Mengapa Anda Tidak Patut Menggunakan Pencungkil Gigi Tiap Kali Makanan Tersekat

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apabila makanan tersangkut pada mulut, anda mungkin berasa lebih mudah menggunakan pencungkil gigi untuk mengeluarkan sisa makanan tersebut. Sama ada sisa jagung, daging mahupun roti, mencungkil keluar makanan tersekat mungkin dilihat sebagai penyelesaian cepat bagi masalah yang membuatkan anda tidak selesa, bahkan memalukan ini. Pun begitu, ini bukanlah penyelesaian yang terbaik. Tanya sahaja mana-mana doktor gigi, pasti rata-ratanya tidak akan menyarankan anda menggunakan pencungkil gigi.

Mengapa makanan boleh tersekat

Sesetengah makanan, seperti biji-bijian kecil pada roti boleh terperangkap pada gigi sesiapa sahaja. Tetapi jika anda sering mengalami makanan tersekat di antara gigi anda, mungkin terdapat sebab lain. Contohnya, tampalan gigi mungkin rosak atau tidak betul, menyebabkan makanan tersekat. Gigi juga boleh beralih dan membentuk ruang sempurna yang memerangkap sisa makanan yang besar. Kemungkinan-kemungkinan ini perlu diambil kira untuk dirujuk kepada doktor gigi.

Sejarah pencungkil gigi

Ranting, rumput, buluh dan duri landak adalah beberapa alat yang paling awal digunakan untuk membersihkan gigi. Sementara emas, perak dan gading dikatakan menjadi pilihan golongan diraja. Charles Forster, daripada Boston, adalah orang pertama yang membuat pencungkil gigi kayu buatan tangan di AS.

Menjelang tahun 1860, beliau menghasilkannya di Strong, Maine, dengan menggunakan mesin untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Pekan ini akhirnya dikenali sebagai pusat pencungkil gigi dunia, tetapi pada tahun 2003 Forster Manufacturing berhenti menghasilkan pencungkil gigi. Walaupun pencungkil gigi telah berubah, etika pencungkil gigi tetap sama sejak abad ke-17: mencungkil gigi semasa makan atau di khalayak ramai dianggap tidak sopan, begitu juga meletakkan pencungkil gigi di belakang telinga atau membiarkannya tersangkut keluar daripada mulut anda.

Mengapa pencungkil gigi tidak elok?

Menurut Academy of General Dentistry, menggunakan pencungkil gigi adalah baik jika tiada pilihan lain dan jika anda berhati-hati. Tetapi doktor gigi tidak mengesyorkannya untuk kegunaan harian. Mengapa? Kayu ini boleh terpatah dan tercucuk masuk dalam tisu gusi. Apabila tisu gusi tertembus, bakteria boleh masuk dan menyebabkan jangkitan. Sekiranya anda adalah seorang pengguna tegar pencungkil gigi, doktor gigi anda mungkin akan mendapati beberapa kerosakan pada gusi semasa pemeriksaan gigi.

Walaupun kayu kecil ini tidak elok untuk kesihatan mulut anda, ia mempunyai fungsi-fungsi lain seperti menguji kek dan membersihkan papan kekunci. Yang penting, jauhkan ia daripada mulut anda!

Cara membersihkan gigi dengan betul

Cara yang sesuai untuk mengeluarkan sisa makanan dari gigi anda adalah dengan menggunakan floss. Floss sekali sehari juga menghilangkan plak berbahaya yang tersembunyi pada sisi gigi. Selain memberus gigi dengan menyeluruh, floss sangat penting dalam membantu mencegah kerosakan gigi, penyakit gusi dan nafas berbau.

Sesiapa yang mempunyai artritis atau kesukaran mengendalikan floss di sekitar mulut boleh membeli floss dengan pemegang. Bergantung pada keperluan khusus seseorang, seorang doktor gigi mungkin mencadangkan alat khas seperti spiral brush (terutama mereka yang mempunyai fixed bridges) atau water flosser (floss air), alat floss gigi di rumah yang menggunakan aliran air yang disasarkan untuk mengeluarkan plak dan sisa makanan di antara gigi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut