6 Manfaat Tomato Terhadap Kesihatan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Buat anda yang masih tertanya-tanya, tomato adalah termasuk dalam kategori buah-buahan secara genetiknya tetapi seringkali disediakan dan dihidangkan sebagai sayur-sayuran. Walau apapun kategorinya, tidak dapat dinafikan bahawa tomato sememangnya mengandungi pelbagai nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai manfaat tomato terhadap kesihatan.

Secara umumnya, tomato mengandungi kandungan air sebanyak 95% dan selebihnya adalah karbohidrat dan serat. Berikut merupakan anggaran nutrien yang terdapat dalam tomato mentah berjisim 100 gram:

  • Kalori: 18
  • Air: 95%
  • Protein: 0.9 gram
  • Karbohidrat: 3.9 gram
  • Gula: 2.6 gram
  • Serat: 1.2 gram
  • Lemak: 0.2 gram

Dalam pada itu, tomato mempunyai pelbagai lagi manfaat tomato terhadap kesihatan individu, antaranya:

#1. Sumber vitamin

Sebiji tomato boleh membekalkan sekurang-kurangnya 40% daripada keperluan vitamin C dalam badan. Selain itu, tomato juga mengandungi vitamin A yang mempunyai sangat penting untuk sistem imun, kulit dan penglihatan. Tomato juga tinggi dengan kandungan vitamin K yang bagus untuk tulang anda.

#2. Melindungi kesihatan jantung

Tomato mengandungi antioksidan yang dinamakan lycopene. Ia merupakan antioksidan yang dikatakan berfungsi untuk melindungi kesihatan jantung. Kajian menunjukkan bahawa makan produk berasaskan tomato adalah lebih efektif berbanding mengambil suplemen lycopene. Menurut kajian lagi, individu yang mempunyai kandungan darah yang tinggi dengan antioksidan ini kurang berisiko menghidapi sindrom metabolik yang merupakan faktor risiko penyakit jantung, strok dan diabetes.

#3. Melindungi kesihatan kulit

Tomato bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kesihatan malahan juga kecantikan. Ini kerana tomato dapat membantu melindungi kesihatan kulit daripada sinaran matahari dan menghasilkan pro-kolagen, yang berfungsi mengekalkan struktur kulit bagi membuat individu kelihatan awet muda.

#4. Memperbaiki penglihatan

Selain itu, tomato juga adalah bagus untuk mata anda. Ini kerana tomato mempunyai kandungan lycopene, lutein dan beta carotene, yang berfungsi membantu melindungi mata daripada katarak dan macular degeneration.

#5. Membantu pencernaan

Tomato juga dapat membantu individu yang kerap mengalami masalah sembelit. Ini kerana tomato mengandungi kandungan serat dan cecair yang agak tinggi. Namun begitu, anda harus berhati-hati kerana bagi sesetengah individu, asid daripada tomato yang dimasak boleh mengakibatkan senak perut dan asid refluks.

#6. Membantu melawan penyakit seperti diabetes & kanser

Paling penting, tomato merupakan antara sumber makanan yang mampu melawan penyakit berbahaya seperti diabetes dan kanser. Bagi individu yang mempunyai mempunyai diabetes jenis 2, tomato adalah makanan yang bagus kerana ia boleh mengurangkan risiko berlakunya peroksida lipid yang menyebabkan radikal bebas dan serangan jantung. Tomato yang mempunyai kandungan lycopne juga mampu mengurangkan risiko kanser perut, prostat, ovari dan paru-paru.

Konklusinya, tomato yang tinggi kandungan lycopene, mempunyai pelbagai khasiat dan manfaatnya yang tersendiri untuk kesihatan dan kecantikan. Oleh itu, pastikan tomato merupakan antara sumber makanan utama yang perlu ada dalam diet anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 26, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 26, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut