Bukan Susah Pun Nak Bersihkan Paru-paru. Ikuti Tip Simple Ini

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kes-kes pencemaran udara yang berlaku sehingga menyebabkan bencana seperti jerebu, ternyata memberi implikasi yang negatif dan kurang menyenangkan kepada manusia terutamanya paru-paru. 

Pendedahan terhadap pencemaran udara sama ada di luar atau di dalam rumah, telah menyebabkan partikel-partikel bendasing memasuki saluran pernafasan kita, sekali gus menyebabkan komplikasi yang amat tidak diinginkan. Perkara ini bukan satu hal yang ringan. Ini kerana, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 4.2 juta kematian direkodkan di seluruh dunia akibat pendedahan terhadap udara tercemar setiap tahun.

Teknik mudah membersihkan paru-paru

Bagi mereka yang sering terdedah dengan pencemaran udara atau mereka yang menghisap rokok, mungkin anda boleh mempraktikkan kaedah-kaedah mudah ini untuk membersihkan paru-paru anda secara semula jadi. Berikut adalah langkah yang boleh anda amalkan:

Terapi stim

Terapi stim atau penyedutan stim adalah satu teknik menyedut wap air yang bertujuan membuka saluran udara selain membantu paru-paru mengeluarkan mukus. Bagi mereka yang mempunyai masalah dengan paru-paru, simptom mereka akan menjadi lebih buruk dalam persekitaran udara yang sejuk dan kering. Oleh itu, terapi stim ini boleh melembapkan udara sekali gus memperbaiki pernafasan individu yang bermasalah dengan pernafasan mereka.

Keluarkan mukus atau lendir daripada paru-paru

Kaedah ini memanfaatkan postur badan dan graviti bagi mengeluarkan lendir daripada paru-paru. Teknik ini berbeza bergantung kepada posisi tubuh badan anda.

  • Baring telentang
    • Baring di atas lantai atau katil
    • Letakkan bantal di bawah pinggang untuk membolehkan dada berada lebih rendah daripada pinggang
    • Tarik nafas perlahan-lahan melalui hidung dan hembuskan keluar menggunakan mulut. Setiap hembusan nafas perlulah mengambil masa satu kali ganda lebih panjang daripada sedutan nafas. Juga dipanggil kaedah pernafasan 1:2
    • Lakukannya dalam masa beberapa minit
  • Baring mengiring
    • Baring mengiring pada satu sisi, letakkan kepala di atas bantal
    • Letakkan bantal lain di bawah pinggang
    • Gunakan kaedah pernafasan 1:2 seperti yang di atas
    • Lakukannya dalam masa beberapa minit
    • Ulanginya pada sisi badan yang berlainan
  • Baring telungkup
    • Susun beberapa bantal di atas lantai
    • Baring dengan meletakkan perut di atas bantal dan pastikan kedudukan pinggang lebih tinggi berbanding dada anda
    • Letakkan tangan anda di bawah kepala sebagai sokongan
    • Gunakan kaedah pernafasan 1:2
    • Lakukan selama beberapa minit

Senaman

Senaman akan memaksa otot anda untuk bekerja lebih keras. Ini akan menjadikan kadar pernafasan anda meningkat dan menyebabkan peningkatan bekalan oksigen kepada otot anda. Ia juga akan memperbaiki peredaran darah, dan menjadikan tubuh bertindak dengan lebih berkesan dalam menyingkirkan karbon dioksida berlebihan yang dihasilkan semasa anda bersenam. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai COPD, fibrosis cyst atau asma, dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum memulakan rutin senaman anda.

Minum teh hijau

Teh hijau diketahui mempunyai banyak kandungan antioksidan yang boleh membantu mengurangkan keradangan dalam paru-paru. Sebatian teh hijau juga berpotensi melindungi tisu paru-paru daripada kesan negatif penyedutan asap ke dalam paru-paru. Satu kajian menyatakan bahawa, individu yang meminum sekurang-kurangnya 2 cawan teh hijau sehari mempunyai fungsi paru-paru yang lebih baik daripada mereka yang langsung tidak meminumnya. 

Makan makanan yang bersifat antiradang

Keradangan pada saluran pernafasan boleh menyebabkan kesukaran bernafas selain menyebabkan dada berasa berat dan sesak. Dengan cara memakan makanan yang dikategorikan sebagai antiradang, ia boleh mengurangkan simptom-simptom berkaitan. Antara makanan antiradang adalah:

  • Kunyit
  • Sayuran berdaun
  • Buah ceri
  • Bluberi
  • Buah zaitun
  • Kacang walnut
  • Kekacang
  • Lentil

Jika anda merupakan salah seorang individu yang kerap terdedah kepada persekitaran udara yang kurang menyihatkan, cubalah untuk memakai topeng mulut selain mempraktikkan kaedah-kaedah seperti yang dinyatakan di atas. Walaupun paru-paru merupakan organ tubuh yang boleh membersihkan dirinya sendiri, ia hanya akan bertindak sedemikian setelah pendedahannya terhadap bahan pencemar benar-benar terhenti. Oleh itu, kaedah di atas boleh membantu anda memperbaiki paru-paru dan pernafasan anda dengan lebih baik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut