Wahai Lelaki, Ketahui Manfaat & Mudarat Pam Zakar Sebelum Menggunakannya!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Ketika sedang khusyuk melayari internet, mesti anda akan terganggu jika tiba-tiba sahaja datang pop-up dari pelbagai iklan yang kadangkala tidak senonoh, bukan? Ada yang jual ubat tinggi, ubat gemuk dan paling menggelikan hati, ada juga yang menjual pam zakar! Persoalannya, adakah ia benar berkesan untuk menyelesaikan masalah lelaki?

Mati pucuk dalam kalangan lelaki

Menurut kajian yang dilakukan oleh International Journal of Endocrinology, masalah mati pucuk atau erectile dysfunction (ED) lebih berisiko dialami oleh kira-kira 5% lelaki yang berusia 40 tahun ke atas dan 15% lelaki yang berusia 70 ke atas. Pun begitu, anda sebagai lelaki yang masih muda jangan berasa lega kerana ia juga mungkin akan berlaku kepada anda!

Pam zakar, bermanfaat atau bermudarat?

Buat anda yang belum tahu, pam zakar adalah sejenis tiub berbentuk silinder yang digunakan untuk tujuan membesarkan dan menguatkan ereksi alat kemaluan lelaki. Alat ini kebiasaannya digunakan oleh mereka yang mengalami masalah mati pucuk untuk membolehkan mereka bersama dengan pasangan. Namun, sejauh manakah keberkesanan penggunaannya?

Manfaat pam zakar

Sebagaimana tujuan penciptaannya, pam zakar boleh membantu lelaki untuk mendapatkan dan mengekalkan ereksi. Cara ia berfungsi adalah dengan mencipta ruang vakum di sekeliling alat kemaluan lelaki untuk tujuan menggalakkan pengaliran darah ke situ. Setelah berjaya mendapatkan ketegangan zakar yang dimahukan, lelaki boleh menggunakan cincin zakar untuk membantu mengekalkan darah yang terkandung di dalamnya.

Mudarat pam zakar

Jika tersalah cara penggunaannya, ia mungkin akan memudaratkan alat kemaluan anda. Berikut merupakan risiko dan kesan sampingannya:

  • Zakar membengkak dan menjadi kebas dan sakit
  • Saluran darah pecah lalu menyebabkan bintik kecil berwarna merah atau petechiae
  • Ereksi berasa tidak selesa kerana ia bukan dari proses semula jadi
  • Tidak semua kawasan zakar akan mengalami ereksi
  • Ejakulasi yang menyakitkan kerana air mani berasa seakan tersekat
  • Kesan psikologi – perasaan malu, kekok atau turn off setiap kali perlu menggunakan pam untuk mendapatkan ereksi

Jika hendak dibandingkan, memang agak sukar. Alat ini sangat membantu lelaki yang mempunyai masalah ereksi namun dalam masa yang sama, turut mendatangkan beberapa kemudaratan lain. Kuncinya di sini adalah cara penggunaannya. Jika dilakukan dengan betul, ia mungkin akan meminimumkan mudarat tersebut. 

Berikut merupakan cara penggunaan pam zakar yang betul:

  1. Cukur bulu pada kawasan zakar, kerandut dan ari-ari.
  2. Masukkan zakar ke dalam tiub plastik pam.
  3. Gunakan pam untuk mencipta vakum di dalam tiub. Bergantung pada alat, ia mungkin perlu dibuat secara manual atau automatik.
  4. Setelah zakar menegang, letakkan cincin zakar pada bahagian dasar zakar. Ia bertujuan mengekalkan darah di dalamnya.
  5. Keluarkan zakar daripada pam.

Konklusinya, tidak salah untuk anda menggunakan pam zakar ini untuk mendapatkan ereksi yang kuat. Namun, tolong pastikan anda menggunakannya dengan betul. Selain itu, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu terutamanya jika anda menghidapi thrombophilia atau lain-lain kondisi kesihatan. Paling penting, jangan mudah terpedaya dengan iklan yang pop-up ketika anda sedang khusyuk melayari internet ya!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut