backup og meta

Kenapa Badan Selalu Gatal-Gatal Setiap Kali Bersenam?

Kenapa Badan Selalu Gatal-Gatal Setiap Kali Bersenam?

Pernahkah anda rasa badan gatal gatal setiap kali semasa atau selepas bersenam? Jika ya, ramai yang akan selalu mengaitkan masalah ini dengan berpeluh bukan? Adakah ia benar?

Sebenarnya, ada penyebab tiba-tiba gatal seluruh badan setiap kali bersenam. Jom baca artikel untuk tahu!

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Badan Sihat, anda boleh klik di sini.

Adakah badan gatal ini satu perkara yang normal?

Sepatutnya, bersenam atau beraktiviti fizikal bukan sahaja akan menyihatkan malah menjadikan tubuh badan rasa lebih segar. Namun, lain pula cerita jika perkara tidak tersangka terjadi.

Bayangkan jika kalian yang sedang asyik melakukan senaman, tiba-tiba sahaja rasa gatal-gatal? Normalkah?

Untuk pengetahuan anda semua, ada individu yang mungkin akan mengalami kegatalan setiap kali melakukan aktiviti fizikal dan ia bukan merupakan kondisi kesihatan atau kecemasan.

Kebiasaannya, kegatalan itu akan terjadi di mana-mana bahagian tubuh badan terutama pada kulit kepala, wajah, leher, bahu, dada dan ketiak dengan kemungkinan juga di tempat yang lain.

badan gatal gatal
Kaki berpeluh selepas bersenam.

Apa yang pasti menjadi persoalan, kenapa ia berlaku? Sebenarnya, ada beberapa punca yang memicu fenomena ini lalu menjejaskan gaya hidup sihat sekali gus kualiti hidup individu.

Ini beberapa punca badan gatal gatal ketika bersenam!

Mana yang anda harus buat terlebih dahulu, mengangkat besi di gimnasium atau menggaru kulit yang gatal? Apabila dilema ini muncul, anda pasti terfikir dan tertanya apa punca ia terjadi.

Sekiranya badan gatal gatal setiap kali semasa atau selepas bersenam, beberapa keadaan berikut adalah puncanya:

#1. Peningkatan aliran darah

Dalam kebanyakan kes, badan rasa gatal miang berlaku akibat peningkatan aliran darah ketika tubuh badan sedang aktif terutama jika anda memang seorang yang jarang beraktiviti.

Alasannya, senaman akan meningkatkan degupan jantung sekali gus aliran darah lantas melebarkan pembuluh darah dan seterusnya menyebabkan kulit anda rasa sedikit gatal.

Tidak perlu risau kerana ia normal. Namun jika ia terjadi terlalu teruk, hentikan senaman kalian dan jumpa doktor.

#2. Perembesan hormon histamin

Menurut kajian terbitan Exercise and Sport Sciences Reviews, aktiviti fizikal turut boleh meningkatkan perembesan hormon yang dikenali sebagai histamin di dalam tubuh badan.

Sama seperti kesan di atas, ia akan menyebabkan pembuluh darah mengembang dan membesar. Ini seterusnya boleh mengakibatkan badan rasa gatal miang secara tiba-tiba sahaja.

Disebabkan itu juga, ramai para atlet yang gemar mengambil ubatan antihistamin sebelum bersenam atau bersukan.

badan gatal gatal
Leher rasa gatal dan miang selepas bersenam.

Badan gatal gatal akibat #3. Jenis kulit

Agak aneh bukan? Kenapa pula jenis kulit anda juga boleh menyumbang kepada masalah kegatalan mengejut ini?

Untuk pengetahuan anda semua, kulit yang terlalu kering dan sensitif merupakan faktor selain aspek cuaca serta udara yang mungkin terlalu sejuk, panas atau lembap.

Bukan juga kerana peluh, antara masalah kulit lain yang menyebabkan masalah ini adalah reaksi alahan angkara zat kimia daripada sabun, losyen, detergen atau kosmetik.

Dalam beberapa kes yang jarang berlaku, reaksi alergi terhadap peluh sendiri juga boleh menyebabkan kegatalan!

Penyebab tiba-tiba gatal seluruh badan #4. Kesan sampingan ubatan

Seperti mana yang ramai sudah tahu, beberapa jenis ubatan tertentu memang ada kesan sampingan yang tersendiri.

Contohnya, antibiotik, ubat tahan sakit dan ubat kencing manis mungkin boleh mengakibatkan ketidakselesaan atau kegatalan setiap kali anda melakukan aktiviti fizikal.

Kadangkala, kegatalan tersebut juga bertukar menjadi kesakitan gara-gara anda yang menggaru kulit terlalu kuat. Jadi, dapatkan maklumat dan nasihat daripada doktor.

Badan gatal gatal angkara #5. Urtikaria

badan gatal gatal
Jenis alahan kulit.

Lebih popular dengan nama gegata atau ludah jin, urtikaria adalah kondisi kulit yang juga boleh berlaku akibat aktiviti fizikal (exercise-induced).

Apa yang lebih membimbangkan, masalah kulit ini juga akan mendatangkan gejala seperti kegatalan, kemerahan, ruam serta benjolan pada kulit.

Antara gejala tidak berkaitan dengan kulit yang lain adalah sakit kepala, kejang perut, kesukaran untuk bernafas serta pembengkakan di wajah, lidah atau anggota badan lain.

Jadi, apa yang anda boleh buat untuk elak badan gatal?

Konklusinya, ada banyak punca badan gatal gatal setiap kali bersenam atau bersukan. Tetapi, usah bimbang kerana ia normal dan mudah untuk dielakkan dengan melakukan perkara di bawah:

  • Gunakan pakaian dengan fabrik halus dan ringan untuk membantu kulit mencegah geseran atau gesekan.
  • Hidupkan kipas angin, pendingin atau penyaman udara untuk mengurangkan peluh ketika beraktiviti.
  • Elakkan beraktiviti di luar rumah ketika cuaca terlalu sejuk, panas atau lembap pada tahap yang ekstrem.
  • Kurangkan kuantiti, durasi atau intensiti senaman setiap kali anda rasa gatal.
  • Pertimbangkan untuk ambil ubat antihistamin sebelum senaman, namun pastikan anda telah dapatkan preskripsi doktor ya!

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. How Your Workout Can Affect Your Skin, https://www.aad.org/public/everyday-care/skin-care-secrets/routine/workout-affect-skin, Accessed Jul 5 2023.
  2. 10 Reasons Your Skin Itches Uncontrollably And How To Get Relief, https://www.aad.org/public/everyday-care/itchy-skin/itch-relief/relieve-uncontrollably-itchy-skin, Accessed Jul 5 2023.
  3. BOD-ities: Why do my legs itch when I exercise?, https://www.mainlinehealth.org/blog/itching-exercise, Accessed Jul 5 2023.
  4. An Activity-Induced Rash, https://www.aafp.org/pubs/afp/issues/2016/1101/p735.html, Accessed Jul 5 2023.
  5. Runner’s Itch: Why You Might Itch When You Run, https://health.clevelandclinic.org/runners-itch/, Accessed Jul 5 2023.
  6. Exercise-induced Urticaria. https://familydoctor.org/condition/exercise-induced-urticaria/. Accessed Jul 10 2023.

Versi Terbaru

27/10/2024

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

JANGAN Urut Kaki Jika Terseliuh, Tapi Cuba Guna Kaedah RICE Untuk Merawatnya!

3 Punca SEBENAR Kulit Anda Masih Rasa Gatal Walaupun Baru Lepas Mandi!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 27/10/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan