backup og meta

Hubungan Kelamin Boleh Menjejaskan Prestasi Atletik Seorang Atlet, Fakta Atau Mitos?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/03/2020

    Hubungan Kelamin Boleh Menjejaskan Prestasi Atletik Seorang Atlet, Fakta Atau Mitos?

    Ramai orang percaya bahawa seks dan sukan sangat berkait rapat antara satu sama lain. Ini kerana ada kepercayaan yang mengatakan melakukan hubungan seksual dengan pasangan sebelum bersenam atau bersukan akan menjejaskan prestasi atletik.

    Adakah ia fakta atau sekadar mitos semata-mata?

    Atlet & kepercayaan mengenai seks sebelum bertanding

    sukan

    Setiap atlet sukan di seantero dunia mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini. Ada yang kata seks sebelum bertanding adalah bagus dan ada juga yang menafikannya.

    Persoalannya, yang mana satu adalah benar?

    Sebagai contoh, peninju legenda dunia iaitu Muhammad Ali mempunyai satu teori di mana dia tidak akan melakukan sebarang hubungan kelamin bersama isterinya sekurang-kurangnya 6 minggu sebelum apa-apa perlawanan tinju.

    Menurut beliau, seks sebelum bertanding hanya akan membuat prestasi atletiknya menjadi lemah apabila berada di gelanggang tinju kelak. Jika difikirkan secara logik, mungkin ada benarnya.

    Namun, ini sangat berbeza dengan teori yang diamalkan oleh Ronda Rousey, peninju Mixed Martial Art (MMA). Dikatakan, beliau dan pasangan akan mencuba untuk melakukan hubungan intim sebanyak mana yang boleh sebelum apa-apa perlawanan.

    Ini didasari oleh kepercayaan bahawa ia akan meningkatkan tahap hormon testosteron di dalam tubuh badannya. Jelas sekali, ramai yang mempunyai pendapat berbeza-beza mengenai seks dan sukan.

    Jadi, yang mana satu kita perlu percaya? Adakah seks sebelum bersukan memberi kesan baik mahupun buruk?

    Teruskan membaca untuk mengetahui jawapannya!

    Apa kata pakar mengenai kaitan seks dan sukan?

    sukan

    Menurut sebuah kajian bertajuk “Does Sex the Night Before Competition Decrease Performance?’ yang diterbitkan di Clinical Journal of Sports Medicine, dikatakan bahawa para atlet perlu mengelak daripada melakukan hubungan seks bersama pasangan sebelum apa-apa pertandingan sukan.

    Kata kajian itu lagi, atlet perlu mengelakkannya agar mereka dapat mencipta satu perasaan kecewa akibat tidak dapat memuaskan nafsu syahwat sekali gus menjadikan mereka agresif.

    Di dalam sukan, keagresifan inilah yang dikatakan boleh meningkatkan mutu atletik atlet.

    Pun begitu, kepercayaan ini mungkin boleh disangkal kerana asasnya terlalu lemah.

    “Ini adalah satu idea yang sama sekali salah’, kata Emmanuele A. Jannini yang merupakan seorang Profesor dalam bidang Endokrinologi di University of L’Aquila, Itali.

    Menurut beliau, seks adalah satu aktiviti yang jelas sekali mampu meningkatkan penghasilan hormon testosteron dalam tubuh badan atlet. Jadi, mengapa ia perlu dielakkan?

    Kata beliau lagi, atlet yang tidak bersenggama dengan pasangan selama lebih 3 bulan akan menyebabkan penurunan drastik tahap hormon testosteron sehingga menyerupai kadar yang wujud dalam diri seorang kanak-kanak!

    Jadi, beliau membangkang sekeras-kerasnya kepercayaan yang mengatakan atlet perlu elak melakukan hubungan seks sebelum apa-apa pertandingan.

    Hubungan kelamin menjejaskan prestasi atletik mungkin sekadar mitos

    seks dan sukan

    Dalam erti kata yang lebih mudah, ia mungkin adalah sekadar mitos. Seks tidak akan menyebabkan ‘lutut longgar’ seperti mana yang dipercayai oleh kebanyakan orang sebelum ini.

    Ini dapat disahkan lagi dengan penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Physiology yang mengatakan bahawa seks tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang negatif terhadap prestasi atletik.

    Walau bagaimanapun, kajian lanjutan masih perlu dijalankan dengan giat untuk membuktikan bahawa seks sebelum sukan adalah tidak bagus buat lelaki atau wanita.

    Namun, dikatakan bahawa data sedia ada sudah cukup untuk mengesahkan aktiviti seks sama sekali tidak akan menjejaskan prestasi atletik individu.

    Pun begitu, ia mungkin akan memberi sedikit kesan

    Namun, ada sesuatu yang masih para atlet di luar sana risaukan!

    Menurut Ian Kerner yang merupakan seorang Pakar Psikoterapi di New York City, Amerika Syarikat, seks itu sendiri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan prestasi atletik yang teruk. Namun, ia lebih tertumpu kepada faktor persekitaran semasa hubungan seksual itu berlaku.

    Sebagai contoh, anda mungkin boleh membayangkan kehidupan sosial seorang atlet itu sendiri. Jika dia keluar ke kelab malam untuk minum alkohol dan ambil dadah sebelum berasmara dengan pasangan pada malam hari pertandingan, kemungkinan untuk dia berprestasi buruk semasa pertandingan adalah tinggi.

    Pun begitu, ia bukan didasari oleh faktor seks itu sendiri namun lebih terarah kepada pengambilan alkohol dan dadah tersebut serta kurang rehat.

    Maka, terbuktilah bahawa seks dan sukan itu sedikit sebanyak memang ada hubungan. Namun, ternyatalah ia tidak akan memburukkan prestasi atletik atlet!

    Konklusi

    Jika anda adalah seorang atlet sukan, jangan sesekali takut untuk berasmaradana dengan pasangan anda walaupun esok adalah hari pertandingan. Ini kerana tiada sebarang kesan negatif yang akan menjejaskan prestasi atletik anda.

    Pun begitu, ketahuilah bahawa gaya hidup serta waktu rehat adalah sangat penting untuk anda. Oleh itu, kurangkan alkohol, jauhi dadah, berhenti merokok serta dapatkan rehat yang secukupnya sebelum hari pertandingan.

    Semoga perkongsian ini dapat membantu para atlet dalam mendapatkan prestasi yang terbaik semasa bertanding. Akhir kata, majulah sukan untuk negara!

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/03/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan