Ketahui Rahsia Mendapatkan Kulit Muka Persis Artis Korea!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Sudah menjadi impian setiap individu tidak kira lelaki atau wanita terutamanya, untuk memiliki kulit muka persis artis Korea yang putih, bersih dan tanpa cela. Persoalannya, apakah rahsia yang diamalkan mereka?

Siapa sahaja yang tidak mengenali kumpulan penyanyi remaja dari Korea Selatan seperti EXO, BTS atau Blackpink, bukan? Mereka sangat popular di seantero dunia ini dengan lagu dan muzik yang sangat rancak serta tarian yang memukau dalam persembahan mereka tidak kira secara siaran langsung atau dalam muzik video. Pun begitu, apa sebenarnya yang menjadi tarikan utama grup-grup ini? Sebenarnya, ia adalah wajah mereka!

Seperti yang anda dapat lihat sendiri di kaca televisyen atau pada peranti gajet terkini anda, penampilan ahli kumpulan K-Pop ini sangat cantik, dan menarik. Tidak percaya? Lihat sahaja kulit muka mereka. Hampir kesemua mereka mempunyai wajah yang sangat putih, bersih dan tanpa cela. Ada yang mengatakan ini semua adalah kesan pembedahan plastik yang juga sangat popular di sana. Adakah ini benar? Realitinya, mungkin ya dan mungkin tidak.

Hakikatnya, wajah perlu dijaga dengan baik dan teliti tidak kira lelaki atau wanita agar wajah ia sentiasa kekal sihat. Ingin tahu apakah rahsia penjagaan kulit muka masyarakat Korea? Sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Apa rahsia mereka dalam hal penjagaan kulit muka?

Menurut Dr. Noraida Nordin yang merupakan pakar dermatologi dan astetik dari Angel Medical Clinic Korean Beauty Aesthetics, masyarakat Korea sangat berpegang teguh kepada beberapa aspek penting dalam penjagaan wajah mereka, seperti berikut:

  • Didikan ibu bapa

Beliau mengatakan bahawa rahsia paling utama masyarakat Korea dalam hal penjagaan wajah adalah bermula sejak kecil lagi. Sebagaimana disiplin dalam bidang pembelajaran, pekerjaan atau apa-apa sahaja yang dilakukan, penjagaan wajah sebenarnya telah dididik oleh ibu bapa dan dipupuk di dalam diri setiap kanak-kanak Korea.  

Bagi mereka, penampilan diri adalah sangat penting. Sejak usia 16 tahun lagi, ibu bapa sudah mula menerapkan penjagaan wajah dengan baik serta tatacara pemakaian produk kecantikan yang betul. Malah lebih mengejutkan, setiap anak dalam keluarga Korea akan disediakan bajet sendiri untuk pembelian produk kecantikan dan juga apa-apa rawatan wajah.

Ini sama sekali berbeza dengan masyarakat kita yang hanya akan mula mementingkan penjagaan wajah setelah mereka mula wujud pendapatan sendiri. Jadi, ini adalah salah dan mentaliti ini perlu diubah mulai sekarang.

  • Pemakaian produk

Beliau juga mengatakan bahawa masyarakat Korea sangat mementingkan pemakaian produk seperti pencuci, penyegar atau pelembap kulit bukan sahaja kepada wanita, malahan juga kepada lelaki. Selain itu, mereka juga turut menggunakan pelbagai produk penjagaan yang selalu diendahkan namun penting bagi kita iaitu krim pelindung matahari.

Di negara kita misalnya, krim ini hanya akan dipakai apabila individu mengunjungi pantai atau ketika cuaca panas sahaja. Manakala masyarakat Korea akan menggunakannya setiap hari untuk mengelak daripada kulit kusam, jerawat, jeragat atau kesan terbakar. Bagi mereka, ia adalah satu perkara yang wajib dipakai setiap masa.

  • Topeng wajah

Beliau turut mengatakan bahawa masyarakat Korea sangat mementingkan pemakaian topeng wajah. Tanpa mengira jantina atau usia, mereka akan menggunakan ia sama ada sebelum memakai alat solek atau selepas mencuci wajah, ia akan digunakan pada muka. Amalan ini dikatakan sudah mereka praktikkan sejak berabad lamanya.

Disebabkan itu, anda boleh lihat topeng wajah ini akan dijual di merata tempat di sana. Pergi sahaja ke mana-mana farmasi atau pasar raya sekalipun, ia terdapat di pasaran dengan harga yang sangat murah. Mereka juga tidak kisah keluar dengan masih memakainya kerana ia sudah menjadi amalan turun temurun.

  • Pemakanan

Dr. Noraida juga menjelaskan bahawa kulit yang sihat sebenarnya datang dari dalam. Dengan itu, faktor pemakanan adalah sangat penting dalam hal penjagaan kulit. Ini merupakan punca wanita Korea sangat mementingkan penjagaan dalaman dan juga luaran. Dengan itu, mereka sangat mengamalkan diet pemakanan yang sihat.

Secara khususnya, mereka tidak akan mengambil makanan berminyak selain hanya akan makan makanan yang kurang gula dan garam. Buktinya, lihat sahaja makanan tradisional mereka. Sudah pasti sangat jarang untuk anda menjumpai makanan berminyak kerana kebanyakannya hanya menggunakan kaedah bakar atau rebus sahaja. Ini merupakan punca mengapa tubuh badan mereka kebanyakannya ramping sahaja. 

Bukan itu sahaja, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran juga sangat penting buat mereka ekoran ia kaya dengan vitamin C. Sepertimana yang kebanyakan kita tahu, vitamin C adalah sangat bagus untuk kesihatan dan kecantikan kulit.

  • Pembedahan plastik

Tahukah anda bahawa negara Korea Selatan merupakan satu-satunya negara yang sangat terkehadapan dalam bidang pembedahan plastik? Di sana, pembedahan plastik adalah sesuatu yang sangat normal untuk dilakukan. Seawal usia 18 tahun lagi, mereka sudah dibenarkan untuk melakukan pembedahan plastik untuk membetulkan struktur muka mereka ataupun melakukan apa-apa bentuk suntikan vitamin C ke dalam kulit.  

Jelas Dr. Noraida lagi, pembedahan plastik banyak dilakukan di negara ini kerana di sana sangat ramai pakar yang dikatakan antara yang terbaik di dunia. Selain itu, bahan dan kaedah yang digunakan adalah tidak mengancam nyawa pelakunya. Sebolehnya, pakar di sana akan cuba sedaya upaya melakukan pembedahan plastik yang mengekalkan keaslian wajah agar ia tidak terlalu kelihatan seperti telah dibuat secara klinikal dan bukannya semula jadi. 

Disebabkan itu, artis K-Pop dengan pemebedahan plastik sudah menjadi satu sinonim yang sangat sukar untuk dipisahkan. Pun begitu, tidak semua yang melakukannya dan ada juga yang memiliki wajah cantik secara lahiriahnya.

Jadi, apa yang kita boleh dapat daripada perkongsian Dr. Noraida ini adalah kecantikan kulit sebenarnya perlu bermula sejak awal lagi. Selain itu, ia juga memerlukan kita untuk menjaga setiap pemakaian produk dan pengambilan makanan untuk memastikan kesihatan dan kecantikan kulit sentiasa terjadi. Berkenaan pembedahan plastik pula, ia adalah bergantung kepada individu. Namun, wajar untuk anda tahu bahawa sebagai individu yang beragama Islam kita tidak dibenarkan untuk melakukannya.

Anugerah yang diberikan oleh Tuhan kepada kita adalah semuanya cantik dan unik dengan cara masing-masing. Oleh itu, hargai dan sayangilah apa yang kita ada dengan menjaganya dengan sempurna.

5-practical-tips-glowing-skin

Tip penjagaan wajah cara Korea!

Di sebalik rahsia-rahsia yang telah dinyatakan, terdapat beberapa tip yang anda sendiri boleh cuba di rumah, antaranya:

#1. Jangan sekadar mencuci muka sekali sahaja

Kebanyakan kita beranggapan bahawa mencuci muka sekali sahaja setiap hari sudah mencukupi. Walhal, ini adalah tidak benar sama sekali. Jika anda ingin menjadikan kulit anda persis artis Korea, anda perlu mencuci muka anda secara berganda. 

Maksudnya di sini adalah masyarakat Korea akan mencuci muka lebih daripada sekali dan sekurang-kurangnya dua kali. Ini kerana anda yang menggunakan solekan perlu membersihkannya daripada kulit muka setiap menggunakan pembersih solekan yang berasaskan minyak untuk cucian yang pertama. Untuk cucian kedua, anda perlu gunakan pencuci wajah yang biasa untuk membersihkan kulit hingga ke dalam (deep clean).

Jadi, pastikan anda membersihkan wajah setiap kali selepas memakai solekan lebih daripada sekali sebelum anda masuk tidur.

#2. Amalkan peraturan 10 saat

Apa itu peraturan 10 saat? Peraturan ini sangat popular di Korea di mana individu yang baru sahaja selesai mandi, perlu memakai toner atau esen pada wajah dalam masa kurang 10 saat! Amalan ini dikatakan perlu dilakukan untuk mengelakkan kulit anda menjadi kering. Secara hipotesisnya, lebih lama anda tangguh untuk memakai toner atau esen, lebih cepat kulit anda akan menjadi kering.

Untuk menjayakan amalan ini, anda boleh simpan toner atau esen di dalam bilik mandi untuk memudahkan ia dicapai dan digunakan selepas sahaja anda selesai mandi. Amalan ini mungkin berpunca daripada tahap sensitiviti kulit pada wajah yang sangat nipis. Jadi, anda perlu secepatnya mengunci lembapan pada kulit wajah untuk sentiasa melindunginya.

#3. Sentiasa bawa topeng muka

Bagi masyarakat Korea, topeng muka adalah seakan sesuatu yang sangat penting. Ia merupakan kegilaan bagi setiap kelompok masyarakat mereka tidak kira jantina dan usia. Ini disebabkan oleh sifat topeng ini yang boleh melembap, mengelupas dan mencerahkan kulit.

Ketika menggunakannya, terdapat satu tip yang sangat berguna iaitu sentiasa bawa ia ke mana-mana sahaja terutamanya ketika anda mengunjungi gim atau spa. Ini kerana tempat sebegini akan membuat liang pori pada wajah anda terbuka kerana wap yang panas. Jadi, setiap kali anda berasa kulit anda mula mengalami ketidakselesaan, segera gunakan topeng ini untuk memastikan kulit muka anda sentiasa segar.

#4. Sentiasa pakai pelindung matahari

Masyarakat kita beranggapan bahawa pelindung matahari sama ada berbentuk krim atau ubat sapuan hanya perlu dipakai apabila kita hendak keluar rumah ketika cuaca panas sahaja. Ini adalah amalan yang silap sama sekali.

Di Korea, masyarakat mereka sangat bersikap hati-hati dan akan mengambil langkah pencegahan yang awal untuk mengelak penuaan. Jadi, pemakaian pelindung matahari yang tinggi SPF walaupun bukan ketika cuaca panas adalah sangat dititikberatkan.

Bukan setakat pelindung matahari sahaja, anda juga sebenarnya perlu sentiasa memakai topi untuk melindungi wajah anda daripada sinaran ultra ungu atau gunakan payung ketika berada di luar rumah. Selain wajah, lindungi juga kulit tangan atau kaki anda dengan menutupnya dengan pakaian yang sesuai agar ia tidak terlalu terdedah kepada cahaya terik matahari. 

 

Bukan bermaksud anda wajib mengelak cahaya matahari umpama drakula, cuma kurangkan pendedahan terhadapnya kerana sinaran ultra ungu ini boleh membuat kulit anda jadi gelap dan kusam sekali gus merosakkan kulit anda.  

 

#5. Urut wajah dengan kerap

Di Korea, sudah menjadi rutin yang sangat biasa bagi mereka untuk mengurut wajah mereka pada setiap hari. Jika anda ingin mencubanya, anda mungkin boleh amalkan urutan menggunakan tulang ketuk jari atau ibu jari untuk mengurut seluruh permukaan wajah anda dengan lembut untuk merangsang sel dan otot di bawah kulit. 

Ini bukan sahaja akan melancarkan peredaran darah dan oksigen pada muka namun juga akan membuatkan kulit wajah anda lebih sihat dan cantik. Dalam pada itu, urutan muka ini dikatakan mampu membuat kulit wajah anda menjadi tegang sekali gus menghalang kedutan daripada muncul. Ini merupakan teknik yang sangat mudah dilakukan untuk melambatkan penuaan.

#6. Tampar wajah dengan kuat

Aneh, bukan? Hakikatnya, amalan aneh ini adalah sangat popular di Korea. Mungkin jika dilihat dari segi saintifiknya, ia sedikit menyerupai teknik urutan wajah yang mampu melancarkan peredaran darah dan oksigen. Ini merupakan punca mengapa masyarakat di sana sangat gemar menampar wajah mereka sendiri.

Dikatakan juga, lebih kuat anda tampar, lebih banyak manfaat yang anda akan terima. Jika anda ingin mencubanya, tiada masalah. Cuma pastikan anda tidak meninggalkan kesan lebam pada pipi yang akan merosakkan penampilan anda.

#7. Jangan lupa pakai krim mata

Anda perasan atau tidak bahawa masyarakat Korea sangat jarang dilihat mempunyai “mata panda”?, tidak seperti masyarakat kita.Selain daripada mereka sangat mementingkan waktu tidur yang cukup, mereka juga sebenarnya tidak pernah lupa untuk memakai krim mata.

Sebenarnya, krim mata ini bukan sahaja perlu dipakai untuk mengurangkan lingkaran hitam di sekeliling mata, ia juga perlu dipakai untuk mengelakkan kedut dan bengkak yang kerap terjadi pada bahagian tepi atau bawah mata.

Dengan krim ini, sudah pasti anda dapat memastikan bahawa lapisan nipis dan halus di sekitar mata tersebut sentiasa lembap dan tidak kering. 

#8.  Ginseng

Ginseng adalah sejenis tumbuhan herba yang sangat popular di serata dunia. Di Korea, ia digunakan sebagai bahan utama di dalam kebanyakan produk kecantikan terutamanya untuk kulit. Selain diproses sebagai produk kosmetik, ia juga banyak digunakan sebagai bahan makanan seperti di dalam teh ginseng yang sangat banyak manfaatnya. Apa yang pasti mengenai sifat ginseng adalah ia mengandungsi nutrisi antioksida yang sangat bagus untuk kulit wajah. Di negara kita, ia sangat sinonim dengan masyarakat Cina, yang juga menggunakannya untuk kesihatan dan kecantikan kulit wajah.

#9. Air beras

Air beras mempunyai pelbagai manfaat terhadap kulit, sepertimana yang kebanyakan kita tahu. Di Korea, ia digunakan untuk mencuci wajah. Jadi, anda boleh cuba gunakan ia dengan ambil dan rendam ia di dalam air yang bersih selama 10 hingga 15 minit, kacau dan sapu air yang pekat itu ke wajah anda.

#10. Sentiasa bawa tuala lembab bersama anda

Iklim di Korea adalah sejuk terutamanya di musim selain musim panas. Ini seterusnya akan mengakibatkan kulit anda juga menjadi kering. Disebabkan itu, mesin pelembap udara sering digunakan di sana untuk mengekalkan kandungan lembapan dalam udara kerana cuaca udara sejuk adalah sangat kering. 

Iklim di Malaysia pula adalah panas dengan hujan bersilih ganti sepanjang tahun. Majoritinya, negara kita sering digambarkan sebagai negara yang panas dan kering. Ini mungkin bagus untuk kita untuk mengeluarkan peluh dan memastikan kulit tidak kering, namun ia akan mendatangkan kerosakan kulit yang lain pula.

Jadi, apakah cara yang terbaik untuk sentiasa menjaga kelembapan kulit tanpa merosakkannya? Caranya adalah sentiasa bawa tuala lembap bersama anda ke mana sahaja anda pergi. Setiap kali kulit anda mula kering atau berpeluh, lapkan sahaja ia dengan menggunakan tuala lembap anda.

Konklusi

Konklusinya, masyarakat Korea sangat menjaga hal berkaitan penampilan kulit muka mereka. Disebabkan itu, mereka sudah mula menitikberatkan ia sejak awal usia lagi. Selain itu, pelbagai produk perlu digunakan dengan betul dan kerap untuk memastikan kesihatan dan kecantikan kulit anda. Meskipun terkenal dengan jolokan negara yang paling banyak membuat pembedahan plastik, pakar mereka merupakan antara yang paling terbaik di dunia.

Jadi, jika anda ingin mendapatkan kulit muka persis artis Korea kegemaran anda, cuba contohi cara penjagaan kulit mereka terlebih dahulu. Pun begitu, anda diingatkan untuk tidak mudah percaya dengan teknik pembedahan plastik terutamanya kepada yang beragama Islam. Ini kerana ia adalah satu pengubahsuaian anugerah yang telah diamanahkan kepada kita. Seharusnya, anda belajar menghargai dan mencintai diri anda sendiri terlebih dahulu!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut