Wow! Ini Rupanya Berlaku Pada Badan Kita Semasa Hubungan Intim

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Seperti yang kebanyakan kita sudah sedia maklum, seks yang berkualiti mampu memberikan kesan positif kepada badan kita secara fizikal dan juga mental. Ini ekoran daripada pengeluaran hormon-hormon “seronok” dalam badan kita ketika melakukannya. Pun begitu, pernahkah anda terfikir apa sebenarnya yang berlaku pada badan kita semasa melakukan hubungan intim bersama pasangan suami atau isteri? Untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.

Apa berlaku pada badan kita semasa hubungan intim?

Menurut pakar terapi seks, Masters dan Johnson, akan wujud satu urutan berkenaan apa yang berlaku pada badan kita semasa melakukan hubungan seks. Urutan ini dikenali sebagai “kitaran tindak balas seksual” dan mempunyai 4 fasa iaitu seronok, mendatar, klimaks dan resolusi.

Untuk pengetahuan anda, tiada penanda pemula atau penamat yang jelas di antara fasa-fasa ini. Ini kerana setiap individu itu sendiri adalah berbeza dan cara kita melakukan hubungan intim bersama pasangan juga sudah pasti tidak sama.

Apa yang pasti, setiap individu semestinya akan mengalami atau merasai setiap fasa ini pada setiap kali melakukan seks bersama pasangan mereka masing-masing. Berikut merupakan huraian 4 fasa yang dinyatakan sebentar tadi berserta perbezaannya mengikut jantina:

Fasa #1: Seronok

Fasa ini kebiasaannya bermula 10 hingga 30 saat selepas stimulasi erotik dan boleh berterusan sehingga beberapa minit atau beberapa jam kemudian. Ketika fasa ini, individu akan perasan bahawa pernafasan, degupan jantung dan tekanan darah menjadi semakin laju. 

Apa yang berbeza adalah:

Lelaki: Zakar akan mula mengalami ereksi. Bagi sesetengah lelaki pula, puting juga boleh mengalaminya.

Wanita: Faraj akan mula mengembang dan memanjang serta mengeluarkan cecair. Kadangkala, bahagian bibir dalam dan luar faraj, payudara serta klitoris boleh membengkak.

Fasa #2: Mendatar

Fasa ini merupakan kesinambungan daripada fasa pertama tadi dan tidak mempunyai banyak perbezaan yang ketara. Ketika fasa ini, individu akan perasan pernafasan dan denyutan nadi anda akan menjadi semakin laju. Kulit bahagian muka, leher, bahu, dada dan perut anda pula akan kelihatan seakan kemerah-merahan (sex flush). Selain itu, otot bahagian paha, pinggang, punggung, tangan dan kaki mula mengalami ketegangan dan kekejangan mungkin akan berlaku.

Apa yang berbeza adalah:

Lelaki: Zakar akan mengalami ereksi yang paling penuh. Dalam masa yang sama, testis akan tertarik ke dalam skrotum.

Wanita: Bibir faraj akan kelihatan sedikit besar. Ini ekoran daripada tisu dinding faraj yang membengkak sekali gus mengecilkan lubang faraj. Ketika ini juga, klitoris akan tertarik ke dalam. Bahagian dalam bibir faraj (labia) pula akan mengalami perubahan warna, meskipun ia agak sukar untuk diperhatikan. Bagi wanita yang belum mempunyai anak, warnanya akan berubah dari merah jambu ke merah terang. Bagi wanita yang sudah mempunyai anak pula, warnanya akan berubah dari merah terang ke ungu gelap.

Fasa #3: Klimaks

Fasa ini adalah waktu yang paling ditunggu-tunggu semasa hubungan seks iaitu fasa orgasma. Pun begitu, ia adalah fasa yang paling singkat kerana ia hanya berlangsung selama beberapa saat sahaja. Ketika fasa ini, pernafasan, denyutan nadi, degupan jantung dan tekanan darah akan semakin meningkat berbanding sebelumnya. Tekanan pada otot dan salur darah juga akan berada pada puncaknya. Kadangkala, fasa ini juga akan menyebabkan refleks pada otot tangan dan kaki.

Apa yang berbeza adalah:

Lelaki: Cecair air mani akan terkumpul di dalam saluran air kencing dan menyebabkan kontraksi pada zakar berlaku. Ini merupakan saat di mana seorang lelaki itu sedang mencapai orgasma. Sejurus sahaja selepas itu, air mani akan terpancut keluar daripada lubang zakar.

Wanita: Dinding faraj akan berkontraksi secara beritma setiap lapan hingga sepuluh saat sekali. Anda perlu tahu bahawa kontraksi ini adalah sangat bergantung kepada orgasma individu. Secara tidak sedar juga, otot pada rahim turut akan berkontraksi.

Fasa #4: Resolusi

Fasa ini adalah fasa yang terakhir dan ia merupakan tempoh waktu untuk mengembalikan badan kita kepada keadaan yang normal. Ia selalunya bertahan selama beberapa minit ke setengah jam atau mungkin lebih dan biasanya lebih lama untuk wanita berbanding lelaki. Ketika fasa ini, pembengkakan yang berlaku pada alat sulit akan surut dan segala sex flush juga akan hilang. Selain itu, otot yang dahulunya tegang akan menjadi sedikit relaks.

Apa yang berbeza adalah:

Lelaki: Zakar akan kembali ke keadaan yang normal. Namun begitu, tidak mustahil untuk ia kembali mencapai orgasma sehingga beberapa kali bergantung kepada usia, gaya hidup, kecergasan dan lain-lain.

Wanita: Rahim dan klitoris akan kembali ke posisi asal mereka. Sesetengah wanita juga boleh bertindak balas kepada stimulasi dan mencapai orgasma sekali lagi.

Selepas melakukan hubungan intim bersama pasangan suami atau isteri, pasti anda akan berasa sangat tenang dan relaks, bukan? Ini kerana badan anda akan merembeskan hormon “seronok” seperti endorfin dan oksitoksin, sekali gus menyebabkan anda dan pasangan berperasaan positif. Dalam erti kata yang lain, hubungan intim sememangnya menyeronokkan, memuaskan dan menyihatkan dalam perkahwinan!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut