backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Ada Sebab Daging Ayam Kampung Itu Lebih Sedap & Sihat! Telurnya Juga Bagus?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 23/04/2021

    Ada Sebab Daging Ayam Kampung Itu Lebih Sedap & Sihat! Telurnya Juga Bagus?

    Masakan berasaskan ayam antara hidangan kegemaran ramai. Tetapi anda suka ayam daging atau ayam kampung? Apakah kebaikan aspek kesihatan ditawarkan ayam yang diternak secara komersial ini? Jom teruskan membaca!

    Mengenali ayam kampung

    Ayam merupakan antara jenis makanan yang menjadi pilihan kebanyakan individu di Malaysia tanpa mengira bangsa.

    Pelbagai jenis masakan boleh dihasilkan daripada ayam, sama ada secara kukus, goreng, bakar mahupun panggang.

    Namun, tahukah anda mengenai ayam kampung dan kebaikan aspek kesihatan yang boleh diperolehi daripadanya? 

    Bagi mereka yang mungkin tidak pernah melihat ayam kampung, ayam ini merupakan ayam yang diternak dalam jumlah kecil dan lazimnya ayam ini mempunyai bulu pelepah berwarna merah-hitam, Sekali pandang, warnanya seperti kecoklatan.

    Ya, ia sangat sesuai dijadikan makanan dalam masakan orang Melayu kerana ia sedap lagi penuh khasiat!

    Kebaikan ayam kampung

    Sebenarnya, manfaat dan kebaikan yang ditawarkan oleh ayam kampung adalah terletak kepada daging dan juga telur yang dihasilkan.

    Umumnya, berbanding daging ayam yang diternak secara komersial, daging ayam ini kurang berlemak dan lebih sihat.

    Namun, dari segi tekstur, anda pasti akan lebih menyukai daging ayam ternak komersial kerana daging ayam kampung adalah lebih liat tetapi ia dikatakan mempunyai rasa yang lebih manis. 

    Manfaat kebaikan aspek kesihatan ayam kampung  terletak kepada telur yang dihasilkan.

    Ini kerana jika dibandingkan dengan telur ayam biasa yang boleh anda beli di pasar raya mahupun di kedai runcit, telur ayam kampung mempunyai kuantiti omega-3 yang lebih tinggi, malah ia juga tinggi kandungan mineral dan vitamin. 

    Terdapat beberapa aspek yang mempengaruhi kualiti telur ayam kampung ini seperti jenis makanan yang diberikan, cara atau kaedah penternakan yang digunakan serta faktor kebebasan bergerak yang diberikan. 

    Perbezaan kualiti telur dapat dilihat melalui warna telur kuning serta ketebalan kulit telurnya. Telur ayam biasa yang diternak secara komersial, mempunyai kuning telur yang berwarna lebih pudar dan kulit telurnya juga lebih nipis.

    Manakala kuning telur bagi telur ayam kampung adalah mempunyai warna kuningnya yang lebih terang serta ketebalan kulit telur yang lebih tebal. 

    Telur ayam kampung dikatakan mempunyai omega-3 yang terbukti dapat mencegah dan menghindari penyakit jantung, merendahkan tahap kolesterol serta tekanan darah tinggi.

    telur

    Bahagian ayam tinggi protein

    Ayam adalah salah satu bahan makanan dengan sumber protein yang paling sering digunakan.

    Namun, bahagian ayam iaitu dada ayam, paha atas, paha bawah dan juga kepak; ternyata memiliki kandungan protein dan lemak yang berbeza.

    Berikut adalah penjelasan mengenai bahagian ayam dan kandungan proteinnya:

    • Bahagian dada

    ayam

    Dada ayam adalah potongan bahagian ayam yang paling rendah lemaknya tapi tinggi protein.

    Dalam 100 gram dada ayam tanpa kulit yang sudah matang mengandungi 31 gram protein.

    Dalam 100 gram dada ayam juga mengandung 165 kalori, 80% kalorinya berasal daripada protein, dan 20% baki kalori berasal daripada lemak.

    Daging dada inilah yang paling popular bagi ahli sukan yang ingin membentuk tubuh lebih berotot dan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

    Ini disebabkan daging ini tinggi protein, tetapi kalorinya tidak terlalu besar berbanding bahagian ayam yang lain.

    • Bahagian paha atas

    kebaikan aspek kesihatan

    Paha atas ayam biasanya lebih murah berbanding dada ayam.

    Dalam 100 gram paha atas tanpa kulit dan tulang, terdapat sebanyak 26 gram protein.

    Paha atas ini juga mengandungi 209 kalori dalam 100 gramnya.

    Daripada kalori tersebut, 53% berasal daripada protein, dan bakinya sekitar 47% berasal daripada lemak.

    Warna daripada bahagian ini biasanya sedikit lebih gelap berbanding bahagian dada, kerana bahagian ini adalah bahagian yang aktif bergerak dan mengandungi lebih banyak mioglobin (Mb), yang merupakan gabungan zat besi dan oksigen yang mengikat protein.

    Ia terdapat dalam tisu otot vertebrata secara umumnya dan terdapat dalam hampir semua mamalia.

    Meskipun lebih gelap, bahagian ini termasuk bahagian ayam yang paling disukai ramai orang.

    • Bahagian paha bawah (drumstick)

    kebaikan aspek kesihatan

    Bahagian yang lebih bawah pada paha ayam disebut sebagai ini kebiasaannya dipanggil drumstick.

    Bentuk potongan ayam ini memang menyerupai pukulan drum yang sedikit menggendut.

    Dalam 100 gram bahagian ini tanpa kulit dan tulang mengandungi 28.3 gram protein, dan 172 kalori.

    Berdasarkan kalorinya, 70% kalori berasal daripada protein, dan 30% berasal daripada lemak.

    Mungkin anda bertanya-tanya bagaimana pengiraan kalorinya menunjukkan lebih banyak protein, sedangkan bahagian ini terkenal dengan lemaknya, bukan?

    Ini kerana kandungan tersebut mengambil kira bahagian otot atau dagingnya tanpa mengira kulitnya sekali.

    Hakikatnya, kebanyakan individu akan makan bukan sekadar dagingnya sahaja, malah bahagian kulit yang melapisinya.

    Jika demikian kalorinya lebih tinggi.

    Satu bahagian paha ayam drumstick beserta tulang dan kulitnya boleh mengandungi 112 kalori, dengan 53% berasal daripada protein, dan 47% berasal daripada lemak. 

    • Bahagian kepak

    kepak ayam

    Dalam 100 gram kepak ayam tanpa kulit dan tulang mengandungi 30.5 gram protein dan 203 kalori.

    64% daripada kalori tersebut berasal daripada protein, dan 36% bakinya berasal daripada lemak.

    Namun, kebanyakan orang tidak memakan dagingnya saja pada bahagian kepak ini kerana kandungan dagingnya sangat sedikit.

    Kebanyakan orang akan makan kulit yang melapisinya juga.

    Satu kepak ayam bersaiz sederhana mengandungi 99 kalori, dengan 39 % berasal daripada protein, dan 61% berasal daripada lemak.

    Bahagian kepak memang lebih banyak kulit dan tulang, berbanding daging atau ototnya.

    Oleh itu, kalori daripada lemak kepak ayam lebih besar kerana kulitnya memang banyak.

    Apakah pilihan terbaik?

    Realitinya, tiada satu pun makanan yang boleh membekalkan semua jenis nutrien kepada badan kita.

    Oleh sebab itu, kita perlu mengambil pelbagai jenis makanan bagi memastikan semua jenis nutrien dapat diperoleh. 

    Tuntasnya di sini, memakan ayam kampung yang diternak secara organik pastinya merupakan pilihan yang terbaik untuk diambil dalam diet pemilihan makanan harian anda.

    Namun, mungkin disebabkan kesukaran untuk mendapatkan ayam kampung, anda masih boleh memilih untuk mengambil ayam yang diternak secara komersial. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 23/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan