Timing Yang Betul Penting Dalam Usaha Untuk Hamil!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Setiap pasangan suami isteri pasti mahu menimang cahaya mata, kan? Namun, mungkin ramai yang belum tahu rahsia sebenar untuk merealisasikan hasrat itu. Selain menjalani kehidupan yang sejahtera agar tubuh badan kekal sihat dan kuat, timing yang betul penting dalam usaha untuk hamil. Untuk tahu lebih lanjut, jom ikuti artikel ini!

Mitos yang tidak boleh digunapakai

Antara mitos yang paling popular dalam perihal kehamilan adalah wanita boleh hamil pada bila-bila masa sahaja. Hakikatnya, wanita hanya akan berjaya mengandung pada beberapa hari terpilih ketika proses ovulasi berlaku dalam tubuh badan mereka.

Telur wanita dan sperma lelaki hanya boleh hidup selama beberapa hari sahaja. Untuk pengetahuan anda, sperma boleh hidup kira-kira 5 hari selepas dikeluarkan dari testis dan perlu disenyawakan dengan telur dalam tempoh 24 jam selepas ia dirembeskan oleh ovari.

Kedua-duanya perlu bertemu pada waktu yang tepat bagi proses persenyawaan berlaku untuk mencipta embrio. Jadi, mitos yang mengatakan wanita boleh mengandung pada bila-bila masa sahaja adalah tidak betul. Timing yang tepat adalah kuncinya.

hamil

Bagaimana untuk tahu bahawa anda sedang berovulasi?

Mengetahui waktu ovulasi adalah sangat penting bagi anda merancang waktu seks dilakukan, sekali gus meningkatkan peluang anda untuk hamil. Anda boleh mengenal pasti waktu ‘ajaib’ ini melalui pengiraan kitaran menstrual anda.

Caranya, anda hanya perlu tahu berapa hari tubuh badan anda akan menjalani kitaran menstrual. Untuk pengetahuan anda, setiap wanita mempunyai kiraan hari yang berbeza. Jadi, sila kira hari pertama anda datang haid hingga tempoh datang haid yang seterusnya. 

Ini sangat penting untuk anda tahu waktu subur anda. Untuk lebih memahaminya, sila teliti gambar di bawah ini:

hamil

Untuk lebih kepastian, anda sendiri boleh gunakan kalkulator kesuburan kami secara percuma sahaja! Berikut adalah pautannya: https://hellodoktor.com/ms/alatan-ukur-kesihatan/kalkulator-kesuburan/

Cecair mukus pada faraj

Antara salah satu cara lain untuk mengetahui waktu tepat ovulasi berlaku pada tubuh badan anda adalah melalui cecair mukus pada faraj. Beberapa hari sebelum proses ovulasi berlaku, anda mungkin perasan cecair mukus pada faraj menjadi lebih jernih, likat dan licin, seumpama putih telur. Ini adalah waktu paling sesuai untuk ajak pasangan berasmara!

Perbezaan kitaran menstrual dengan datang haid

Mungkin masih ada yang terkeliru antara kitaran menstrual dengan datang haid. Sebenarnya, ia adalah 2 perkara yang berkaitan namun berbeza.

  • Datang haid – waktu faraj keluar darah
  • Kitaran menstrual – bermula pada hari pertama faraj keluar darah dan berakhir sebelum tempoh datang haid anda yang seterusnya.

Kebiasaannya, kitaran menstrual adalah kira-kira 21 hingga 35 hari – waktu yang normal. Namun, ia berbeza bagi setiap wanita. Jadi, dapatkan nasihat dan rawatan dari doktor untuk tahu lebih lanjut mengenainya.

Peluang hamil akan lebih tinggi jika timing betul

Jadi, anda sudah tahu waktu ovulasi berlaku pada tubuh badan anda, bukan? Jadi, gunakan ruang dan peluang ketika waktu subur anda ini untuk melakukan hubungan seks bersama pasangan bagi meningkatkan peluang anda untuk hamil.

Jika anda melakukan seks 6 atau lebih hari sebelum ovulasi, peluang untuk hamil adalah hampir 0.

Jika anda melakukan seks 5 hari sebelum ovulasi peluang untuk hamil adalah sekitar 10 peratus.

Jika anda melakukan seks pada hari ovulasi, atau dua hari sebelumnya, peluang untuk hamil adalah sekitar 30 peratus.

Namun, anggaran ini adalah berbeza mengikut individu dan sangat bergantung kepada usia wanita itu sendiri. 

Konklusi

Kesimpulannya, timing yang betul penting dalam usaha untuk hamil. Jadi, sila ketahuinya dengan menggunakan kalkulator kami, ya? Ia sangat mudah, cepat dan percuma! Dengannya, anda sudah boleh merancang bersama pasangan untuk tahu waktu paling sesuai bagi anda berdua bermadu asmara di ranjang.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut