
Apakah tanda autisme pada anak?
Antara gejala lazim untuk ASD adalah:
- Hubungan mata yang terhad atau tidak wujud ketika berinteraksi
- Tidak boleh berkawan atau tidak bermain dengan orang lain
- Kesukaran dalam memahami isyarat sosial atau bukan lisan
- Tingkah laku berulang-ulang
- Bermain dalam dunia sendiri dan tidak melihat perkara yang ditunjukkan kepada mereka
- Perbualan satu pihak
- Mengulang percakapan mengenai perkara yang sama
- Tidak main olok-olok
- Mengibas-gibaskan tangan
- Suka memutar objek
- Tidak suka akan perubahan
- Suka menyusun objek
Autisme, ADHD dan OCD: Apa bezanya?
Mungkin ramai ibu bapa perasan terdapat banyak persamaan antara simptom ASD dan juga Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Namun yang demikian, terdapat perbezaan utama yang dapat membantu membezakan kedua-dua keadaan ini.
Dari segi perhatian, penghidap ASD sukar untuk memberikan perhatian kepada sesuatu yang mereka tidak gemari.
Penghidap ADHD pula akan tidak gemar atau tidak memberi perhatian kepada sesuatu yang memerlukan fokus.
Dari sudut komunikasi pula, walaupun kedua-dua keadaan akan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah dalam berinteraksi, penghidap ASD akan tampak lebih terhad keupayaan sosial mereka.
Mereka kurang kesedaran sosial di persekitaran mereka dan terhad berkomunikasi lisan dan bukan lisan (hubungan mata dan sebagainya).
Lakukan perkara berulang-ulang, adakah ia tanda autisme?
Satu lagi perbezaan penting adalah penghidap ASD gemar melakukan sesuatu, khususnya sesuatu yang mereka suka, berulang-ulang kali.
Namun, penghidap ADHD tidak gemar akan perkara rutin khususnya untuk jangka lama.
Untuk gejala tingkah laku berulang-ulang, mungkin ramai yang akan perasan bahawa ia mirip gejala penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD). Ia adalah satu pemerhatian yang bagus.
Secara asasnya, seseorang yang menghidap ASD berupaya untuk mendapat tingkah laku obsesisif dan kompulsif yang berulang-ulang, persis gejala dalam penyakit OCD.
Namun yang demikian, keterukan simptom obsesif dan kompulsif ini adalah jauh lebih teruk dalam OCD berbanding ASD.
Jenis obsesif dan kompulsif dalam kalangan penghidap OCD juga adalah lebih rumit berbanding penghidap ASD.
Tambahan lagi, penghidap OCD tidak mempunyai gangguan bahasa dan komunikasi seperti yang dialami oleh penghidap ASD.
Untuk pencerahan lebih lanjut, dapatkan maklumat yang tepat daripada doktor anda.