backup og meta

Timing Yang Betul PENTING Untuk Cubaan Hamil! Ini Masa Paling Sesuai Dicuba Suami Isteri

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 27/03/2020

    Timing Yang Betul PENTING Untuk Cubaan Hamil! Ini Masa Paling Sesuai Dicuba Suami Isteri

    Setiap pasangan suami isteri pasti mahu menimang cahaya mata yang comel untuk menghiburkan serta melengkapkan kehidupan anda dan pasangan, bukan? Pun begitu, mungkin ramai yang belum tahu rahsia sebenar bagi merealisasikan hasrat untuk hamil.

    Selain menjalani kehidupan yang sejahtera agar tubuh badan kekal sihat dan kuat, timing yang betul penting dalam usaha untuk hamil. Untuk tahu lebih lanjut mengenainya, jom sama-sama kita ikuti artikel ini!

    Mitos untuk hamil yang tidak boleh digunapakai

    Antara mitos yang paling popular dalam perihal kehamilan adalah wanita boleh hamil pada bila-bila masa sahaja. Ya, ia mungkin benar tetapi ada syaratnya.

    Hakikatnya, wanita hanya akan berjaya mengandung pada beberapa hari terpilih ketika proses ovulasi berlaku dalam tubuh badan mereka.

    Telur wanita dan sperma lelaki hanya boleh hidup selama beberapa hari sahaja. Untuk pengetahuan anda, sperma boleh hidup kira-kira 5 hari selepas dikeluarkan dari testis dan perlu disenyawakan dengan telur dalam tempoh 24 jam selepas ia dirembeskan oleh ovari.

    Kedua-duanya perlu bertemu pada waktu yang tepat bagi membolehkan proses persenyawaan berlaku untuk mencipta embrio.

    Jadi, mitos yang mengatakan wanita boleh mengandung pada bila-bila masa sahaja adalah tidak betul. Timing yang tepat adalah kunci kepada usaha untuk hamil menjadi lebih mudah!

    hamil

    Bagaimana untuk tahu bahawa anda sedang berovulasi?

    Mengetahui waktu ovulasi adalah sangat penting bagi anda dan pasangan bagi merancang waktu seks dilakukan, sekali gus meningkatkan peluang anda untuk hamil. Anda boleh mengenal pasti waktu ‘ajaib’ ini melalui pengiraan kitaran menstrual anda.

    Caranya, anda hanya perlu tahu berapa hari tubuh badan anda akan menjalani kitaran menstrual. Untuk pengetahuan anda, setiap wanita mempunyai kiraan hari yang berbeza. Jadi, sila kira hari pertama anda datang haid hingga tempoh datang haid yang seterusnya. 

    Ini sangat penting untuk anda tahu waktu subur anda. Untuk lebih memahaminya, sila teliti gambar di bawah ini:

    hamil

    Untuk lebih kepastian, anda sendiri boleh gunakan kalkulator kesuburan kami secara percuma sahaja! Berikut adalah pautannya: https://wp.hellodoktor.com/ms/alatan-ukur-kesihatan/kalkulator-kesuburan/

    Cecair mukus pada faraj perlu diperhatikan untuk mudah hamil

    Antara salah satu cara lain untuk mengetahui waktu tepat ovulasi berlaku pada tubuh badan anda adalah melalui cecair mukus pada faraj. Bagaimana caranya agaknya ya?

    Beberapa hari sebelum proses ovulasi berlaku, anda mungkin perasan cecair mukus pada faraj menjadi lebih jernih, likat dan licin, seumpama putih telur. Ini adalah waktu paling sesuai untuk ajak pasangan berasmara!

    Perbezaan kitaran menstrual dengan datang haid

    Mungkin masih ada yang terkeliru antara kitaran menstrual dengan datang haid. Sebenarnya, ia adalah 2 perkara yang berkaitan namun sama sekali berbeza.

    • Datang haid – waktu faraj keluar darah
    • Kitaran menstrual – bermula pada hari pertama faraj keluar darah dan berakhir sebelum tempoh datang haid anda yang seterusnya

    Kebiasaannya, kitaran menstrual adalah kira-kira 21 hingga 35 hari – waktu yang normal. Namun, ia berbeza bagi setiap wanita. Jadi, dapatkan nasihat dan rawatan dari doktor untuk tahu lebih lanjut mengenainya.

    Peluang untuk hamil akan lebih tinggi jika timing betul

    Jadi, anda sudah tahu waktu ovulasi berlaku pada tubuh badan anda, bukan? Jadi, gunakan ruang dan peluang ketika waktu subur anda ini untuk melakukan hubungan seks bersama pasangan bagi meningkatkan peluang anda untuk hamil.

    • Jika anda melakukan seks 6 atau lebih hari sebelum ovulasi, peluang untuk hamil adalah hampir 0.
    • Jika anda melakukan seks 5 hari sebelum ovulasi peluang untuk hamil adalah sekitar 10 peratus.
    • Jika anda melakukan seks pada hari ovulasi, atau dua hari sebelumnya, peluang untuk hamil adalah sekitar 30 peratus.

    Namun demikian, anggaran ini adalah berbeza mengikut individu dan sangat bergantung kepada usia wanita itu sendiri. Jadi, sila berjumpa dengan doktor sekiranya anda sendiri ragu akan perkara ini ya?

    Dalam pada itu, ada banyak lagi perkara lain selain timing yang anda boleh beri lebih perhatian bagi memastikan usaha untuk hamil anda menjadi lebih mudah.

    Antaranya, anda perlu melakukan pemeriksaan kesuburan secara berkala dengan doktor untuk menyelesaikan apa-apa masalah yang mungkin anda tidak sedar mengalaminya.

    Selain itu, usah khuatir dengan posisi seks yang anda dan pasangan amalkan, ia tidak akan memberikan sebarang kesan yang besar dalam usaha anda untuk mengandung.

    Akhir sekali, sila pastikan anda dan pasangan sentiasa menjalani kehidupan yang sihat. Berhenti merokok dan kurangkan pengambilan alkohol! Ia sudah pasti akan membuat kehidupan anda lebih sihat dan sejahtera!

    Konklusi

    Kesimpulannya, timing yang betul penting dalam usaha untuk hamil. Jadi, sila ketahuinya dengan menggunakan kalkulator kami, ya?

    Ia sangat mudah, cepat dan percuma! Dengannya, anda sudah boleh merancang bersama pasangan untuk tahu waktu paling sesuai bagi anda berdua bermadu asmara di ranjang.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 27/03/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan