Mengapa Kami Kata Pil Minda Adalah Scam?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

# Mudah bangun pagi

# Tingkatkan fungsi minda anak

# Brain-booster

# Kurangkan mengantuk semasa belajar

# Bekalkan tenaga untuk anak belajar

Biasa nampak ayat-ayat sebegini? Kalau tidak biasa, mungkin anda perlu tahu dan ambil tahu mengenai scam pil minda sebelum anda terjatuh dalam perangkap marketing tuntutan merepek produk sebegini. Tuntutan dan dakwaan sebegini biasa diiklankan pada produk-produk pil minda yang kadangkala memasuki pintu pagar sekolah untuk dipasarkan. Kenapa kami kata pil minda adalah scam? 

Modus jualan pil ‘ajaib’

Untuk pengetahuan pembaca, kebanyakan modus jualan pil minda ini dijalankan secara serampang dua mata. ‘Pakar motivasi’ yang hadir ke sekolah yang sepatutnya bertindak sebagai penceramah motivasi, membuat keuntungan tambahan dengan promosi serta iklan produk pil minda jualannya. Maka, jangan anda pelik mengapa anak-anak anda akan pulang membawa keratan atau flyers pil minda daripada sekolah.

Sebab mengapa anda perlu tolak daripada membeli pil ‘ajaib’

Sebelum anda membeli produk tersebut, cuba belek-belek sebentar botol pil minda yang dijual. Adakah ia produk yang berdaftar? Jika tidak berdaftar, ia adalah sebab utama dan pertama mengapa anda perlu menolak daripada membelinya. Ia jelas adalah satu produk yang belum tentu selamat untuk diambil. Jika anda mencari barang original kerana risau kualiti barang tiruan, mengapa masih membeli produk daripada mereka yang tidak langsung mempunyai latar belakang dalam bidang berkaitan?

Sudah membelek sama ada ia berdaftar atau tidak? Periksa bahan kandungan yang terdapat dalam pil tersebut. Jika ia tertulis diperbuat daripada ekstrak tumbuhan, tanya kepada penjual apakah ekstrak tumbuhan tersebut dan apakah komposisi sebenar ekstrak tumbuhan yang didakwa ada dalam pil tersebut. Jika terkebil-kebil mata penjual untuk menjawab atau cuba membuat corner baring, itu tanda kedua bahawa dia sendiri tidak pasti bahan yang digunakan dalam pembuatan pil minda. Makan sahaja sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih jelas berkhasiat. 

Tidak cukup lagi, periksa kandungannya lagi. Ada tulis sukros atau fruktos? Anda tahu apa maksud keduanya? Bahasa mudah orang kampung, keduanya adalah gula. Bayar harga RM30 sebotol hanya untuk gula? Lebih baik anda beli gula pasir di kedai yang harganya tidak sampai RM3.

Bagaimana sekiranya penjual mendakwa produk pil tersebut tiada kesan sampingan?

Jika benar produk pil minda ‘ajaib’ yang dijualnya tiada kesan sampingan, minta penjual buktikan bahawa produknya telah melalui ujian klinikal. Ujian klinikal yang dilakukan terhadap produk bertujuan menilai kesan produk yang didakwa dan kesan sampingan yang mungkin berlaku. Jika tiada, ini bermakna produk tersebut tidak pernah menjalani sebarang ujian untuk menentukan tahap keselamatan penggunaannya. Ia ibarat anda menelan bom jangka.

Bukan sahaja di Malaysia

Pada tahun 2017, Federal Trade Commission, Amerika Syarikat pernah mengeluarkan amaran mengenai penjualan pil minda (brain-booster) dengan mengaitkan bahawa ia disokong oleh Stephen Hawking walaupun ia tidak pernah sama sekali mendapat sokongan tersebut. Mengapa ada yang bertindak membuat dakwaan sehingga tahap sedemikian? Hanya satu sebab, mereka mahukan duit anda. Tiada penjual produk yang akan mengatakan bahawa produk mereka tidak bagus. Kesemuanya dilakukan semata-mata untuk melariskan jualan mereka. Di saat anda gigih mengumpul duit untuk membeli pil minda berharga RM30 sebotol, mereka sudah mampu membeli sebiji Toyota Alphard hasil jualan pil ajaib mereka.

Untuk pentadbir sekolah

Baik mereka yang bertanggungjawab mengawal selia urusan sekolah sama ada di pihak Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, PIBG sekolah, guru besar mahupun guru-guru lain, pastikan penceramah yang dijemput tidak mempunyai niat sampingan lain dan tidak mempunyai latar belakang penjualan pil minda sampah. Tegaskan bahawa mereka tidak boleh menjual sebarang produk ajaib di kawasan sekolah dan jangan sesekali mengedarkan flyers produk-produk sampah kepada murid-murid.

Sebagai penjual, jangan sesekali menggunakan alasan ‘ekonomi Melayu’ atau segala alasan lepas tangan untuk menghalalkan tindakan anda. Penjualan produk dengan tuntutan melampau tanpa asas yang kukuh boleh dianggap sebagai satu penipuan atau cubaan memperdayakan pengguna. Bagi ibu bapa pula, tiada jalan pintas untuk meningkatkan kecerdasan minda anak anda. Kesemuanya adalah hasil usaha anda mendidik anak ditambah faktor-faktor lain seperti makanan yang berkhasiat dan aktiviti fizikal. Jika benar pil minda tersebut berkhasiat seperti yang didakwa, pasti anak-anak penjual mendapat markah 100% bagi setiap ujian dan pasti penjual sendiri telah berjaya dalam pendidikan dan bergraduasi daripada Universiti Oxford.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut