Echolalia Atau Anak “Ajuk” Cakap – Ia Satu Tanda Autisme Atau Normal?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tahukah anda, apa itu echolalia? Jika anda sering mendengar celotehan anak, terutamanya ketika berusia dua tahun dan ke bawah, anda mesti sedar mereka sering mengulang perkataan yang diajar. 

Sekiranya anda tanya soalan, kadangkala mereka akan mengulangi perkataan terakhir pada persoalan tersebut. Sebagai contoh:

“Kakak nak makan?”, “Makan”, ajuk anak anda.

Ini merupakan salah satu proses perkembangan otak yang sihat memandangkan anak baru sahaja hendak belajar menyebut perkataan.

Namun jika ia berlaku pada kanak-kanak yang berusia 2 tahun dan ke atas, ia merupakan tanda awal kepada masalah perkembangan mental.

Apa itu echolalia?

apa itu echolalia

Penyakit echolalia adalah tindakan mengulangi perkataan atau bunyi yang ada di persekitaran. Walaupun penyakit ini kebiasaannya didiagnosis dalam kalangan pesakit autisme, terdapat faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan individu berkelakuan sedemikian.

Antaranya:

  • Penyakit afasia (kesukaran bercakap, membaca dan menulis)
  • Demensia
  • Kecederaan trauma pada kepala
  • Penyakit skizofrenia

Mereka yang mengalami penyakit echolalia cenderung mengulangi soalan yang ditanya dan tidak dapat memberikan jawapan kepada persoalan tersebut.

Ini menyukarkan proses pembelajaran dan kelak akan memberi tekanan pada mereka. Mereka mahu meluahkan pendapat, namun tidak tahu bagaimana.

Baca juga:

Anak Lambat Bercakap TAK Bermaksud Ada Autisme, Ini Perbezaannya!

Penyakit echolalia adalah satu bentuk percubaan mempelajari bahasa dan usaha untuk berkomunikasi dengan individu lain.

Ketika si manja sedang belajar untuk bercakap, mereka akan meniru bunyi yang terdapat di sekeliling, termasuklah apa yang anda ajar pada mereka. 

Semakin besar anak anda, semakin meningkat keupayaan mereka untuk menyatukan perkataan atau ayat bagi membentuk percakapan. Mungkin sebelum ini apa yang anda dengar hanyalah bunyi bising. 

Selepas 2 tahun, mereka akan pandai menggunakan perkataan dan intonasi suara untuk berkomunikasi dengan anda.

Pada usia sekitar 4 hingga 5 tahun, mereka sudah boleh bertanya soalan dan berkomunikasi dengan individu lain. 

Jika anak anda mempunyai masalah lewat perkembangan, mereka berisiko mengalami masalah ini. Oleh sebab itu penting untuk anda tahu apa itu echolalia bagi memahami situasi mereka.

Jenis-jenis echolalia

apa itu echolalia, echolalia adalah

Echolalia boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu echolalia interaktif dan echolalia tidak interaktif. 

Bagi kanak-kanak yang mengalami echolalia interaktif, ayat yang diulangi mempunyai tujuan untuk berkomunikasi dengan individu lain. Sebagai contoh:

  • Pemberian maklumat: Menggunakan perkataan yang biasa didengar bagi menyampaikan jawapan. Sebagai contoh, jika anda tanya nak makan apa, mereka mungkin menyanyi lagu iklan makanan 
  • Menyatakan hasrat: Mereka cenderung bertanya kepada ibu mereka “Nak makan?”, bagi menyatakan hasrat mereka untuk makan. 
  • Memberikan reaksi verbal ketika diminta untuk membuat sesuatu – Apa yang diucapkan oleh mereka yang mengalami penyakit echolalia adalah apa yang pernah didengarinya.
  • Oleh sebab itulah, kadangkala ia tidak masuk akal. Sebagai contoh, jika anak anda diminta membuat sesuatu, mereka akan menjawab “pandai” atau “bagus” lalu menjalankan tugas tersebut.

Bagaimana pula dengan echolalia tidak interaktif? Ini merupakan interaksi yang digunakan bukan bertujuan untuk berkomunikasi dengan individu lain.

Perkataan atau frasa yang diungkapkan hanya bertujuan untuk merangsang minda atau hiburan.

  • Percakapan tidak berfokus – Mereka yang mengalami echolalia sering mengucapkan sesuatu yang tidak mempunyai kaitan dengan situasi mereka pada ketika itu. Sebagai contoh, mereka boleh menyebut slogan iklan di televisyen semasa berjalan ke kelas.
  • Mengaitkan dengan situasi semasa – Pertuturan bagi mereka yang mengalami echolalia bergantung kepada penglihatan, aktiviti dam situasi semasa. Sebagai contoh, anak anda mungkin akan menyanyikan lagu iklan di televisyen berkaitan dengan jenama tertentu apabila mereka ternampak produk jenama tersebut di pasar raya. Namun, ia tidak mempunyai tujuan untuk berkomunikasi dengan sesiapa.
  • Beri panduan kepada diri sendiri – Individu yang mengalami echolalia suka untuk menyebut langkah-langkah sesuatu prosedur sambil melakukannya. Jika mereka sedang memasak, mereka akan menyebut “Isi air, biarkan hingga mendidih, masukkan mi segera”.

Rawatan bagi penyakit echolalia

echolalia

Terapi pertuturan dan permainan

Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda echocalia interaktif, anda seharusnya gembira. Anak anda mempunyai cara yang tersendiri bagi menyampaikan keinginan mereka walaupun seringkali ayat yang digunakan tidak kena pada konteksnya.  

Dengan bantuan pakar pertuturan, anak anda akan belajar cara untuk meluahkan apa yang mereka fikirkan.

Bagi mereka yang mengalami echolalia tidak interaktif, kebiasaannya terapi pertuturan atau terapi permainan akan dipreskribkan oleh doktor. 

Mengenali jenis echolalia yang dialami oleh anak penting bagi menentukan jenis terapi yang sesuai diberikan kepada mereka. Dalam jangka masa panjang, pertuturan mereka akan mula relevan walaupun ia tidak sebagus kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

Terapi ubat

Simptom echolalia seringkali menjadi semakin teruk ketika seseorang itu berada dalam keadaan tertekan atau gelisah. Pemberian ubat anti-resah atau anti-kemurungan, sedikit sebanyak dapat membantu meredakan keadaan tersebut.

Preskripsi ubat tersebut hanya boleh diberikan oleh doktor. Jangan berikan ubat tersebut sewenang-wenangnya jika ia tidak dipreskribkan.

Penjagaan di rumah

Terdapat pelbagai jenis program atas talian, lagu dan rancangan televisyen yang mampu memberikan kesan positif terhadap perkembangan kanak-kanak yang mengalami masalah echolalia.

Penggunaan tatabahasa yang terhad turut membantu anak anda untuk berkomunikasi dengan lebih baik. 

Konklusi

Jika anak anda menunjukkan simptom echolalia ketika berumur dua tahun dan ke atas, jangan panik. Bawa mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah perkembangan mental ini mungkin lambat untuk bertutur jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang lain. Namun, itu tidak bermakna tahap kecerdasan mereka rendah. Albert Einstein sendiri mengalami masalah lambat bercakap ketika beliau kecil.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Februari 18, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 18, 2020

Rujukan