebab ADHD

Ramai yang menganggap bahawa kanak-kanak yang hiperaktif ini sebagai seorang yang kurang sopan dan tidak berdisiplin. Ini sekali gus memberi tanggapan bahawa ibu bapanya tidak mendidiknya dengan baik. Ini ternyata tidak benar kerana mereka tidak menyedari bahawa kelakuan tersebut merupakan tanda-tanda yang berkaitan dengan masalah perubatan, bukannya disebabkan asuhan yang teruk. 

Mitos 2: Kanak-kanak penghidap ADHD adalah seorang yang malas

Untuk pengetahuan anda, kanak-kanak atau individu penghidap ADHD sebenarnya ingin menyelesaikan sesuatu tugasan. Akan tetapi, mereka perlu bergelut untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang mungkin kelihatan mudah pada pandangan orang lain. Mereka perlu dibimbing dan sentiasa diberi peringatan bagi menyelesaikan kerja terutamanya bagi tugasan yang memerlukan usaha mental yang berterusan. 

Memandangkan penghidap ADHD akan sentiasa bergelut dengan keadaan seperti mudah hilang minat, tidak teratur, kurang bermotivasi dan mudah hilang fokus, ini yang menjadikan mereka kelihatan dan disalah anggap seperti seorang yang malas.

Mitos 3: ADHD bukanlah satu masalah yang serius

Mitos atau tanggapan seperti ini bukan sahaja menyelubungi penghidap ADHD, malah ia turut memberikan tanggapan negatif terhadap individu yang mengalami kemurungan, keresahan dan pelbagai masalah berkaitan kesejahteraan mental yang lain. Untuk pengetahuan anda, penghidap ADHD cenderung untuk mengalami keresahan dan keadaan seperti ini boleh memberikan kesan yang serius terhadap kualiti keseluruhan kehidupan seseorang individu. 

Kajian turut menyokong bahawa bahagian otak penghidap ADHD memberikan kesan yang berbeza terhadap “fungsi eksekutif” otak seperti merancang, mengatur, atau memulakan tugasan berbanding bukan penghidap ADHD. Kajian juga telah menunjukkan bahawa ADHD adalah sejenis masalah atau penyakit keturunan dengan 1 daripada 4 individu yang menghidap ADHD, memiliki ibu atau bapa yang turut menghidap ADHD. 

Mitos 4: Hanya kanak-kanak lelaki yang menghidap ADHD

Walaupun kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak lelaki mempunyai kelaziman melebihi dua kali ganda untuk menghidap ADHD berbanding budak perempuan, ini tidak bermakna bahawa kanak-kanak perempuan tidak berpotensi menghidap ADHD. Budak perempuan yang menghidap ADHD mungkin tidak kelihatan terlalu aktif atau menunjukkan kelakuan yang kurang senang berbanding kanak-kanak lelaki. Mereka lebih gemar untuk mengelamun atau berangan-angan, dan oleh sebab itu mereka cenderung untuk diabaikan dan kekal tidak didiagnosis.

Mitos 5: ADHD bukanlah satu keadaan kesihatan yang sebenar

Kajian telah menunjukkan terdapatnya perbezaan antara keadaan otak manusia dengan ADHD dengan otak manusia yang tidak mempunyai ADHD. Antaranya, terdapat perbezaan bagaimana kimia dalam otak seperti dopamine, norepinephrine dan glutamate berfungsi. Bahagian-bahagian dalam otak yang terlibat dalam ADHD memainkan peranan yang penting dalam “fungsi eksekutif” manusia seperti perancangan, penganjuran dan memulakan tugas.

Kajian juga menyatakan bahawa ADHD mempunyai komponen genetik, dimana dalam kalangan bayi kembar seiras, sekiranya salah seorang bayi tersebut mempunyai ADHD, seorang lagi juga mungkin akan memilikinya juga.

Kanak-kanak atau individu yang mempunyai ADHD sering disalah anggap dengan pelbagai tanggapan negatif. Masalah yang mereka alami cenderung untuk diabaikan disebabkan ramai yang menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak serius untuk diberikan tumpuan. Lebih malang lagi jika tanggapan-tanggapan tersebut akhirnya menyebabkan seseorang kanak-kanak itu hilang keyakinan diri. 

Bagi ibu bapa, penjaga, atau guru, pastikan anda mengenal pasti dengan lebih jelas terlebih dahulu apa yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu bertindak sedikit berbeza berbanding kanak-kanak lain. Kanak-kanak seperti Amirul juga berhak untuk menikmati kehidupannya tanpa terkesan dengan tanggapan negatif di sekeliling.  

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: September 30, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Februari 21, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut