Bahaya Merokok Sejurus Berbuka Puasa

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Merokok sememangnya sudah diketahui sebagai satu tabiat yang boleh meningkatkan risiko penyakit seperti radang paru-paru dan penyakit jantung. Merokok juga boleh menyebabkan gigi menjadi kuning dan anda pasti menyedari bahawa tabiat tidak sihat ini juga boleh menyebabkan kulit anda berkedut, mengurangkan deria rasa dan bau. Lebih berbahaya jika anda memilih menghisap rokok sebaik sahaja waktu berbuka puasa. Jadi apakah sebenarnya bahaya merokok ketika sejurus berbuka puasa?

  1. Radang paru-paru

Merokok dalam keadaan perut kosong meningkatkan risiko radang paru-paru. Kandungan nikotin yang diserap perut kosong adalah lebih tinggi jumlahnya berbanding apabila perut sudah terisi dengan sebarang makanan. Nikotin menjejaskan kesihatan badan seperti menyebabkan peningkatan tekanan darah, menjejaskan deyutan jantung dan aliran darah ke jantung serta penyebabkan pembuluh darah menjadi sempit.

  1. Kurang oksigen

Setelah 12 jam menahan lapar dahaga, badan memerlukan nutrisi untuk menggantikan tenaga yang hilang. Jika anda memilih untuk merokok apabila berbuka puasa dalam keadaan perut yang kosong, anda mungkin berdepan risiko bahaya merokok seperti mengalami mual, muntah, keletihan dan pening kepala. Ini kerana kandungan bertoksik dalam rokok ini akan memasuki aliran darah dan menurunkan kadar oksigen dalam darah sekali gus mengakibatkan sel dalam badan anda kekurangan oksigen yang akhirnya menyebabkan anda kelesuan dan pening kepala, dalam masa yang sama menurunkan fungsi otot dan jantung. Gas beracun ini juga meningkatkan kadar kolesterol tidak sihat dalam darah. Semakin lama anda merokok, ia akhirnya akan mengakibatkan pembuluh darah anda mengeras dan menyempit, sekali gus mendedahkan risiko penyakit jantung dan strok.

  1. Fungsi organ

Asap rokok yang mengandungi nikotin, karbon monoksida dan tar sememangnya mendatangkan kesan negatif kepada badan seperti menjejaskan aliran darah dan menurunkan kadar oksigen dalam darah. Ini sekali gus mengakibatkan sel dalam badan perokok mengalami kekuranagn oksigen yang menjadikan seseorang individu itu kurang efektif dan efisyen. Keletihan dan pening antara simptomnya.

  1. Penyakit Crohn

Tabiat merokok meningkatkan risiko untuk mengalami penyakit Crohn atau masalah berkaitan keradangan usus. Antara simptom yang mungkin berlaku adalah seperti pendarahan pada usus, sakit perut secara kerap dan berulang, dan cirit-birit.

  1. Gangguan pencernaan

Bahaya merokok dalam keadaan perut yang kosong akan menyebabkan peningkatan kandungan asid dalam perut meningkat dan bertindak balas. Ia akhirnya akan menjejaskan proses pencernaan yang boleh menjadi antara punca utama mengapa seseorang individu yang merokok sejurus masuk waktu berbuka akan kehilangan selera.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: Mei 9, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 4, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut