Pada Disember 2019, kajian yang dibuat di Universiti Rutgers telah mendapati bahawa wanita yang mengalami kehamilan berisiko tinggi perlu mendapatkan bantuan profesional dalam memastikan kestabilan emosi. Kajian tersebut telah diterbitkan di dalam Jurnal Psikologi Wanita bagi mengurangkan insiden kelahiran pramatang melalui pendekatan psikologi yang betul.
Menurut kajian tersebut, kira-kira 15% daripada kehamilan di seluruh dunia dikategorikan sebagai kehamilan berisiko tinggi. Keadaan ini boleh meningkatkan insiden bayi lahir kurang berat, kelahiran pramatang dan masalah keguguran jika tidak dirawat. Di Amerika Syarikat sendiri, hampir 10% daripada jumlah mereka yang hamil perlu ditahan di hospital berikutan keseriusan penyakit seperti hiperemesis gravidarum, preeklampsia dan diabetes gestasi.
Mereka yang mengalami kehamilan berisiko tinggi lazimnya menghadapi gangguan emosi dan tekanan stres yang tinggi. Tiada kelas atau pendidikan yang cuba memberikan nasihat secara khusus berkenaan dengan cara menyesuaikan diri, berfikiran positif atau bertenang dalam menghadapi kehamilan berisiko tinggi. Jika dibiarkan berlarutan, wanita tersebut berisiko untuk mendapat kemurungan atau keresahan yang boleh membebankan lagi kehamilan tersebut.
Bagaimanakah caranya untuk kita membendung masalah psikologi ini? Rujuk pakar dan profesional yang terlibat. Anda boleh berbincang dengan ahli keluarga anda namun tanpa pemahaman yang cukup berkenaan dengan kesan kehamilan berisiko tinggi terhadap fizikal dan mental, nasihat yang diberikan kebiasaannya tidak membawa apa-apa nilai melainkan untuk menenangkan sahaja.
Rujuk pakar anda jika anda merasa tertekan
Setiap wanita melalui tekanan psikologi yang berbeza jika mereka mengalami kehamilan berisiko tinggi. Tidak semestinya apa yang dilalui oleh wanita A akan sama dengan apa yang dialami oleh wanita B. Walau bagaimana sekalipun, langkah terbaik dalam menghadapi perkara ini adalah dengan memberitahu perkara tersebut kepada pakar atau doktor perubatan yang menguruskan kehamilan anda.
Menurut kajian tersebut, terdapat pelbagai jenis pendekatan atau terapi psikologi yang boleh membantu golongan ini untuk menenangkan diri. Jika anda tidak pasti sama ada anda mengalami tekanan emosi hasil daripada kehamilan berisiko tinggi, ingatlah bahawa tekanan tersebut tidak semestinya dizahirkan dalam bentuk kemurungan atau keresahan semata-mata.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen