Tercekik tulang ikan secara tidak sengaja adalah perkara biasa untuk terjadi semasa sedang menikmati makanan. Pun begitu, tulang ikan yang tersangkut pada tekak boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan. Berapa lama tulang ikan hancur? Apa perlu buat jika tercekik tulang halus atau tercekik tulang kecil?
Jangan bimbang, Hello Doktor ada cara untuk membantu anda mengatasi keadaan tersebut. Ayuh teruskan pembacaan anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.
Apa rasanya tercekik tulang ikan?
Berapa lama tulang ikan hancur? Apa perlu buat jika tercekik tulang halus atau tercekik tulang kecil?
Jika terdapat tulang ikan yang tersekat pada tekak, ia pastinya mengundang ketidakselesaan. Anda juga mungkin akan mengalami gejala berikut:
- Rasa kesemutan atau tercucuk-cucuk pada tekak
- Sakit tajam di tekak
- Bengkak pada bahagian tekak
- Batuk
- Kesukaran menelan atau aktiviti menelan menyakitkan
- Memuntahkan darah
Tercekik tulang ikan? Ini cara untuk mengeluarkannya
Sebelum melakukan pemeriksaan doktor, anda mungkin ingin mencuba beberapa rawatan di rumah ini untuk legakan tercekik tulang halus atau tercekik tulang kecil:
1. Marshmallow
Kedengaran aneh, tetapi marshmallow mungkin apa yang anda perlukan untuk mengeluarkan tulang daripada tekak.
Kunyah marshmallow sekadar untuk melembutkannya, kemudian telan dalam satu tegukan besar. Bahan melekit dan bergula boleh mencengkam tulang dan membawanya ke dalam perut.
2. Nasi
Petua ini merupakan amalan turun-temurun yang paling biasa dilakukan oleh kebanyakan daripada kita jika tercekik tulang ikan.
Apa yang perlu dilakukan adalah dengan mengepal nasi sehingga membentuk bola bersaiz sederhana besar – ikut kesesuaian mulut, okay? Kemudian, telan perlahan-lahan agar tulang yang tersekat pada tekak akan turun ke dalam perut.
3. Minyak zaitun
Minyak zaitun adalah pelincir semula jadi. Jika terdapat tulang yang tersekat pada tekak, cuba telan 1 atau 2 sudu besar minyak zaitun.
Minyak ini seharusnya dapat melapisi tekak dan tulang itu sendiri, menjadikannya lebih mudah untuk anda menelan atau batuk bagi mengeluarkannya.
4. Pisang
Seperti marshmallow, pisang juga dikatakan boleh membantu ‘memegang’ tulang dan menariknya ke dalam perut.
Ambil sepotong besar pisang dan tahannya di dalam mulut untuk tempoh sekurang-kurangnya 1 minit – ini bagi memberikan ia peluang untuk menyerap air liur. Kemudian telan dalam satu tegukan besar.
5. Soda
Minuman soda berkarbonat juga boleh dijadikan sebagai cara untuk menyingkirkan tulang yang tersekat pada tekak.
Ini kerana apabila soda memasuki perut, ia akan membebaskan gas. Gas-gas ini akan membantu menghancurkan tulang dan membina tekanan yang boleh mengeluarkannya.
6. Roti dan air, kaedah boleh dicuba jika tercekik tulang ikan
Roti yang dicelup dalam air adalah antara tip boleh dicuba untuk mengeluarkan makanan tersekat pada tekak anda.
Caranya dengan merendam sekeping roti dalam air selama seminit, kemudian ambil sepotong besar dan telan keseluruhannya. Kaedah ini meletakkan berat pada tulang dan menolaknya ke bawah.
7. Roti dan sapuan mentega kacang
Tidak suka untuk mencicah roti dengan air? Tidak mengapa. Anda boleh mencuba roti yang disapu dengan mentega kacang pula. Ia berfungsi untuk ‘menangkap’ tulang ikan dan menolaknya ke dalam perut.
Gigit roti yang telah disapukan mentega kacang dalam saiz sebesar yang anda mampu dan biarkan ia mengumpul kelembapan di dalam mulut sebelum menelannya sekali gus. Pastikan terdapat segelas air berdekatan anda!
8. Batuk dengan kuat untuk legakan tercekik tulang ikan
Batuk adalah mekanisme pertahanan pertama badan untuk melindungi daripada kelainan pada tekak dan saluran pernafasan. Ia akan menghasilkan kuasa udara yang kuat untuk mengeluarkan benda asing pada saluran pernafasan seperti tulang ikan.
Jadi jika merasakan terdapat tulang yang melekat, anda harus membenarkan refleks batuk ‘menunjukkan kehebatannya’. Ia boleh membantu melepaskan tulang pada tekak dan menyebabkan kelegaan serta-merta.
9. Milkshake atau smoothie pekat
Minuman pekat seperti milkshake atau smoothie boleh membantu menolak tulang yang tersekat pada tekak – terutamanya jika diteguk dengan kuat.
Minuman ini mempunyai kelebihan tambahan iaitu kesejukannya yang dapat meredakan sebarang kerengsaan atau ketidakselesaan disebabkan tulang tersebut.
10. Berkumur air garam suam
Tip ini amat berguna jika tulang ikan yang tersekat berada pada bahagian atas tekak. Gerakan berkumur boleh membantu mengecut dan mengendurkan otot esofagus, supaya tulang boleh terkeluar dengan sendiri.
Air garam pula boleh membantu meredakan sebarang kerengsaan atau keradangan yang terjadi.
Campurkan 1 sudu teh garam bersama secawan air suam dan kacau sehingga larut sepenuhnya. Berkumur selama 30 saat dan ludahkan airnya. Ulang kaedah ini sehingga anda berasa lega.
11. Tunggu ia turun dengan sendiri
Dalam kebanyakan kes, ketidakselesaan yang dirasai mungkin bukan berpunca daripada tercekik tulang ikan. Ini kerana semasa tulang tersekat pada tekak, ia mungkin telah menyebabkan kesan keradangan dan kerengsaan.
Kesan tersebut mungkin masih dirasai walaupun tulang telah berjaya dikeluarkan daripada tekak. Jadi anda mungkin boleh menunggu beberapa jam untuk menentukan sama ada tulang masih tersekat atau ia disebabkan kesan kerosakan tisu ringan.
Perkara perlu dielakkan
Amat penting untuk mengelakkan daripada mengorek tekak dengan sebarang jenis peralatan rumah atau jari untuk mengeluarkan tulang – terutamanya jika ia tidak boleh dilihat.
Luka kecil pada tekak atau dinding esofagus boleh menyebabkan lebih banyak ketidakselesaan dan meningkatkan risiko jangkitan.
Pemeriksaan doktor jika tercekik tulang ikan
Biasanya masalah tulang yang tersekat ini boleh dirawat di rumah dengan menggunakan teknik di atas. Tetapi anda perlu mendapatkan rawatan segera jika tip tersebut tidak berkesan atau anda mengalami:
- Pendarahan banyak
- Kesukaran bernafas
- Lebam
- Air liur berlebihan
- Kesukaran untuk makan atau minum
- Leher bengkak
Secara amnya, doktor boleh membantu mengeluarkan tulang yang tersekat menggunakan alat pinset khas. Tetapi dalam kebanyakan kes, pembedahan kecil mungkin perlu dilakukan.
Kesimpulan
[embed-health-tool-bmi]