Serum Muka, Aspek Penting Dalam Penjagaan Wajah?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Rutin penjagaan wajah pastinya merupakan antara aspek penting yang di titik beratkan bagi mereka yang menjaga kecantikan wajah, khususnya individu wanita. Selain penjagaan asas seperti mencuci muka, scrub untuk pengelupasan, toner dan pelembap, adakah penggunaan serum muka sebagai salah satu langkah dalam rutin penjagaan wajah, penting? Untuk kupasan lebih lanjut, ikuti perkongsian artikel ini.

Rutin Penjagaan Wajah

Penjagaan kulit adalah konsep dan amalan sejagat. Ia telah menular di seluruh negara sepanjang sedekad yang lalu. Masyarakat mula melabur lebih banyak dalam penampilan mereka dan menjadi mata permainan industri kecantikan. 

Walau bagaimanapun, serum muka, yang hanya diperkenalkan di pasaran kurang dari 10 tahun, telah mencipta gelombangnya sendiri. Anda boleh melihatnya melalui iklan komersial di televisyen atau internet yang dimainkan oleh selebriti yang cantik. Dan ia semakin menjadi ikutan dan penggunaan serum muka telah dianggap sebagai salah satu langkah penting dalam rutin penjagaan wajah. 

Jika sebelum ini, 3 rutin penjagaan kulit yang sederhana telah dibuktikan dan diamalkan dari tahun 60-an dengan langkah membersihkan, menyegar dan melembapkan boleh membantu dalam penjagaan wajah. Namun  Asia, terutamanya industri kecantikan Korea Selatan dan Jepun telah membawa rutin penjagaan wajah ke tahap yang baru. Industri kecantikan telah diperkenalkan dengan penggunaan krim, pati (essence), toner, minyak muka dan serum muka.

Lebih kurang 3 tahun yang lalu, seluruh dunia, khususnya warga maya yang gemar melayari internet menjadi gila terhadap 10 Langkah Rutin Penjagaan Kulit Korea. Walau bagaimana pun, terdapat sesetengah individu beranggapan 10 langkah rutin penjagaan itu adalah terlalu banyak untuk memberi peluang kepada kulit anda nafas dan prosesnya memerlukan lebih banyak masa bagi seseorang individu untuk mengendalikan setiap malam.

Tetapi, bagi mereka yang telah mengamalkan rutin penjagaan ini untuk tempoh jangka masa yang panjang, mengatakan bahawa mereka mengalami peningkatan dalam tekstur kulit mereka. Ia menjadi lembap, lembut dan kurang berlekuk. Ramai individu yang mendakwa penggunaan serum adalah sebagai satu langkah terpenting bagi mereka semua selain tiga langkah asas yang diamalkan sebelum ini 

Apa itu Serum Muka?

Serum Muka, Aspek Penting Dalam Penjagaan Wajah - apa itu serum

Perbezaan terbesar antara serum dengan krim atau losyen adalah apa yang tidak terkandung di dalamnya. Serum mengenepikan kandungan bahan-bahan pelembap atau pengekalan air seperti minyak petrolatum mahupun minyak mineral yang menyimpan air daripada disejat. Serum muka juga kurang mengandungi bahan yang bertindak sebagai agen pelincir atau penebalan seperti kacang atau minyak bijian. Kebanyakan serum adalah berasaskan air dan langsung tidak mengandungi sebarang minyak. 

Apa yang biasanya terkandung dalam serum muka adalah bahan yang berperanan seperti agen antipenuaan yang paling berkesan iaitu antioksidan, peptida dan agen pencerahan kulit seperti asid kojik (kojic acid) yang boleh ditemui dalam produk tanpa preskripsi. 

Kos Dan Faedah Serum Muka

Oleh kerana ramuan bahan aktif adalah lebih mahal berbanding bahan pemekat, serum juga merupakan produk yang paling mahal dalam rangkaian penjagaan wajah. Tetapi dengan penggunaan yang betul, serum yang bersaiz kecil dengan berat lebih kurang 28 gram boleh bertahan sehingga berbulan-bulan. Banyak jenama yang menjual serum muka didatangkan dalam botol pam atau mempunyai aplikator medicine-dropper yang akan mengeluarkan kuantiti serum dalam jumlah kecil yang diperlukan sahaja. 

Walaupun titisan yang digunakan adalah sedikit atau kecil, tetapi ia adalah sangat cekap dalam memainkan fungsi dan peranannya. Serum muka dihasilkan daripada molekul yang sangat kecil, jadi ia membenarkan kulit untuk menyerapnya dengan lebih cepat dan dapat masuk dengan lebih mendalam pada kulit.

Menurut ahli kimia kosmetik dan naib presiden penyelidikan dan inovasi di Englewood Lab, Ni’Kita Wilson, kandungan bahan yang lebih tebal dan berat dalam krim membentuk penghadang pada kulit. Ia sangat bagus untuk mengekalkan kelembapan tetapi dalam masa yang sama ia menghalang bahan aktif untuk keluar. Oleh kerana itu, dengan penggunaan serum yang tidak mengandungi agen penebalanan atau pemekatan, bahan aktif dapat menembusi kulit anda dengan lebih efektif dan cepat. 

Walau bagaimanapun, jelas ahli dermatologi dan pengarang Feed Your Face: Younger, Smoother Skin and a Beautiful Body in 28 Delicious Days, Dr Jessica Wu, serum mungkin amat sesuai bagi mereka yang mempunyai kulit jenis berminyak tetapi ia mungkin tidak sesuai untuk digunakan oleh setiap individu. 

Ini kerana, menurut Wu, tekstur cecair atau gel seperti serum bukanlah satu gandingan yang baik bagi individu yang mempunyai masalah kulit kronik seperti ekzema atau rosacea, di mana serum akan melemahkan ‘barisan’ penghadang kulit. Untuk individu dengan masalah kulit, serum yang menembusi kulit dengan terlalu cepat, berkemungkinan akan cenderung untuk mengakibatkan timbulnya masalah kerengsaan. 

Serum Muka, Aspek Penting Dalam Penjagaan Wajah - kelebihan serum

Kelebihan menggunakan serum muka

Secaranya ringkasnya terdapat beberapa kelebihan penggunaan serum dalam rutin penjagaan wajah harian. Antaranya:

  • Pertama sekali, serum mempunyai tekstur nipis dan biasanya datang dalam bentuk cecair. Oleh kerana ia mempunyai molekul kecil, kulit anda akan dapat menyerapnya lebih cepat dan lebih mendalam.
  • Kedua, pelembap diperbuat daripada beberapa bahan kimia dan ekstrak yang dimaksudkan untuk melembapkan wajah anda dengan menyelamatkan kulit anda daripada merekah akibat kekeringan dan sejuk. Sementara itu, serum muka biasanya dibuat dari ekstrak kuat yang 10 kali lebih pekat daripada pelembab tetapi tidak berfungsi untuk melembapkan kulit. Jadi amat sesuai untuk individu kulit berminyak.
  • Ketiga, terdapat pelbagai jenis serum di pasaran. Sebagai contoh, terdapat serum muka untuk antipenuaan, jeragat, bintik-bintik hitam, kulit kering, kulit berminyak atau kulit berjerawat. Ia mensasarkan keperluan tertentu dan anda dapat melihat hasilnya dengan lebih cepat. Jadi pastikan anda membeli serum mengikut keperluan kulit anda.
  • Akhir sekali, serum biasanya datang dalam botol kecil. Tetapi penggunaan 1 hingga 2 titis sudah mencukupi untuk seluruh muka. Oleh itu, satu botol  dengan berat 28 gram boleh bertahan selama berbulan-bulan. 

Kelemahan penggunaan serum muka

Walau bagaimanapun, daripada kelebihan yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa kelemahan mengenai serum muka yang perlu anda pertimbangkan, seperti:

  • Memandangkan ia mengandungi ramuan aktif dan khusus, serum mempunyai harga yang lebih tinggi daripada pelembap biasa. Ia biasanya dijual pada harga tertinggi dalam rangkaian produk penjagaan kulit lengkap.
  • Ia mensasarkan masalah tertentu pada kulit anda. Ramai individu yang mempunyai masalah kulit lebih daripada satu biasanya bingung dan tidak tahu bagaimana membuat keputusan antara produk.
  • Bagi individu dengan masalah kulit yang pelbagai, anda perlu menetapkan apakah yang menjadi keutamaan anda. Sebagai contih, jika anda mempunyai masalah kulit kusam, berminyak dan berjerawat, dan anda mempunyai keinginan untuk mempunyai kulit yang lebih berseri sebagai keutamaan, maka pilihlah serum yang bertindak sebagai agen pencerahan kulit sebelum anda berhadapan dengan masalah kulit berjerawat. 
  • Seperti yang dinyatakan sebelum ini, individu yang mempunyai ekzema, rosacea atau sebarang keadaan kulit kronik yang lain mungkin perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada doktor sebelum sebarang penggunaan serum kerana serum menembusi kulit dengan begitu cepat dan melemahkan fungsi penghalang kulit.

Bagaimana pula dengan serum vitamin C? Adakah ia baik untuk kesihatan kulit wajah? 

Serum Vitamin C

Serum Muka, Aspek Penting Dalam Penjagaan Wajah - vitamin c

Vitamin C adalah salah satu antioksidan semulajadi daripada sumber seperti buah sitrus, sayur-sayuran berdaun hijau, strawberi, betik dan brokoli. Serum vitamin C memainkan peranan penting sebagai agen antioksidan pada kulit dan berfungsi untuk mencegah dan melambatkan proses penuaan kulit lebih awal daripada usia. 

Antioksidan yang diletakkan pada muka memberikan perlindungan daripada radikal bebas yang dihasilkan apabila kulit terdedah kepada sinaran ultraviolet. Serum yang mengandungi vitamin C adalah terbaik untuk mengatasi masalah kulit kusam dan bintik-bintik hitam pada kulit wajah. Tidak hairanlah ramai wanita di luar sana yang menggunakan serum vitamin C pada muka mereka agar kelihatan lebih berseri.

Malahan serum yang mempunyai manfaat vitamin C ini mempunyai sifat antiradang. Ini bermaksud serum ini sesuai untuk digunakan oleh semua jenis kulit termasuk bagi individu yang mempunyai masalah kulit sensitif. 

Jika anda ingin mencuba menggunakan serum vitamin C dan masih keliru dengan variasi produk di pasaran, ikuti tip pemilihan serum vitamin C yang sesuai dengan anda. 

Tip Memilih Serum Vitamin C

1. Pilih kandungan vitamin C mengikut kulit muka

Terdapat pelbagai jenis bahan aktif terkandung dalam serum vitamin C yang terdapat di pasaran. Memilih serum vitamin C bersesuaian dengan kulit anda dapat mengelakkan kesan sampingan yang tidak dikehendaki. Berikut adalah 5 jenis vitamin C yang biasa ditemui dan kesesuaiannya mengikut jenis kulit:

  • Ascorbic Acid (AA): sesuai untuk kulit biasa dan tidak disyorkan untuk kulit sensitif atau berjerawat
  • Tetrahexyldecyl Ascorbate (THDA): sesuai untuk kebanyakan jenis kulit
  • Magnesium Ascorbyl Phosphate (MAP): pilihan terbaik untuk kulit yang normal dan sensitif
  • Sodium Ascorbyl Phosphate (SAP): tidak merengsakan dan pilihan yang baik untuk kulit sensitif
  • Ascorbyl Palmitate (AP): pilihan terbaik untuk kulit sensitif dan berjerawat

Untuk makluman, senarai kandungan bahan di atas telah disusun mengikut keberkesanannya, jadi produk yang mempunyai asid askorbik dan THDA mungkin pilihan terbaik anda. Tetapi jika anda mempunyai kulit sensitif atau berjerawat, anda harus memilih yang lain atau membeli produk asid askorbik dengan kepekatan yang sangat rendah untuk memastikan tiada kesan sampingan.

Anda juga harus memastikan kandungan asid askorbik dalam bentuk yang stabil. Kebiasaannya tidak dinyatakan pada label, tapi anda boleh membaca pada lampiran dalam kotak atau pada laman web pengeluar.

2. Serum berasaskan minyak atau air?

Perkara seterusnya yang perlu anda pertimbangkan ialah sama ada untuk memilih serum muka vitamin C yang berasaskan minyak atau berasaskan air lebih disukai anda.

Asid askorbik larut dalam air. Ini bermakna ia menyerap dengan cepat, tetapi ia juga bermakna ia tidak boleh diserap oleh molekul lemak dan sangat mudah teroksida. Sebaliknya, bahan yang larut minyak tahan lama dan melembapkan serta kurang terdedah kepada pengoksidaan.

Jadi, bentuk vitamin C yang larut minyak adalah THDA, natrium ascorbyl palmitate, dan ascorbyl palmitate. Manakala, bentuk vitamin C yang larut dalam air adalah asid askorbat dan magnesium ascorbyl phosphate, yang mana satu pilihan hati anda?

3. Berapa kepekatan vitamin C yang sesuai?

Anda mungkin menjangkakan bahawa semakin tinggi kepekatan vitamin C dalam serum, lebih baik untuk kulit anda. Walau bagaimanapun, terdapat 2 fakta yang perlu anda ketahui, iaitu:

  • Kulit anda hanya boleh menyerap vitamin C dalam jumlah yang tertentu sahaja
  • Terlalu banyak vitamin C boleh merengsakan kulit anda dan menyebabkan keradangan

Apabila anda melihat produk sedia ada, anda akan mendapati bahawa kepekatan Vitamin C berkisar daripada kira-kira 10% hingga 20%. Kepekatan yang lebih tinggi daripada 20% akan mengatasi keupayaan tubuh anda untuk menyerap vitamin C dan mungkin juga merosakkan kulit anda.

Sekiranya anda mempunyai kulit sensitif atau belum pernah mencuba serum vitamin C sebelum ini, anda patut memulakan dengan kepekatan rendah dan melihat tindak balas kulit anda sebelum mencuba kepekatan yang lebih tinggi.

4. Periksa bahan tambahan

Perhatikan kandungan serum jika mengandungi sebarang bahan yang anda alah atau sensitif. Pertimbangan juga sama ada selesa dengan baunya. Sesetengah serum telah ditambah wangian. Ingat, serum ini akan diletakkan pada wajah dan akan menjadi sangat dekat dengan hidung anda, jadi penting untuk memilih serum dengan aroma yang anda gemari. Dan pastikan ia tidak terkandung bahan yang boleh mengakibatkan alahan kepada anda!

5. Pastikan botol yang sesuai

Perkara keempat yang perlu dipertimbangkan adalah botol atau bekas serum, ini kerana serum vitamin C sangat mudah terdedah kepada kerosakan oksidatif. Sekiranya ia bersentuhan dengan cahaya matahari atau udara, ia mungkin hancur dan mendatangkan lebih banyak mudarat kepada kulit anda daripada yang baik.

Atas sebab itu, anda perlu mencari serum dengan ciri berikut:

  • Serum dalam botol kaca gelap. Kaca jernih tidak sesuai kerana membenarkan cahaya masuk.
  • Serum dalam kapsul individu. Ini memastikan bahawa setiap dos serum dilindungi dan mempunyai potensi penuh apabila anda menggunakannya.

6. Pilih serum dengan harga berpatutan

Terdapat serum yang lebih berpatutan berbanding yang lain. Apabila membuat perbandingan, ambil kira berapa kali anda boleh menggunakannya dan berapa harga setiap dos untuk perbandingan yang tepat.

Anda mungkin ingin mempertimbangkan faktor-faktor lain, termasuklah jenama serum yang ingin anda beli, cadangan doktor pakar kulit anda dan ulasan pengguna di atas talian. Selamat memilih!

Cara Pemakaian Serum Muka

Serum Muka, Aspek Penting Dalam Penjagaan Wajah - cara pemakaian serum

Tanpa mengira apa juga jenis serum muka yang anda pilih, sekiranya anda memutuskan untuk menambahkan produk serum ke dalam rutin penjagaan wajah, berikut adalah cara yang betul untuk mengaplikasi serum ke wajah anda untuk mendapatkan kesan maksimum. 

  1. Selepas rutin mencuci wajah anda, gunakan sejumlah serum mengikut kuantiti yang disarankan untuk kulit anda. Kaedahnya adalah dengan menepuk-nepuk serum kepada kulit dengan menggunakan jari anda. 
  2. Jika anda mempunyai kulit sensitif, anda dinasihatkan untuk menunggu antara tempoh 10 hingga 15 minit selepas mencuci wajah sebelum menggunakan serum. Ini kerana menurut ahli dermatologi, Dr Jessica Wu, dalam keadaan kulit yang lembap, produk berasaskan air adalah mempunyai kecenderungan untuk menyebabkan kerengsaan. Jadi, sebaiknya, biarkan kulit kering secara semula jadi sebelum meletakkan serum bagi melambatkan proses penyerapannya.
  3. Menggunakan serum tidak bermaknda anda tidak boleh menggunakan pelembap kegemaran anda. Apa yang perlu anda lakukan adalah untuk mengaplikasikan serum pada wajah terlebih dahulu sebelum memakai pelembap, supaya tidak ada bahan yang boleh menyekat ia daripada menembusi kulit anda.

Langkah Penjagaan Wajah

Penjagaan wajah adalah penting untuk memastikan kesihatan kulit muka akan sentiasa terjaga dan terhindar daripada sebarang radikal bebas yang boleh merosakkan kulit. Namun, sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakan sebarang serum, pastikan anda memastikan kesesuaiannya dengan kulit wajah anda. Ini penting untuk mengelakkan sebarang masalah kulit yang tidak diingini daripada berlaku di kemudian hari. Jika terdapat sebarang keraguan, pastikan anda berjumpa dengan pakar dermatologi untuk mendapatkan nasihat, pemeriksaan dan rawatan. 

Hello Health Group tidak memberikan khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.