Ia biasa dikaitkan dengan wanita yang ingin atau sedang hamil sahaja. Namun pakar tegas asid folik baik untuk lelaki juga, benarkah? Jom terus baca artikel untuk tahu dengan lebih lanjut!
Apakah itu asid folik?
Asid folik atau folat adalah sejenis vitamin B kompleks yang turut dikenali sebagai vitamin B9.
Folat boleh ditemui di dalam pelbagai jenis makanan manakala asid folik pula boleh didapati di dalam suplemen.
Kedua-duanya adalah kaya dengan kandungan vitamin B9 yang sangat penting untuk mendapatkan diet yang seimbang.
Khasiatnya bagus untuk merangsang kesuburan dan kehamilan.
Disebabkan itu, golongan wanita amat disarankan untuk mengambilnya bagi persediaan sebelum hamil.
Namun begitu, nutrien ini bukan sahaja penting untuk wanita malahan juga baik untuk lelaki.
Apakah manfaat asid folik?
Nutrien ini sangat penting untuk tubuh badan menghasilkan sel darah merah yang normal serta mengurangkan risiko komplikasi kehamilan, sakit jantung, strok, kanser serta Alzheimer.
Ia juga membantu dalam proses penghasilan, pengubahsuaian serta fungsi DNA.
Pengambilan asid folik yang secukupnya sebelum dan semasa kehamilan akan membantu melindungi bayi anda daripada pelbagai kondisi kesihatan seperti bibir sumbing, kelahiran bayi pramatang, kelahiran bayi kurang berat malahan keguguran.
Nutrien ini juga sebenarnya boleh membantu meningkatkan kesuburan.
National Institute of Health (NIH) menyarankan pengambilan kira-kira 400 mikrogram folat pada setiap hari untuk kebanyakan individu dewasa.
Walau bagaimanapun, jika anda sedang dalam fasa mencuba untuk hamil, anda mungkin memerlukan dua kali ganda daripada jumlah ini, atau juga mungkin lebih.
Pun begitu, benarkah nutrien ini sangat membantu wanita hamil secara sihat dan kuat?
Benarkah ia mampu meningkatkan kesuburan wanita?
Sekiranya anda sedang merancang untuk hamil, anda perlu mempersiapkan diri untuk lebih mudah ‘lekat’.
Antara cara untuk merealisasikan hasrat ini adalah dengan mengambil segala vitamin dan mineral yang diperlukan untuk meningkatkan peluang kehamilan.
Majoriti pakar mengesahkan bahawa asid folik memang bagus diambil oleh wanita yang ingin atau sedang hamil.
Namun ada juga pakar berpendapat bahawa bukan golongan ibu sahaja yang memerlukan nutrien ini malah golongan bapa juga tidak terkecuali!
Mengapakah asid folik baik untuk lelaki?
Asid folik sangat penting untuk kesuburan lelaki. Menurut kajian, ia mengandungi nutrisi yang mampu memberi impak terhadap kualiti genetik sperma.
Ia berfungsi mengurangkan kecacatan kromosom sperma dan merupakan bahan penting dalam membantu proses spermatogenesis (proses pembentukan sperma).
Selain itu nutrien ini juga memainkan peranan yang sangat besar dalam mencegah beberapa kondisi kesihatan, termasuklah:
- Masalah jantung (membantu merendahkan tahap homocysteine)
- Masalah otak (membantu kognitif berada pada tahap normal)
- Beberapa jenis anemia
- Cirit -birit dan masalah sistem pencernaan yang lain
- Penyakit kardiovaskular contohnya strok
Apakah sumber utama asid folik?
Bagi mendapatkan nutrien ini dengan secukupnya, anda perlu tahu sumber utama asid folik terlebih dahulu.
Berikut merupakan contoh makanan dan suplemen yang kaya dengan folat dan perlu ada dalam menu seharian anda:
- Sayur-sayuran seperti brokoli, asparagus dan bayam
- Buah-buahan seperti pisang, avokado dan strawberi
- Kekacang seperti lentil dan kacang kuda
- Daging seperti daging lembu, ayam, itik dan telur
- Suplemen vitamin B yang telah diperakui oleh pakar perubatan
Kesan sampingan asid folik
Pengambilannya yang terlalu banyak juga boleh menyebabkan beberapa masalah.
Ini akan menyebabkan lebihan nutrien ini dalam badan yang tidak dapat dikumuhkan.
Menurut kajian, lebihan nutrien ini ini boleh mengakibatkan masalah hati dan neurologi, kerintangan insulin serta peningkatan risiko kanser.
Asid folik memang mempunyai khasiat dan manfaat yang sangat baik untuk kesuburan dan kehamilan bukan sahaja untuk wanita malahan untuk lelaki.
Namun begitu, anda perlulah berbincang dengan pakar nutrisi terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memulakan sebarang diet yang melibatkan makanan dan suplemen yang kaya dengan nutrien ini bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.
Konklusi
Asid folik adalah sangat penting buat wanita kerana ia mampu mendatangkan pelbagai manfaat terhadap kesuburan dan kehamilan terutamanya buat wanita.
Meskipun ia masih belum dapat dibuktikan dapat mendatangkan manfaat lain seperti menggalakkan kehamilan bayi kembar atau mencegah kondisi pra-eklampsia, ia masih merupakan salah satu nutrien yang perlu anda ambil.
Bahkan golongan bapa juga disarankan oleh pakar untuk mengambilnya. Ini kerana ia mengandungi nutrisi yang mampu memberi impak terhadap kualiti genetik sperma.
Ia juga mampu membantu mengurangkan kecacatan kromosom sperma dan merupakan bahan penting dalam membantu proses pembentukan sperma.
Jadi, apa lagi yang kaum Adam tunggu lagi? Ia boleh bantu kesuburan lelaki juga!
[embed-health-tool-ovulation]