backup og meta

Macam Mana Nak Tau Kalau Anak Ada Diabetes Jenis 1? Ini 8 Tanda Yang Anda Kena Lihat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/07/2022

    Macam Mana Nak Tau Kalau Anak Ada Diabetes Jenis 1? Ini 8 Tanda Yang Anda Kena Lihat

    Ramai orang dewasa tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes. Apatah lagi jika diabetes pada anak berlaku, ia mungkin lebih sukar dikenal pasti. Ini boleh menjejaskan usaha awal penjagaan kanak-kanak tersebut.

    Jadi, apakah tanda-tanda untuk mengetahui jika anak anda menghidap diabetes?

    Kanak-kanak boleh dapat diabetes?

    Tahukah anda, kanak-kanak atau bayi yang masih kecil juga boleh mendapat diabetes?

    Ia bukanlah diabetes yang berpunca daripada gaya pemakanan, tetapi diabetes jenis 1 adalah yang biasa terjadi sejak kecil lagi.

    Bagi diabetes jenis 2, ia merupakan penyakit diabetes yang biasa dikaitkan dengan obesiti atau pemakanan. Diabetes jenis 2 juga lebih biasa terjadi dalam kalangan orang dewasa.

    Berlainan pula dengan diabetes jenis 1 yang dikaitkan dengan kemampuan pankreas kanak-kanak untuk menghasilkan insulin.

    Diabetes jenis 1 pula merupakan sejenis gangguan autoimun yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak. 

    penjagaan kanak-kanak

    Memahami diabetes anak: Apa itu diabetes jenis 1?

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, diabetes jenis 1 merupakan sejenis gangguan atau penyakit autoimun.

    Dalam tubuh penghidap diabetes jenis ini, sistem imun tubuh mereka menyerang sel-sel yang terdapat dalam pankreas yang sepatutnya menghasilkan insulin.

    Insulin merupakan sejenis hormon yang membantu glukosa atau gula dalam darah untuk memasuki sel badan.

    Glukosa ini kemudiannya digunakan sebagai bahan tenaga untuk sel tersebut.

    Sekiranya insulin tiada atau tidak mencukupi, maka glukosa tidak dapat memasuki sel badan lalu menyebabkan ia terkumpul dalam darah.

    Ini yang menyebabkan hiperglisemia atau paras gula darah menjadi terlalu tinggi.

    Disebabkan kegagalan pankreas untuk menghasilkan insulin, maka kanak-kanak mendapat diabetes sejak umur mereka masih muda. 

    Penjagaan kanak-kanak: Apakah punca bagi diabetes jenis 1 ini?

    penjagaan kanak-kanak

    Untuk pengetahuan anda, punca bagi kejadian diabetes jenis 1 ini masih tidak diketahui dengan jelas.

    Namun, para penyelidik berpendapat ia berlaku disebabkan faktor warisan gen dalam keluarga. 

    Apakah tanda-tanda untuk mengetahui jika anak anda menghidap diabetes?

    Sekiranya anak anda ada menunjukkan tanda-tanda seperti di bawah ini, ia mungkin menandakan bahawa mereka mempunyai diabetes jenis 1.

    Antara tanda-tandanya ialah:

    #1. Kerap dahaga

    Ia mungkin kelihatan normal sekiranya kanak-kanak kerap meminum air.

    Malah, ramai ibu bapa tidak melihat ia sebagai satu tanda penyakit jika anak mereka kerap meminum air atau membuang air kecil.

    Namun, ibu bapa perlu tahu bahawa ia salah satu tanda umum diabetes pada anak.

    Ini berlaku apabila paras gula darah yang tinggi memicu tindak balas dalam tubuh untuk mengeluarkan cecair daripada tisu badan.

    Inilah yang menyebabkan anak anda kerap membuang air kecil dan kerap meminum air.

    #2. Kerap letih

    Dalam penjagaan kanak-kanak, ibu bapa juga perlu memerhatikan sekiranya anak mereka kerap letih atau tidak.

    Sekiranya anak anda mudah atau kerap berasa letih, ia juga mungkin tanda bahawa mereka mempunyai diabetes jenis 1.

    Ini kerana, tubuh badan anak anda tidak berkemampuan untuk menukarkan glukosa atau gula dalam darah kepada bentuk tenaga untuk kegunaan sel badan. 

    #3. Kerap berasa lapar

    Apabila sel tubuh tidak menerima tenaga daripada sumber glukosa, maka otot dan organ mereka tidak menerima tenaga yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik.

    Ini boleh menyebabkan anak anda memberikan reaksi atau respons kelaparan yang melampau. 

    #4. Kehilangan berat badan

    penjagaan kanak-kanak

    Kehilangan atau penurunan berat badan yang berlaku ini bukanlah disebabkan oleh diet atau senaman.

    Namun ia berlaku tanpa sebab yang jelas iaitu tanda bahawa wujudnya diabetes pada anak anda. 

    #5. Gangguan pada penglihatan

    Selain itu, paras gula darah yang tinggi juga boleh menyebabkan gangguan pada mata dan penglihatan anak anda.

    Sekiranya anda benar-benar mementingkan penjagaan kanak-kanak, sila berikan perhatian jika anak anda mengadu bahawa mereka mengalami masalah pada mata.

    Namun, ada juga kanak-kanak yang tidak menyedari bahawa mereka mengalami gangguan penglihatan disebabkan umur mereka yang masih muda. 

    #6. Jangkitan yis

    Jangkitan yis juga boleh menjadi salah satu tanda berlakunya diabetes dalam bayi anda.

    Anda boleh melihat kemunculan jangkitan yis ini dalam bentuk ruam lampin pada bayi dan anak anda. 

    #7. Nafas berbau seperti buah

    Sekiranya anda mendapati nafas anak anda berbau seperti buah-buahan, ia juga mungkin tanda diabetes pada anak anda.

    Ini kerana tubuh badan mereka sedang cuba untuk mengeluarkan atau mengkumuhkan lebihan gula yang tidak dapat memasuki sel badan. 

    #8. Tingkah laku yang tidak normal

    Anak anda juga mungkin akan menunjukkan kelakuan yang tidak normal seperti mudah marah, gelisah atau beremosi.

    Sekiranya tingkah laku ini berlaku serentak dengan simptom-simptom yang disebutkan seperti di atas, ia mungkin tanda anak anda menghidap diabetes jenis 1. 

    Bawa jumpa doktor jika anda pentingkan penjagaan kanak-kanak

    Sekiranya anda terlihat tanda-tanda seperti yang telah dinyatakan ini, bawa anak anda untuk berjumpa doktor bagi melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan penjagaan kanak-kanak dalam keadaan baik. 

    Ia boleh jadi tanda diabetes jenis 1 atau penyakit lain.

    Jangan abaikan tanda-tanda ini kerana ia sememangnya satu tanda yang tidak normal.

    Utamakan penjagaan kanak-kanak apatah lagi jika ia berkaitan dengan diabetes jenis 1.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan