Cepat Naik Angin Punca Gemuk?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

“Argh…kenapalah semua orang suka buat aku marah ‘ni’? Susah sangat ke nak faham apa yang aku cakap?” Haaa…pernah ‘tak’ lalui situasi seperti ini? Rasa ‘nak’ naik angin ‘aje’, benda remeh boleh buat anda geram dan marah. ‘Tapi’ jaga-jaga Cik Salmah, boleh gemuk kalau ‘asyik’ naik angin ‘ni’. Mesti ‘tak’ percayakan? 

Kaitan gemuk dan emosi marah

Kemarahan bukan sekadar menjerit dan berada dalam emosi yang tidak baik. Secara umumnya terdapat tujuh jenis kemarahan:

    1. Moral anger – Berpunca daripada kecewa apabila ada individu yang melanggar peraturan
    2. Behavioral anger – Merupakan satu kemarahan yang tidak menentu. Sering kali mempengaruhi tindakan fizikal. Tetapi tidak bermaksud akan menyebabkan kecederaan
    3. Habitual anger – Ia melibatkan rasa marah yang terlalu lama tersimpan dan akhirnya menyebabkan sukar untuk berhenti marah
    4. Self-harm Ia bukan sekadar kemurungan. Selalunya ia melibatkan kemarahan terhadap diri sendiri
    5. VengeanceSalah satu jenis kemarahan paling biasa adalah vengeance atau rasa marah melibatkan keinginan untuk membalas dendam
    6. Passive-aggression Cenderung dilihat sebagai satu kemarahan yang tidak berbahaya, tetapi tanpa disedari ia boleh mendatangkan kerosakan pada diri dan cara pemikiran
    7. Incidental anger – Satu bentuk kemarahan yang dilihat sebagai tidak sengaja melibatkan tindak balas normal atas situasi tidak adil

Setiap jenis kemarahan tersebut mempunyai simptom yang tersendiri, termasuk menyalahkan diri sendiri, mengambil tindakan yang berisiko, berpura-pura menangis dan banyak lagi. Oleh itu kemarahan bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh. Ia mungkin memberikan kesan serius diluar jangkauan pemikiran. Antaranya kesannya adalah risiko kenaikan berat badan atau bahasa mudahnya, menjadi gemuk. 

Adrenalin memuncak

Hakikatnya, keinginan untuk naik angin atau marah bukan sekadar wujud dalam emosi, tetapi ia juga akan melibatkan proses kimia dalam badan. Apabila marah, adrenalin akan dibebaskan. Fungsinya, ia akan membuatkan diri bersedia untuk keadaan flight or fight. Ia boleh menyebabkan wujudnya anxiety.

Dalam keadaan naik angin, darah akan mengalir daripada organ dalaman ke otot dan keadaan ini tidak akan membuatkan anda berasa lapar. Namun, ia hanyalah kesan jangka masa pendek. Ini kerana apabila tahap adrenalin mula berkurangan, akan wujud keperluan untuk menambah kembali tenaga yang hilang.

Anxiety punca tekanan

Anxiety meningkatkan stres dan keadaan ini mengakibatkan hormon kortisol meningkat. Ia bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan jantung dan tekanan darah. Tetapi dalam masa yang sama ia juga boleh menjejaskan berat badan. 

Kortisol akan menukar gula kepada lemak dan menghalang proses pencernaan. Kesannya adalah peningkatan berat badan dan membentuk lemak yang boleh memudaratkan kesihatan anda. 

Sukar mengawal

Apabila berdepan dengan stres ia akan membawa kepada masalah tidur. Kesan biasa dihadapi oleh individu yang tidak mendapat tidur yang mencukupi adalah tidak mempunyai tenaga. Oleh kerana itu anda akan cenderung itu mendapatkan tenaga dengan karbohidrat. Dalam masa yang sama, tidak cukup tidur akan turut mengganggu fungsi hormon yang mengawal selera makan. Jadi anda akan mengambil makan karbohidrat dalam jumlah yang banyak melebihi keperluan harian.

Apa yang berlaku?

Jadi sekarang apabila marah anda akan kehilangan tenaga, tertekan dan sukar kawal pemakanan. Cuba teka, ‘macam’ mana ‘nak’ tambah tenaga. Ada yang boleh jawab ‘tak’? Tukar bateri baru baru? Berbaring? Atau makan? Yes! Tepat sekali, makanlah jawapan yang kita cari. 

Maka selepas marah, anda akan cenderung untuk mempunyai keinginan untuk makan. Pada ketika ini, emosi anda adalah tidak begitu stabil dan anda akan cenderung untuk makan makanan yang dikategorikan sebagai  ‘comfort food’, seperti ais krim, kek, minuman karbonat atau makanan segera.

Ini bermakna anda akan makan sesuatu yang tidak baik untuk kesihatan tetapi ia boleh memberikan kegembiraan dan ketenangan kepada hati dan emosi. Biasanya anda akan memilih untuk makan secara tidak terkawal. Kesannya? Gemuk!

Bagaimana mengatasinya?

Ini mungkin sukar untuk dilakukan, apatah lagi dalam keadaan emosi yang masih tidak stabil. Tetapi sebaiknya, cuba untuk tidak memilih makan sebagai cara menghilangkan tekanan dan kemarahan yang dialami. Ini boleh membantu mencegah kenaikan berat badan. Jika masih perlu untuk makan, sebaiknya kawal jumlah makanan yang diambil. Berhenti setelah merasa kenyang. 

Jika anda berasa sukar untuk anda mengawal pengambilan makanan, mungkin anda boleh memilih untuk melakukan aktiviti fizikal. Ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kemarahan dan emosi negatif anda, tetapi dalam masa yang sama bersenam adalah baik untuk kesihatan anda secara keseluruhan.

Sekiranya masih tidak berjaya untuk meredakan kemarahan, mungkin apa yang anda perlukan hanyalah untuk meluahkannya. Jadi dapatkan individu yang anda boleh percayai, luahkan kepadanya. 

Konklusi 

Ia adalah sesuatu yang normal untuk berasa marah. Namun jangan membiarkan kemarahan mengawal diri kita. Kalau rasa ‘nak’ naik angin, cuba bertenang, tarik nafas dalam-dalam. Selepas itu senyum dan sambil tepuk bahu anda sendiri, katakan “Jangan marah-marah, nanti cepat gemuk’. Semoga berjaya!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: Oktober 14, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Oktober 31, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut