Hati-Hati Kanak-Kanak Sakit Tekak Lebih 3 Hari, Demam Lebih 38.3°C

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Jika anak anda mengalami sakit tekak dengan demam lebih 38.3°C selama lebih 3 hari, sila dapatkan pemeriksaan doktor kerana ia mungkin boleh menyebabkan demam reumatik jika tidak dirawat dengan betul.

Sakit tekak ialah simptom yang sangat kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa. Dalam kebanyakan kes, ia berpunca dari jangkitan virus yang tidak memerlukan preskripsi antibiotik dari doktor, cukup sekadar mengawal demam dan mendapatkan nutrien serta air yang mencukupi.

Namun dalam kes tertentu, sakit tekak mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria. Secara amnya, jangkitan bakteria memberikan simptom yang lebih serius. Rasa sakit dan letih yang dialami lebih teruk dan suhu badan adalah lebih tinggi, kebiasaannya 38.3°C (101°F) dan ke atas. Ia memerlukan rawatan antibiotik untuk memastikan pesakit boleh sembuh dengan sempurna tanpa sebarang komplikasi.

Jangkitan bakteria streptococcus kumpulan A berisiko membawa kepada demam reumatik

Antara bakteria yang menyebabkan jangkitan pada tekak (faringitis) ialah streptococcus dalam kumpulan A. Seperti bakteria lain, simptom kebiasaannya lebih teruk berbanding virus. Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah komplikasi selepas jangkitan tersebut iaitu demam reumatik.

Bakteria streptococcus dari kumpulan A mengandungi protein yang sama seperti beberapa tisu tertentu dalam badan. Apabila jangkitan berlaku, badan akan menghasilkan antibodi untuk melawan bakteria tersebut. Disebabkan persamaan yang ada pada protein di dalam bakteria tersebut, antibodi yang dihasilkan akan turut menyerang tisu badan yang menyerupainya termasuk jantung, sendi, otak, dan kulit.

Rawatan antibiotik mampu mencegah demam reumatik

Satu-satunya cara untuk mengelakkan demam reumatik selepas jangkitan bakteria streptococcus kumpulan A ialah melalui rawatan antibiotik. Walaupun tidak semua individu yang dijangkiti akan mendapat demam reumatik, pencegahan harus dilakukan.

Antibiotik yang digunakan ialah penicillin atau amoxicillin. Bagi kanak-kanak yang mempunyai alahan terhadapnya, antibiotik lain boleh dijadikan sebagai alternatif termasuk azithromycin, cephalosporin, clarithromycin, dan clindamycin.

Pastikan antibiotik yang dipreskrip oleh doktor dihabiskan mengikut dos dan tempoh waktunya.

Antara komplikasi demam reumatik ialah menyebabkan gangguan pada fungsi jantung seumur hidup. Oleh itu, jangan abaikan simptom anak anda!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut