backup og meta

Anemia Ketika Mengandung Meningkatkan Risiko Anak Hidapi ADHD?

Anemia Ketika Mengandung Meningkatkan Risiko Anak Hidapi ADHD?

Sebuah kajian kohort membabitkan lebih 500,000 kanak-kanak dan hampir 300,000 ibu di Sweden, anemia ketika mengandung khususnya yang berlaku dalam tempoh awal kehamilan (30 minggu dan ke bawah).

Mereka dikaitkan dengan keadaan seperti Spektrum Masalah Autisme (ASD), Gangguan Hiperaktif/Kekurangan Tumpuan (ADHD), dan juga gangguan-gangguan pembelajaran yang lain.

Walau bagaimanapun kaitan ini tidak dilihat dalam anemia ketika mengandung yang didiagnosis selepas tempoh 30 minggu.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Gangguan Darah, anda boleh klik di sini.

Bagaimana anemia ketika mengandung didiagnosis?

Ketika mengandung, seorang wanita itu didiagnosis sebagai menghidap anemia ketika mengandung apabila bacaan hemoglobin (pigmen sel darah merah) mereka ketika trimester-trimester tertentu adalah seperti berikut:

Paras hemoglobin kurang dari 11 g/dl ketika trimester pertama ibu mengandung

ATAU

Paras hemoglobin kurang dari 10.5 g/dl ketika trimester kedua ibu mengandung

ATAU

Paras hemoglobin kurang dari 11 g/dl ketika trimester kedua ibu mengandung

petua merawat anemia

Ibu mengandung yang menghidap anemia boleh mengalami simptom seperti kerap merasa penat dan ingin pitam, pening kepala, jantung berdebar dan juga nafas menjadi laju.

Semasa mengandung, badan si ibu akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin. Walau bagaimanapun, penghasilan sel darah merah memerlukan zat besi, vitamin B12 dan juga asid folik.

Lebih banyak sel darah merah yang diperlukan, lebih banyak zat dan vitamin tersebut yang diperlukan. Jika bekalan bahan tersebut tidak mencukupi dalam badan, anemia akan berlaku.

Penyebab utama berlakunya anemia ketika mengandung adalah kekurangan zat besi. Penyebab lain termasuklah kekurangan asid folik dan vitamin B12, jangkitan (HIV, cacing, malaria, TB dan sebagainya) dan juga penyakit darah seperti Talasemia.

Kepentingan zat besi untuk perkembangan bayi

Kesan anemia semasa mengandung dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk kelahiran bayi yang lebih kecil dan/atau dilahirkan pramatang.

Oleh itu, zat besi yang mencukupi penting dalam perkembangan janin khususnya dalam peringkat awal di mana organ-organ mereka sedang terbentuk. Ia termasuklah organ – organ di dalam sistem saraf tunjang juga.

Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal JAMA Psychiatry pada 18 September yang lepas.

Ia melibatkan data daripada 532 232 anak-anak Sweden yang bukan anak angkat dan data yang diperoleh diambil daripada tempoh masa bermula 1 Januari 1987 sehinggalah 31 Disember 2010.

Analisis data pula dilakukan bermula daripada 15 Januari 2018 sehingga 20 Jun 2018. 

Kaitan yang dibuat dalam kajian ini mungkin menunjukkan peranan zat besi kepada otak yang sedang berkembang. Zat besi diperlukan untuk pelbagai jenis proses dalam badan.

Untuk perkembangan saraf, zat besi digunakan dalam proses pembentukan selaput myelin dan juga pembentukan struktur pecahan dendrit.

Lebih penting lagi, zat besi juga diperlukan sintesis neurotransmiter berteraskan monoamin (monoamine neurotransmitters), bahan yang memainkan peranan dalam keterjadian ASD dan juga ADHD.

Walau bagaimanapun, kajian susulan yang lebih teliti diperlukan bagi memastikan kaitan punca dan sebab untuk zat besi dan kumpulan penyakit gangguan pembelajaran.

anemia ketika mengandung

Apa yang pasti, kekurangan hemoglobin bermakna bekalan oksigen kepada janin yang sedang membesar menjadi terhad sekaligus mempengaruhi perkembangan otak mereka. 

Pengambilan zat besi dan hematinik yang lain seperti asid folik dan juga vitamin B12 adalah penting bagi menyokong keperluan hemoglobin dalam badan ibu yang mengandung.

Tambahan lagi, ia juga penting untuk mencegah masalah saraf bayi.

Memandangkan kekurangan zat besi dan juga anemia adalah sesuatu yang lazim dalam kalangan wanita dalam usia reproduktif, kajian ini dapat memberi sokongan kepada amalan pengambilan hematinik yang lebih awal sebelum merancang untuk mengandung.

Jika anda sedang mengandung, pastikan anda datang mengikut jadual kedatangan yang disediakan di klinik ibu mengandung bagi membolehkan masalah anemia dikesan dengan lebih awal. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anemia Semasa Hamil. http://www.myhealth.gov.my/anemia-semasa-hamil/. Diakses pada Disember 20, 2023.

Anemia During Pregnancy. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/23112-anemia-during-pregnancy. Diakses pada Disember 20, 2023.

Anemia in Pregnancy. https://www.cedars-sinai.org/health-library/diseases-and-conditions/a/anemia-in-pregnancy.html. Diakses pada Disember 20, 2023.

Anaemia in Pregnancy. https://www1.racgp.org.au/ajgp/2019/march/anaemia-in-pregnancy. Diakses pada Disember 20, 2023.

Maternal Anemia during the First Trimester and Its Association with Psychological Health. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9460499/. Diakses pada Disember 20, 2023.

Versi Terbaru

21/12/2023

Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Badan Cepat Penat & Kulit Pucat, Ini Simptom Anemia Yang Tak Boleh Terlepas Pandang!

Masalah Darah Beku Secara Tiba-tiba Boleh Membawa Maut! Ini 7 Puncanya


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 21/12/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan