Sindrom penyakit Cushing merupakan sejenis kondisi kesihatan yang berlaku apabila tubuh badan menghasilkan terlalu banyak hormon kortisol.
Kortisol merupakan sejenis hormon steroid yang dihasilkan di kelenjar adrenal yang terletak di atas buah pinggang.
Badan kita memerlukan hormon kortisol untuk mengawal tekanan darah dan fungsi sistem kardiovaskular. Hormon ini dirembeskan sebagai tindak balas kepada stress.
Sindrom Cushing merupakan penyakit yang jarang berlaku. Ia selalunya terjadi kepada individu yang mengambil ubat-ubatan steroid dalam jangka masa yang lama.
Secara purata, penghidap sindrom Cushing adalah antara 40 hingga 70 orang dalam sejuta.
Lebih ramai wanita yang menderita disebabkan sindrom Cushing berbanding lelaki. Khusunya mereka yang mengambil makanan tambahan untuk melegakan sakit sendi dan otot (Biasanya mengandungi steroid).
Tidak ada sebarang faktor persekitaran yang boleh memicu penyakit ini. Malah, ia juga bukan penyakit yang diwarisi.
Apakah yang menyebabkan sindrom Cushing?
Ada dua faktor yang boleh menyebabkan sindrom Cushing, (1) faktor luaran dan (2) faktor dalaman. Simptom untuk kedua-dua faktor adalah sama. Apa yang berbeza adalah puncanya.
Faktor luaran merupakan punca utama sindrom Cushing. Selalunya, ia berlaku disebabkan pengambilan ubat berasaskan kortikosteroid seperti prednisone. Ubat ini digunakan untuk merawat asma dan juga artritis reumatoid.
Selain itu, ubat ini juga digunakan untuk menyekat sistem imun badan selepas pemindahan organ.
Sindrom Cushing jenis ini bersifat sementara dan akan pulih selepas pesakit berhenti mengambil ubat kortisol tersebut.
Manakala, penyakit Cushing yang berlaku disebabkan faktor dalaman pula adalah sesuatu yang jarang terjadi. Malah, kondisi ini berlaku secara perlahan-lahan dan sukar untuk didiagnosis.
Penyakit ini berlaku disebabkan tumor yang merembeskan hormon kortisol pada kawasan kelenjar adrenal atau kelenjar pituitari, yang terletak di bahagian dasar otak.
Di kelenjar adrenal, tumor yang terbentuk selalunya bersifat bukan kanser. Namun, ia merembeskan terlalu banyak hormon kortisol.
Pada kelenjar pituitari pula, tumor akan menghasilkan lebihan ACTH – sejenis hormon yang mengarahkan kelenjar adrenal untuk menghasilkan lebih banyak kortisol.
Tanda-tanda sindrom Cushing
Tanda-tanda sindrom ini selalunya bermula dengan perlahan. Simptom juga akan menjadi semakin teruk jika tidak dirawat secepat mungkin.
Antara tanda utama sindrom Cushing adalah peningkatan berat dan lemak pada kawasan badan. Sebagai contoh:
- Penambahan lemak pada kawasan dada dan perut, namun lengan dan kaki tetap kurus.
- Ketulan lemak terbentuk pada belakang leher dan bahu, juga dikenali sebagai bonggol kerbau (buffalo’s hump).
- Wajah yang kemerahan, bengkak dan bulat.
Selain itu, ada juga simptom-simptom lain seperti:
- Kulit yang mudah lebam.
- Selulit atau tanda regangan yang berwarna ungu.
- Lengan dan paha yang lemah.
- Libido rendah dan masalah kesuburan.
- Depresi.
Sindrom Cushing boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akan menjadi masalah serius jika tidak dirawat secepat mungkin.
Disebabkan sindrom ini berkembang dengan perlahan, ia mungkin disalah anggap sebagai depresi kerana pesakit tidak sedar mengenai penyakit Cushing.
Bolehkah sindrom Cushing dirawat?
Ya, sindrom Cushing boleh dirawat. Simptomnya juga akan hilang jika pesakit mengikuti rawatan dengan betul.
Walau bagaimanapun, pesakit mungkin perlukan masa yang lebih panjang untuk sembuh sepenuhnya.
Rawatan untuk penyakit Cushing ini bergantung kepada puncanya.
Jika ia berlaku disebabkan pengambilan ubat-ubatan steroid yang terlalu banyak, doktor mungkin akan merendahkan dos ubat tersebut atau menghentikan terus pemberian ubat tersebut.
Namun, jika sindrom ini berlaku disebabkan tumor, pesakit mungkin perlu melakukan pembedahan.
Selain itu, pesakit juga boleh melakukan terapi radio atau mengambil ubat-ubatan untuk mengurangkan kesan hormon kortisol ke atas tubuh badan.
Semua jenis rawatan ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Jika anda ingin merawat masalah anda, berbincanglah dengan doktor mengenai pilihan rawatan yang ada.
Jaga kesihatan mental dan fizikal
Depresi merupakan salah satu kesan sampingan penyakit Cushing. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika pesakit sering rasa stres, tertekan atau sukar untuk menyesuaikan diri ketika menerima rawatan.
Dapatkan bantuan ketika anda mulai mengalami simptom depresi. Dengan bantuan pakar, masalah ini dapat diatasi.
Selain itu, aktiviti fizikal juga amat penting untuk penghidap sindrom Cushing. Walau bagaimanapun, senaman perlulah dilakukan mengikut kemampuan diri.
Mulakan dengan senaman ringan sebelum perlahan-lahan menambah senaman lain yang lebih berat. Senaman seperti tai chi mungkin dapat membantu melegakan sakit otot yang dialami oleh pesakit.
Kesimpulan
Penyakit Cushing merupakan sejenis penyakit yang boleh memberi kesan yang mendalam terhadap fizikal dan emosi penghidapnya.
Tanpa rawatan yang sewajarnya, pesakit mungkin akan alami komplikasi seperti osteoporosis, hipertensi, diabetes jenis 2, masalah jangkitan yang abnormal dan kehilangan jisim otot serta kekuatan badan.
Jika anda mempunyai simptom yang berkaitan, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera.
Dengan rawatan dan bantuan doktor, sindrom ini boleh dirawat dan pesakit juga boleh menjalani hidup yang lebih berkualiti pada masa hadapan.
[embed-health-tool-bmi]