Kemurungan Kerana Tidak Subur? 5 Tip Atasinya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Mendapat zuriat adalah impian setiap pasangan. Namun terdapat sesetengah wanita berdepan kesukaran untuk hamil dan isu tidak subur sering menyebabkan tekanan. Jadi adakah terdapat cara untuk mengatasinya?

Tidak subur punca kemurungan

Lebih daripada 6 juta wanita di Amerika Syarikat mengalami kesukaran untuk hamil dan mereka semakin terbuka untuk berbicara mengenainya, terutamanya secara atas talian. Kini, topik mengenai tidak subur bukan lagi perkara tabu untuk dibincangkan. 

Namun, isu kemurungan yang dialami oleh individu dengan masalah tidak subur masih lagi satu perkara yang tidak mendapat perhatian. Keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan kemurungan dihadapi pesakit kanser.

Jadi bagaimana caranya untuk anda menjaga diri ketika berhadapan dengan perkara yang memberikan tekanan dan masih menimbulkan salah faham dalam kalangan individu? Adakah terdapat cara mengatasi isu ini?

Tip atasi kemurungan kerana tidak subur

Kemurungan adalah satu keadaan yang perlu diberikan perhatian dan tidak boleh dipandang remeh, khususnya bagi individu yang melalui situasi tersebut. Berikut dikongsikan cara penjagaan diri yang boleh dicuba:

  1. Tidak salah untuk berasa tertekan

Hubungan antara tekanan dan isu tidak subur adalah satu perkara rumit. Malahan pakar sendiri masih cuba untuk memahami keadaan ini. 

Yang menjadi masalahnya adalah apabila terdapat ahli keluarga mahupun rakan yang sering memberikan pandangan berkaitan isu kemandulan. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan seseorang individu yang berdepan masalah ketidaksuburan mengalami tekanan.

Menurut Profesor Madya Obstetrik dan Ginekologi Klinikal di University Of Pennsylvania’s Perelman School of Medicine, Dr Suleena Kalra berkata, “Menyuruh pasangan yang sedang mencuba untuk hamil supaya bertenang adalah antara perkara yang paling tidak digalakkan.”

Ingatkan kepada diri anda bahawa ia adalah sesuatu yang normal untuk berasa tertekan jika berdepan isu tidak subur. Ini terutamanya jika anda dan pasangan sedang mencuba mendapatkan zuriat

Jika ada yang menyuruh anda bertenang, anda berhak menyuruh mereka berhenti. Ia adalah satu tindakan penjagaan diri kecil yang boleh anda lakukan kepada diri sendiri. 

kemurungan kerana tidak subur

  1. Fakta atau ketakutan?

Apabila berhadapan dengan sesuatu isu seperti ketidaksuburan, iaitu satu perkara di luar kawalan, sudah tentu dalam minda anda akan memikirkan perkara paling buruk yang boleh berlaku kepada diri anda.

Namun, tanyakan kepada diri sendiri adakah anda mengetahui fakta mengenainya atau kebimbangan semata-mata? Cara terbaik mengatasi sebarang tekanan disebabkan isu ketidaksuburan ini adalah dengan mendapatkan maklumat melalui sumber yang boleh dipercayai dan fokus pada cara mengatasinya. 

  1. Hindari bayi dan wanita hamil

Tidak terdapat peraturan yang mengatakan anda perlu menghadiri baby shower sahabat baik anda, jika pada hakikatnya anda menderita. Jangan terus melukai diri anda semata-mata untuk menyenangkan pihak lain.

Usah memaksa diri sekiranya anda tidak mampu berdepan dengan situasi seperti itu. Hadirinya setelah anda benar-benar kuat untuk berdepan segala kemungkinan melibatkan pertanyaan daripada individu sekeliling seperti “Awak bila lagi nak dapat baby?”

Sekiranya anda terus memaksa diri, ia pada akhirnya mungkin akan menyebabkan wujudnya rasa cemburu dan iri hati. Lebih parah lagi jika ia membuatkan anda berasa sedih dan sekali gus akan meningkatkan kecenderungan untuk mengalami kemurungan.

Elakkan sebarang hal berkaitan bayi mahupun wanita mengandung, sama ada secara berdepan atau sekadar gambar. Ia adalah satu cara penjagaan diri dan bukannya mementingkan diri.

  1. Hadkan topik berkaitan kesuburan

Berbicara mengenai perkara yang membelenggu diri, seperti isu ketidaksuburan bersama ahli keluarga rapat dan rakan, adalah satu perkara yang baik bagi meluahkan perasaan anda yang terpendam.  

Tetapi ada kalanya, tidak bercakap mengenainya juga adalah satu tindakan yang amat baik dalam penjagaan diri bagi menghindari kemurungan mahupun tekanan. 

Jika individu yang masih belum berkahwin, tidak suka pertanyaan berkaitan seperti “Bila hendak tamatkan zaman bujang?”, begitu jugalah keadaannya dengan individu yang masih mencuba untuk hamil. 

Berterus-terang jika anda tidak selesa untuk berbicara mengenai masalah ketidaksuburan yang anda alami. Ia adalah cara terbaik berbanding anda berpura-pura senang berbual tentang isu tersebut, namun hakikatnya anda terluka. 

mandul penyebab kemurungan

  1. Dapatkan sokongan

Pasangan anda mungkin sentiasa memberikan sokongan kepada anda. Namun anda juga memerlukan sokongan daripada sahabat yang benar-benar dapat memahami keadaan yang dilalui anda. 

 Anda boleh memilih sahabat yang merupakan pendengar setia dalam membantu meredakan tekanan emosi yang anda alami. Mungkin juga anda boleh dapatkan kumpulan sokongan dalam talian atau bantuan pakar terapi kaunseling yang bertauliah.

Paling utama, jangan pendam apa yang anda rasa. Meluahkan adalah cara terbaik mengatasi tekanan diri. 

Kesimpulannya 

Masalah ketidaksuburan, mandul atau sukar mendapat zuriat adalah satu perkara yang sensitif untuk dibincangkan, terutamanya kepada pasangan yang sedang berusaha memperolehi cahaya mata.

Namun, ia tidak bermakna mereka yang berdepan masalah ini tidak memerlukan sokongan individu sekeliling. Tetapi elakkan daripada menyuruh mereka bersabar atau bertenang, sebaliknya berikan sokongan terhadap apa juga ikhtiar yang sedang mereka lakukan. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 18, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 17, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut