Kanser Payudara Bukan Penamat Hidup – Pejuang Barah

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Setiap kali mendapat perkhabaran mengenai seseorang individu yang dikenali menghidapi kanser payudara, pastinya akan terjentik di hati rasa simpati. Tapi apa pula yang dirasakan oleh mereka yang berjuang melawan barah tersebut? Ikuti perkongsian berikut.

Melawan 3 jenis kanser

Walaupun diuji dengan berita mengejutkan apabila disahkan menghidap tiga jenis kanser dalam tempoh tiga tahun, Wan Musfirah Aimi Wan Supian yang kini berusia 34 tahun, tidak patah semangat.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini menghidapi serangan kanser secara berterusan, bermula dengan kanser payudara dan diikuti kanser paru-paru. Dan kini masih bertarung melawan kanser tulang pinggul yang berada pada tahap empat dengan melakukan rawatan kemoterapi.

Dia hanya mendapat tahu menghidap kanser payudara ketika berusia 30 tahun selepas mengalami sakit di bahagian ketiak. Selepas membuang sel barah itu, dia didiagnosis menghidap kanser paru-paru. Ini disebabkan sel penyakit itu sudah merebak ke organ berkenaan walaupun selepas sebulan pembedahan dilakukan. 

Rawatan yang dilakukan untuk merawat ketiga-tiga barah dihadapi menyebabkannya kini disahkan menopaus pada usia muda. Namun itu semua tidak mematahkan semangatnya dan masih tetap positif mengharapkan agar dapat bebas sepenuhnya daripada kanser tulang pinggul.

“Saya sedar gaya hidup seimbang adalah penting. Penjagaan pemakanan dan bersenam dapat membantu menghindari kanser. Walau apa pun, kanser bukan pengakhiran hidup. Kita harus berusaha melawannya,” ujar Wan Musfirah.

Tidak mengira jantina

Tidak menyangka akan mengalami kanser payudara, apatah lagi penyakit ini hanya dikaitkan dengan golongan wanita. Itulah yang dirasai oleh Mohd Zullaimy Muhammad, sembilan tahun lalu, apabila didiagnosis dengan kanser payudara tahap empat. Mati, hanya itu terlintas di fikiran.

Menurut bapa yang kini berusia 52 tahun, dia hanya membuat pemeriksaan doktor apabila benjolan pada bahagian payudaranya berubah menjadi sebesar duit syiling 50 sen dan kesakitan yang perit mula dirasai. 

Atas nasihat pakar perubatan, dia melakukan prosedur membuang sebelah payudara bagi mengelakkan sel kanser daripada terus merebak. Selepas menjalani rawatan kemoterapi selama enam bulan beserta rawatan radioterapi, dia memilih untuk mengubah gaya hidup yang lebih sihat dan aktif.

Zullaimy menasihati semua individu tidak kira lelaki mahupun wanita untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta sentiasa berwaspada dengan sebarang kelainan pada payudara. Jika berasakan sebarang perbezaan, lakukan pemeriksaan dengan segera.

Cuba pelbagai rawatan

Didiagnosis dengan kanser payudara di usia muda pada tahun 2011, wanita ini tidak menafikan kanser yang dialami banyak mengajarnya tentang pelbagai perkara. 

Mendapat perkhabaran mengenai kanser ini selepas beberapa bulan melahirkan anak, Murni Hafiza Mohd Zamri yang kini berusia 34 tahun tidak menyangka ketulan kecil di payudara kanan adalah petanda penyakit berbahaya. 

Selepas pemeriksaan, dia disahkan menghidap kanser payudara dan disaran untuk melakukan pembedahan segera. Walau bagaimanapun, dia memilih untuk melakukan kaedah rawatan perubatan Islam dan mengambil ubat-ubatan berasaskan herba tradisional tanpa melibatkan pembedahan.

Pelbagai usaha dan cara dilakukan, namun semakin hari sel barah semakin merebak. Keadaan ini berlanjutan sehingga seluruh payudaranya membengkak dan mengeluarkan darah. Akhirnya dia tekad untuk melakukan prosedur mastektomi untuk membuang sebelah payudara. 

Setelah lapan tahun berlalu, beliau kini disahkan bebas kanser dan bergiat aktif dalam persatuan bebas yang membantu pesakit-pesakit kanser. Wanita ini juga turut mengamalkan gaya hidup sihat secara sederhana. 

Jangan ambil mudah

Konklusinya di sini, tidak kira lelaki mahupun wanita, jangan pernah memandang remeh pada sebarang perubahan pada payudara anda. Lakukan pemeriksaan awal. Jika anda memilih untuk melakukan rawatan alternatif, tidak salah. Tetapi jangan sampai anda kaedah perubatan moden terutamanya berkaitan dengan masalah kesihatan yang boleh mengancam nyawa. 

Dalam masa yang sama, amalkan gaya hidup yang sihat dan seimbang. Lakukan aktiviti fizikal. Mencegah itu sesungguhnya lebih baik daripada merawat. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut