Pemasangan Car Seat, Anda Masih Ada Masa untuk Menabung

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

“Menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS), hanya 30% pemilik kenderaan yang sudah memasang kerusi kanak-kanak.” Demikianlah kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. Jadi, adakah anda sudah memasang kerusi keselamatan kanak-kanak di kereta, ataupun masih menimbang-nimbang untuk membeli car seat anak? Ikuti artikel ini untuk penjelasan selanjutnya.

Masih pada fasa awal

Malaysia masih berada pada peringkat awal dalam usaha untuk mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta. Pada Oktober 2018, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengisytiharkan kewajipan pemasangan car seat berkuat kuasa pada Januari 2020. Tetapi, mengapa perlu ada jarak masa yang lama sebelum tempoh penguatkuasaannya? Tak boleh ke kalau kita terus laksanakan undang-undang tersebut lebih awal?

Ini berikutan kerajaan mahu menggunakan pendekatan untuk mendidik terlebih dahulu sebelum fasa perlaksanaan berlangsung. Menurut Anthony, tiada saman yang akan dikenakan kepada ibu bapa yang gagal melaksanakan penguatkuasaan tersebut pada tempoh 6 bulan pertama bermula pada 1 Januari 2020. Namun, amaran dan peringatan akan diberikan kepada mereka yang terbabit bagi menggalakkan penggunaan car seat.

Jika dilihat pada negara-negara maju seperti Australia dan Amerika Syarikat, masing-masing sudah lama mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak. Keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan tidak boleh dipandang ringan. Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), kecederaan berkaitan dengan pengangkutan merupakan sebab utama kematian kanak-kanak. 

Usah berlengah lagi

Kementerian Kewangan telah meluluskan pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada kadar 10 peratus kepada 5 peratus terhadap pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak. Mereka juga telah mendapat lampu hijau bagi permohonan mengenakan sifar peratus duti import kepada barangan ini untuk menggalakkan pembelian oleh pemilik kenderaan. Inisiatif ini dapat meringankan sedikit beban kewangan rakyat dalam memastikan keselamatan anak-anak di dalam kenderaan menjadi keutamaan. 

Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan subsidi kepada mereka yang tidak berkemampuan. Jadi, tiada alasan lagi untuk melengahkan pemasangan kerusi keselamatan tersebut. Menurut CDC, peralatan sebegini dapat mengurangkan risiko kecederaan kepada kanak-kanak jika berlaku kemalangan. Pada tahun 2011, 33% daripada jumlah kematian kanak-kanak yang disebabkan oleh kemalangan adalah berpunca daripada ketiadaan pemasangan peralatan keselamatan seperti tali pinggang keledar atau kerusi keselamatan.

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dapat mengurangkan risiko kecederaan setinggi 82% buat kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan. Kadar pengurangan risiko ini adalah lebih tinggi berbanding dengan jika kanak-kanak hanya dipakaikan dengan tali pinggang keledar. Kerajaan Malaysia telah menyeru semua pihak yang terlibat dengan pembuatan kenderaan serta pengeluar kelengkapan keselamatan untuk membantu menggalakkan penggunaan kerusi keselamatan. Bantuan boleh berbentuk pemberian kerusi keselamatan tersebut secara percuma dengan pembelian kereta, atau memberikan harga diskaun pada tempoh tertentu untuk menggalakkan pembelian produk tersebut.

Konklusi

Bagi mereka yang masih tidak mempunyai kerusi keselamatan ini, dapatkannya segera. Ia dapat melindungi anak anda sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Malang kebiasaannya tidak berbau. Jadilah, ibu bapa yang bertanggungjawab dan pastikan tahap keselamatan anak-anak anda berada pada tahap yang terbaik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 21, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 2, 2019

Rujukan