2. Mengurangkan risiko komplikasi kehamilan
Menurut kajian yang diterbitkan pada 2015 oleh International Journal of Obstetrics and Diabetes, senaman seperti berjalan kaki sekurang-kurangnya 5 jam dalam satu minggu mampu mengurangkan risiko wanita hamil mengalami gestational diabetes atau diabetes ketika hamil. Jika anda mampu mengekalkan rutin senaman seharian, ia juga akan menurunkan risiko anda menghadapi kondisi ini.
Senaman juga mampu mengurangkan risiko wanita hamil mengalami tekanan darah tinggi atau perlu melakukan episiotomi, kelahiran dibantu, pembedahan caesarean atau kelahiran bayi terlebih berat (bayi yang mempunyai berat badan melebihi 4.5 kg).
3. Menghalang masalah sembelit
Peningkatan tahap progesterone semasa kehamilan akan menyebabkan pergerakan otot pencernaan menjadi terhad lalu menyebabkan sembelit. Dengan memastikan latihan dan senaman yang konsisten, sistem perncernaan anda akan kekal aktif dan berfungsi dengan baik.
4. Membuat anda kelihatan dan rasa lebih baik
Aktiviti senaman dapat membantu anda meningkatkan kualiti tidur, melancarkan perjalanan darah ke kulit serta merangsang badan anda menghasilkan endorfin iaitu bahan kimia semulajadi yang berfungsi mencetuskan emosi positif sekaligus menghalang depresi dan stres.
Wanita hamil yang melakukan senaman ketika hamil juga mampu mengawal berat badan mereka dalam lingkungan yang disarankan. Hasilnya, anda tidak akan berdepan sebarang isu berkaitan tubuh badan anda. Ini sekaligus dapat membuatkan anda kelihatan dan rasa lebih baik terhadap imej anda.
5. Menyediakan anda untuk melahirkan bayi
Semakin kuat dan sihat kondisi tubuh badan anda, lebih mudah untuk anda melalui proses melahirkan bayi. Ini kerana otot dan sistem kardiovaskular wanita hamil yang kuat dapat memberikan mereka lebih banyak stamina untuk mereka menolak bayi keluar selain mengurangkan keperluan mereka terhadap pengambilan ubat-ubatan. Sebagai tambahan, senaman juga membantu mempercepatkan tempoh pemulihan kesihatan serta penampilan fizikal anda.