Ada Apa Dengan Safron?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Safron adalah rempah yang paling mahal di dunia. 1 paun atau 450 gram safron mungkin berharga antara 500 hingga 5,000 US dollar. Safron dituai dengan tangan daripada bunga Crocus sativus yang hanya berputik sewaktu Oktober dan November. Tumbuhan yang banyak tumbuh di Timur Tengah dan Eropah ini mengambil masa 3 tahun untuk menghasilkan bunga.

Di samping kesukaran menuai safron, herba ini turut mempunyai pelbagai manfaat kesihatan yang menjadikannya sangat bernilai. Berikut adalah beberapa manfaat kesihatan daripada safron:

1. Antioksidan yang kuat

Safron mengandungi pelbagai jenis sebatian tumbuhan yang bertindak sebagai antioksidan – molekul yang melindungi sel anda daripada radikal bebas dan tekanan oksidatif. Antara antioksidan yang terkandung dalamnya termasuklah crocin, crocetin, safranal, dan kaempferol.

Crocin dan crocetin adalah pigmen karotenoid yang memberikannya warna merah. Kedua-dua sebatian ini mungkin mempunyai sifat antidepresan, melindungi sel-sel otak daripada kerosakan, keradangan, di samping mengurangkan selera makan dan membantu mengurangkan berat badan.

Safranal memberikan rasa dan aromanya yang unik. Penyelidikan menunjukkan bahawa ia boleh membantu meningkatkan mood, ingatan, dan keupayaan pembelajaran, serta melindungi sel-sel otak anda daripada tekanan oksidatif.

Terakhir, kaempferol ditemui pada kelopak bunga ini. Bahan ini dikaitkan dengan manfaat kesihatan, seperti mengurangkan keradangan, sifat antikanser, dan aktiviti antidepresan.

2. Boleh meningkatkan mood dan merawat simptom kemurungan

Warna herba ini bukan sahaja akan menyerlahkan makanan, tetapi ia juga dapat menceriakan mood anda. Dalam sebuah perbandingan kajian, suplemen safron didapati boleh membantu merawat simptom kemurungan tahap ringan hingga sederhana.

Kajian lain mendapati bahawa mengambil 30 mg safron setiap hari adalah sama berkesan dengan Fluoxetine, Imipramine, dan Citalopram – rawatan konvensional untuk kemurungan.

3. Boleh membantu melawan kanser

Disebabkan kandungan antioksidan yang tinggi, safron membantu meneutralkan radikal bebas yang berbahaya. Kerosakan radikal bebas telah dikaitkan dengan penyakit kronik, seperti kanser.

Dalam kajian tabung uji, herba ini terbukti secara selektif membunuh sel-sel kanser kolon atau menekan pertumbuhan mereka, tanpa menjejaskan sel normal.

Kesan ini juga berlaku untuk kulit, sumsum tulang, prostat, paru-paru, payudara, serviks, dan beberapa sel kanser lain.

Lebih-lebih lagi, kajian-ujian tiub telah mendapati bahawa crocin – kandungan antioksidan utamanya – boleh membuat sel-sel kanser lebih sensitif terhadap ubat-ubatan kemoterapi. Pun begitu, lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti fungsi antikansernya.

4. Boleh mengurangkan simptom PMS

Sindrom Prahaid (PMS) adalah istilah yang menggambarkan gejala fizikal, emosi, dan psikologi yang berlaku sebelum permulaan tempoh haid. Kajian menunjukkan bahawa safron boleh membantu merawat gejala PMS.

Pada wanita 20-45 tahun, mengambil 30 mg safron setiap hari adalah lebih berkesan daripada plasebo untuk merawat gejala PMS, seperti rasa marah, sakit kepala, nafsu makan, dan rasa sakit.

Satu lagi kajian mendapati bahawa menghidu baunya selama 20 minit membantu mengurangkan gejala PMS seperti kebimbangan dan menurunkan tahap hormon stres, kortisol.

5. Boleh bertindak sebagai afrodisiak

Afrodisiak adalah makanan atau suplemen yang membantu meningkatkan libido atau nafsu syahwat anda.

Kajian telah menunjukkan bahawa herba ini mungkin mempunyai sifat afrodisiak – terutama pada orang yang mengambil antidepresan.

Sebagai contoh, mengambil 30 mg safron setiap hari selama empat minggu didapati meningkatkan ereksi lelaki yang mempunyai masalah ereksi disebabkan pengambilan ubat antidepresan.

Sementara dalam wanita yang rendah nafsu seks disebabkan pengambilan ubat antidepresan, pengambilan safron 30 mg setiap hari selama empat minggu didapati mengurangkan kesakitan disebabkan seks dan meningkatkan nafsu seks dan kelembapan faraj.

Selain manfaat yang disebutkan, safron juga mungkin bermanfaat untuk kesihatan jantung, merendahkan kadar gula dalam darah serta berfaedah untuk penglihatan dan memori.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut